PRU13 - Raja Bahrin bertanding di Kuala Terengganu


PAS hari ini mengumumkan bekas pegawai tinggi PDRM Datuk Fauzi Shaari sebagai calonnya untuk kerusi parlimen Larut manakala anggota kerabat diraja Terengganu Dato Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad untuk kerusi Kuala Terengganu.

Presiden parti itu pula, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mempertahankan kerusi parlimen Marang manakala timbalannya Mohamad Sabu di kerusi Pendang.

Tiga naib presiden parti itu juga akan bertanding di kerusi parlimen – Datuk Husam Musa di Putrajaya, Salahuddin Ayub di Pulai dan Datuk Mahfuz Omar mempertahankan Pokok Sena.

Hadi membuat pengumuman itu dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika ditemui Malaysiakini selepas pengumuman itu berkata, keputusan PAS untuk meletakkan Raja Bahrin dan Fauzi untuk bertanding adalah tempat memandangkan mereka adalah anak jati di kawasan tersebut.

Menurut Mustafa, pemimpin PAS juga berpandangan bahawa bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan arkitek terkenal itu masing-masing tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam parti.

"Dia (Fauzi) memang asal orang Larut. Raja Bahrin memang orang Terengganu. Yang nak jadi calon ini, kiranya macam kita hantar dia balik kampunglah. Kita pilih calon anak tempatan.
 "Pemilihan (dua calon ini) PAS Pusat yang buat sebab mereka tak pegang apa-apa jawatan dan diterima baik oleh semua termasuk akar umbi dikawasan itu," katanya.

Raja Kamarul Bahrin akan mempertahankan kerusi PAS di Kuala Terengganu, yang dirampas daripada BN dalam pilihan raya kecil 2009 dengan majoriti lebih 2,600 undi.

Fauzi pula berdepan saingan di kawasan yang dikuasai Umno dalam pilihan raya 2008, dengan majoriti lebih 1,900 undi.

Sementara itu, Husam dalam sidang media sama mengakui bahawa beliau akan bertanding di kawasan yang sukar untuk dimenangi.

Namun, Putrajaya tidak akan menjadi penamat kepada karier politiknya sekiranya beliau tewas di kawasan itu.

"Dalam mesyuarat PAS Pusat memutuskan saya terpaksa bertarung di Putrajaya. Kerusi yang sangat sukar untuk dimenangi,” kata pemangku jawatan exco Kelantan itu.

 “Saya terima walaupun sangat sukar. Saya tak anggap ini pilihan raya yang terakhir melainkan saya mati dulu sebelum pilihan raya," katanya berseloroh.

Penyandang kerusi parlimen Putrajaya, yang mempunyai lebih 6,600 pengundi itu ialah setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendapat majoriti lebih 2,700 undi.

Salahuddin pula dalam sidang media sama menyifatkan persaingan di Pulai sebagai satu amanah dan tugas yang besar.

Penyandang kerusi parlimen Kubang Kerian itu yakin Johor akan menjadi penyumbang terbesar kepada sokongan untuk Pakatan.

"Terima kasih penduduk Johor, Pulai yang saya rasa kaum Cina dan India telah beri kepercayaan pada saya.

"Saya pikul tanggungjawab ini sebagai satu amanah. Saya yakin negeri Johor sebagai penyumbang besar untuk sampai ke Putrajaya," katanya.

Kerusi Pulai disandang oleh ketua Umno bahagian berkenaan, Datuk Nur Jazlan Mohamad yang mendapat majoriti lebih 20,000 undi. 

- MALAYSIAKINI


0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.