Ahmad Said dilantik semula Menteri Besar Terengganu


KUALA TERENGGANU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua.
  
Ahmad, 56, berkata beliau telah menerima surat pelantikan itu hari ini yang telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
  
"Saya telahpun menghadap tuanku sebentar tadi, saya telah menerima surat pelantikan dengan persetujuan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) iaitu presiden parti (Umno dan pengerusi BN) yang melantik saya sebagai Menteri Besar dan tuanku telah perkenankannya.
  
"Majlis angkat sumpah Menteri Besar akan diadakan bersama-sama pelantikan Exco dalam masa dua atau tiga hari lagi," katanya kepada  pemberita di kediaman rasminya Seri Iman, di sini hari ini.
  
Terdahulu, kenderaan rasmi Ahmad dilihat memasuki perkarangan Istana Badariah kira-kira 2.45 petang ini dan  keluar semula 20 minit kemudian dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal itu kelihatan ceria sambil melambai tangan kepada pemberita yang menunggu di luar pintu utama.

Ahmad dilantik semula sebagai menteri besar selepas BN berjaya mengekalkan penguasaan di Terengganu apabila menang 17 daripada 32 kerusi DUN.
  
Ahmad pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu oleh Sultan Mizan Zainal Abidin pada 22 Mac 2008.
  
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti barisan Exco baru Terengganu dan akan berjumpa dengan Najib di ibu negara malam ini untuk membincangkan perkara itu.
  
Pada pilihan raya umum Ahad lepas, Ahmad mengalahkan calon Pas Hazri Jusoh dengan majoriti 4,204 undi.

- BERNAMA



 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.