PRU13: BN dan Pakatan 'bersaing rapat' menjelang 5 Mei 2013 - Kajiselidik UMCEDE

Kajiselidik persepsi terbaru oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcede) menunjukkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) bersaing rapat dan masing-masing dianggarkan mendapat 40 peratus sokongan rakyat.

Pengarah Umcedel, Prof Datuk Mohd Redzuan Othman berkata perbezaan antara BN dan Pakatan dalam kajiselidik yang dijalankan antara 4 April - hari Parlimen dibubarkan - sehingga Sabtu lalu, hanyalah 5 peratus.

Bagaimanapun, Redzuan tidak mahu mendedahkan siapakah yang mendahului atau peratusan sebenar yang diperolehi dalam kajian Umcedel yang sebenar.

Menurutnya, peratusan pengundi yang belum membuat keputusan telah berkurangan daripada 21 peratus pada bulan Mac kepada 9 peratus pada bulan ini.

Katanya, pengundi Cina, yang sebelum ini merupakan majoriti dalam kumpulan 21 peratus itu, kebanyakannya telah memutuskan siapa yang hendak diundi.

Redzuan percaya pengundi yang belum membuat keputusan akan menurun kepada sifar peratus pada hari pengundian nanti.

Katanya, mereka akan didorong oleh beberapa hari terakhir kempen, sepertimana yang dilihat berlaku dalam pilihan raya umum 2008, di mana empat hari akhir kempen yang aktif oleh pembangkang telah mengakibatkan berlakunya tsunami politik pada 8 Mac.

Kajiselidik selama 18 hari itu merangkumi 1,407 responden di Semenanjung Malaysia sahaja. Mereka merupakan pengundi pelbagai peringkat umur dan tidak membabitkan pengundi di Sabah dan Sarawak.

Kajian ini telah dilakukan melalui temubual dengan responden, yang setiap satu memakan satu selama 30 hingga 45 minit.

Redzuan berkata terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi pola pengundian pada 5 Mei. Hujan lebat pada waktu petang bermakna ramai yang tidak menghadiri sesi ceramah tetapi sebaliknya mendengar radio atau menonton televisyen.

'Pengundi lebih tertarik pada manifesto Pakatan'

Redzuan dan pasukan penyelidiknya juga mendapati pengundi lebih tertarik dengan apa yang ditawarkan oleh Pakatan, berbanding daripada BN.

Empat puluh dua peratus responden berkata mereka lebih suka manifesto Pakatan, manakala 36 peratus memilih BN dan 22 peratus belum membuat keputusan.

Kajiselidik itu juga menunjukkan sokongan yang hampir sama daripada masyarakat Melayu kepada BN (38 peratus) dan Pakatan (37 peratus). Bagaimanapun, lebih ramai kaum Cina memilih Pakatan (61 peratus) berbanding dengan BN (25 peratus).

Masyarakat India yang menyokong BN adalah 53 peratus) berbanding 21 peratus yang menyokong Pakatan.

Bagaimanapun, Redzuan menjelaskan bahawa sokongan kepada manifesto itu tidak semestinya diterjemahkan kepada undi.

Redzuan berkata kajiselidik tersebut mendapati tuduhan Pakatan bahawa BN mengambil idea daripada manifestonya memberi kesan kepada persepsi rakyat.

Katanya, idea seperti mengurangkan harga petrol, menghapuskan pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan mengurangkan harga kereta sangat menarik kepadsa rakyat.

Kajiselidik itu juga mendapati bahawa meletakkan poster atau bendera mempunyai kesan minimum dalam mempengaruhi pengundi, dengan 66 peratus responden berkata tidak ada kesan ke atas mereka, manakala 29 peratus berkata bendera dan poster mempunyai kesan.

Kajian ini juga menunjukkan bahawa Jelajah Merdeka Rakyat PKR menarik 19 peratus berbanding dengan kempen Janji Ditepati BN (16 peratus), diikuti Jelajah Negara Kebajikan PAS (10 peratus) dan Ubah DAP (4 peratus).

Daripada 1,407 responden, kata Redzuan, 49 peratus mengatakan mereka tidak menghadiri mana-mana ceramah.

Menurutnya lagi, kempen Janji Ditepati tidak berkesan kerana sebahagian responden, seperti para guru, mengadu bahawa mereka dipaksa menghadiri ceramah dan apa yang dicakapkan dalam kempen tersebut oleh BN itu tidak diikuti.

Redzuan menegaskan bahawa tempoh lapan hari lagi berkempen mulai esok, akan menentukan siapakah yang akan membentuk kerajaan baru.

- MALAYSIAKINI

PRU13: BN dan Pakatan 'bersaing rapat' menjelang 5 Mei 2013 - Kajiselidik UMCEDE

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.