Top Ad 728x90

,

Teladani gaya hidup semut

Teladani gaya hidup semut

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Tiada suatu benda pun di dunia ini dijadikan sia-sia oleh Allah. Semuanya memberikan manfaat kepada manusia. Cuma, kita perlulah membuka mata zahir dan mata hati untuk memungut seberapa banyak kebaikannya.
Antara makhluk ciptaan Allah yang unik dan memiliki keajaibannya tersendiri ialah semut. Mengikut kajian, terdapat lebih daripada 47 ribu spesies semut di dunia ini. Ada bersaiz besar seperti semut kerengga atau nama saintifiknya ‘Ocoephyla amaradgina’ yang mendatangkan kesakitan apabila digigitnya.

    Sabda Rasulullah SAW: “Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling mencintai samalah seperti anggota tubuh yang jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia membabitkan seluruh anggota lain yang tidak tidur malam dan demam.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad )


Namun, dalam siri kehidupan makhluk keluarga serangga itu tersirat aneka hikmah yang sewajarnya kita pelajari dan ‘berguru’ dengannya. Karakter paling menarik yang terdapat pada semut ialah kesungguhan dalam mencari nafkah hidup.

Badan kecil berjiwa besar

Usaha begitu gigih tanpa mengenal erti putus asa, seakan-akan menempelak kita kerana sikap yang ada kalanya berkeluh kesah dan berputus harapan dalam memperoleh sumber pendapatan bagi menyara kehidupan diri serta keluarga.

Tetapi, tidak pada semut. Makhluk Allah ini tubuhnya saja kecil tetapi berjiwa besar. Telitilah dengan rapi akan pergerakan semut, pasti fakta kekuatan daya juang mencari rezeki terpancar dan akan menyentuh hati kecil kita bahawa Allah menyediakan rezeki buat semua makhluk tanpa pengecualian.
Naluri dan kehendak untuk mengusahakan sesuatu misi mencari sumber kehidupan tidak pernah padam dalam diri semut, malah, atas faktor itulah maka semangat untuk bertebaran memperoleh sumber kehidupan dipacu.

Tak mampu tiru gaya hidup semut

Sikap tidak pernah putus asa terhadap rahmat Allah tercermin menerusi gaya hidup semut yang kadangkala kita sendiri tidak mampu menirunya. Inilah kelebihan semut dan inilah juga satu pengajaran buat kita.

Sedangkan kita dididik supaya tidak berputus asa dengan rahmat Allah termasuklah dalam urusan mencari sumber rezeki hidup wajar berjiwa perkasa dan bulat tekad untuk memberdayakan ikhtiar. Selepas selesai mendirikan solat, Allah mengarahkan kita keluar mencari rezeki.

Firman Allah SWT: “Dialah yang menciptakan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah, dan (ingatlah), kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutlah kemurkaan-Nya).” (Surah al-Mulk, ayat 15)

Sikap dan gaya kerja mencari sumber rezeki yang ada pada semut sangat cemerlang dan penuh iltizam. Inilah juga sebenarnya yang dikehendaki oleh Allah pada diri kita.

Rasulullah SAW berpesan: “Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang.” (Riwayat Abu Ya’la dan at-Tabrani)

Toleransi, saling kerjasama

Aspek kedua yang terpancar dalam spektrum kehidupan semut ialah sikap toleransi dan saling bekerjasama. Inilah kekuatan yang Allah kurniakan kepada semut yang memegang prinsip ‘Ke gunung sama mendaki, ke lurah bersama-sama menuruninya.’

Koloni semut walaupun dalam sistem berkasta, iaitu ada ratu, raja dan golongan pekerja, namun kedudukan itu tidak pernah menimbulkan konflik dan krisis sesama mereka sehingga membibitkan rasa tidak puas hati dan jauh sekali mahu melancarkan protes terhadap golongan pemerintah.

Sikap saling membantu, kasih sayang dan saling bersimpati dalam diri semut seolah-alah mereka bergerak dalam satu jemaah yang padu. Inilah juga sebenarnya nilai peribadi yang wajib kita miliki. Baginda Rasulullah ada menghuraikan pentingnya bersatu hati dan saling bermuafakat.

Sabda Rasulullah SAW: “Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling mencintai samalah seperti anggota tubuh yang jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia membabitkan seluruh anggota lain yang tidak tidur malam dan demam.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad )

Seterusnya Baginda bersabda: “Kalian antara seorang beriman dengan yang lainnya adalah sama seperti sebuah binaan yang menguatkan antara satu sama lain.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita nampaknya semakin meninggalkan pesanan Baginda SAW dan akibatnya, lihatlah bagaimana fenomena semasa dalam masyarakat dan dunia Islam peringkat global dewasa ini yang kian terhakisnya semangat bersatu dalam satu jemaah yang padu.

Nampaknya kita perlu banyak belajar daripada kehidupan semut. Biarlah semut dijadikan teladan kerana makhluk Allah ini kaya dengan khazanah nilai peribadi yang unggul seperti saling bekerjasama, kepatuhan kepada pemerintah selain gigih bekerja.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90