Top Ad 728x90

,

Saiz payudara bukan ukuran seksi - My Couture

Saiz payudara bukan ukuran seksi - My Couture


Bagi kebanyakan lelaki, kecantikan wanita diukur daripada wajahnya namun jantung kaum Adam pasti berderau tatkala melihat kehebatan aset wanita. Maka tidak hairanlah jika ramai wanita amat teliti dalam aspek pemakaian coli terutama aspek keselesaan tetapi pada masa sama ia harus memberi ilusi payudara yang lebih montok.

Berbicara mengenai coli pada suatu masa dahulu mungkin sesuatu yang tabu tetapi wanita moden kini lebih terbuka. Seseorang wanita perlu mengenal rupa bentuk dan posisi payudara masing-masing sama ada berbentuk bulat, pendulous, kecil atau di dalam posisi normal, jauh dan dekat.

Waktu paling sesuai mengenakan pakaian dalam adalah selama lapan hingga 10 jam sehari tetapi Pengarah Kreatif My Couture Sdn. Bhd., Hanim Shahrom menyarankan wanita tidak memakai coli ketika tidur.

Cerita Hanim, pemilihan saiz dan bentuk pakaian dalam yang bersesuaian sangat penting kerana secara tidak langsung ia memberikan pengaruh kepada bentuk payudara seseorang wanita.

“Pakai coli untuk diri sendiri dan ia perlulah selesa. Ada wanita beranggapan memakai coli yang menampakkan payudara lebih besar sebagai petanda seksi tetapi tanggapan itu sebenarnya salah.

“Wanita perlu sedikit ilmu tentang cara memilih dan mengetahui saiz sendiri. Kesesuaian rekaan coli dengan tubuh badan perlu diberi perhatian oleh setiap wanita kerana masih ramai yang tidak memahami konsep jenis mangkuk dan saiz ukur lilit masing-masing,” jelas wanita kelahiran Kluang, Johor ini.

Tambahnya, teknik tiga segi digunakan bagi mengenal pasti kiraan tepat untuk jenis payudara dengan menjadikan titik puting payudara dan tulang dada sebagai penanda aras.

“Boleh dikatakan hampir 70 peratus wanita Malaysia memiliki payudara bersaiz sederhana dan besar manakala selebihnya memiliki payudara kecil. Proses pembuatan pakaian dalam juga tetap rumit tanpa mengira saiz payudara seseorang wanita.

“Proses pembuatan bermula dengan penghasilan sehelai saiz prototaip, contohnya saiz 34B. Saiz ini akan diuji pakai ke atas model sebenar yang bersaiz 34B dan proses teknikal akan dilakukan ke atas pakaian dalam ini dari pelbagai aspek untuk memastikan keselesaan dan kesesuaian menurut piawaian berpandukan standard antarabangsa.

“Saya sentiasa berfikir yang terbaik untuk kaum wanita dengan menyediakan produk yang digemari. Kadangkala saya menyamar untuk mendapatkan maklum balas mengenai produk keluaran saya,” tutur isteri kepada Ahmad Dzulkifflee Mohd. Yusof, 50, itu.

Warna berani

Jelasnya, persaingan dengan jenama antarabangsa membuatkannya berusaha untuk menghasilkan rekaan unik agar dapat menarik hati pelanggan.

“Untuk menghasilkan satu rekaan pakaian dalam yang benar-benar berkualiti dan selesa, pihak syarikat memerlukan jangka masa sehingga empat bulan kerana pembuatan coli merangkumi segala aspek daripada segi pemilihan fabrik, warna dan ujian pemakaian.

“Warna-warna asas seperti hitam, coklat, kelabu serta merah jambu merupakan warna yang paling popular dan laris dalam kalangan wanita Malaysia berbanding wanita Barat yang lebih gemar warna putih dan krim.

“Pemilihan warna sangat subjektif dan berkait rapat dengan emosi seseorang wanita selain ia turut dipengaruhi oleh iklim sesebuah negara tetapi ramai juga yang teruja untuk mempelbagaikan koleksi pakaian dalam mereka dengan memilih warna-warna berani seperti merah, terracota, hijau, ungu dan warna-warna lain,” jelasnya sambil memberitahu, jangka hayat pakaian dalam bergantung kepada cara penjagaan si pemakai.

Ujarnya, selain memenuhi kepuasan emosi wanita Malaysia yang sukakan fabrik jenis renda, Hanim turut memberikan sokongan yang mantap untuk wanita tampil lebih yakin, kemas dan langsing dengan hanya dengan memakai pakaian dalam yang menepati saiz sebenar si pemakai.

“Saya meletakkan perancangan untuk menguasai sepenuhnya bidang perniagaan pakaian dalam di Malaysia, memandangkan jenama My Treasure sudah berada di pasaran sejak 1998. My Treasure menjanjikan produk terbaharu dengan kualiti dan keselesaan setanding dengan jenama antarabangsa,” tambahnya yang memiliki kilang pembuatan pakaian dalam di Kampung Jawa, Klang.

Jelasnya, koleksi My Treasure boleh dibeli dengan harga bermula RM20 hingga RM70 melalui internet dan di lebih 70 lokasi pasar raya besar AEON dan Giant.

Cerita Hanim, dia terlibat dalam keseluruhan aspek pembuatan coli bermula dengan cetusan ilham, lakaran prototaip, seni, fesyen, renda, fabrik, melatih pekerja, menilai kualiti, memahami emosi dan hati pelanggan,

Hanim mempunyai formula keselesaan sendiri dengan setiap rekaan yang diperkenalkan melalui proses dan menepati piawaian antarabangsa yang kemudian disesuaikan dengan bentuk tubuh wanita Malaysia.

“Menceburkan diri di dalam bidang ini bukan sahaja memerlukan kepakaran dari segi penghasilan produk tetapi ia lebih kepada memberikan keselesaan dan pilihan yang tepat serta paling berbaloi dengan harga yang dibayar oleh pelanggan.

“Mengekalkan pelanggan yang setia dengan produk yang dihasilkan adalah suatu cabaran perniagaan yang agak sukar memandangkan pakaian dalam berkait rapat dengan faktor keselesaan di mana perkara itu adalah sangat subjektif,” ujar wanita berumur 47 tahun ini.

My Couture boleh dilayari di : http://www.facebook.com/MyCouture.com.my

- KOSMO!

 
 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90