Penduduk Malaysia dijangka 31.6 juta pada 2020

Jumlah penduduk di Malaysia dijangka mencecah 31.6 juta orang pada 2020 berbanding 28.9 juta sekarang, hasil daripada kemajuan dan kemudahan sektor kesihatan di negara ini.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron (gambar) berkata, jangkaan itu berdasarkan unjuran peningkatan hampir tiga kali ganda sejak empat dekad lalu iaitu daripada 10.4 juta kepada 28.9 juta orang dengan kadar pertumbuhan purata 2.5 peratus.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana Kadar Kematian Kasar (CDR) dan Kadar Kematian Bayi (IMR) mengalami penurunan dramatik bagi tempoh 1947 hingga 1980, sebaliknya pada 1980 sehingga 2009, CDR menunjukkan satu trend yang stabil manakala IMR semakin menurun.

“CDR menurun daripada 19.4 peratus (1949) kepada 4.8 peratus (2011) manakala IMR menurun dari 102.2 peratus kepada 6.3 peratus bagi tempoh yang sama.

“Keadaan ini adalah kerana kemajuan taraf kesihatan dan kemudahan penjagaan kesihatan yang mencukupi, seterusnya menyumbang kepada peningkatan jangka hayat penduduk Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Malaysia dalam Forum Ahli Parlimen Negara Asia Mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD) di Bali, Indonesia baru-baru ini.

Mengulas lanjut Idris memberitahu, pada 1970-an, kadar kelahiran meningkat manakala kematian agak rendah, menyebabkan penduduk bertambah secara berterusan, sekali gus menyumbang kepada nisbah golongan muda yang tinggi.

- UTUSAN

Penduduk Malaysia dijangka 31.6 juta pada 2020

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.