Emosi marah dan benci perlu dikawal elak kesan buruk

 Allah menjadikan manusia sebaik-baik makhluk di muka bumi bertepatan firman Allah dalam surah At-Tiin, ayat 95. Kejadian sempurna ini merangkumi keindahan fizikal dan tarbiyah Islam yang membantu dalam pembangunan kecemerlangan emosi, intelek serta kecantikan akhlak mereka.

Setiap aspek itu saling berkait rapat, melengkapi dan mempengaruhi satu sama lain. Ini bermakna jika buruk sesuatu aspek itu, maka akan menjadi kurang, cacat dan tidaklah sempurna kejadian dalam diri seseorang individu itu.
Akhirnya, keburukan akan menjadi nyata dan diluahkan dalam bentuk pemikiran yang terpesong, perangai serta akhlak buruk, emosi tidak terkawal, menjurus kepada kehidupan tidak terpandu ke arah kebaikan.


Bagi mencapai kestabilan dalam kehidupan, Islam menuntut umatnya memelihara kesejahteraan akal, minda, pemikiran, emosi serta akhlak dan perbuatan. Namun, satu aspek yang sering tidak diberi perhatian sepenuhnya oleh umat Islam ialah memelihara kestabilan emosi.

Tak mampu kawal emosi

Wujud sebahagian besar umat Islam yang tidak mampu mengawal emosi berdasarkan beberapa fenomena yang berlaku dalam kehidupan mereka, lantas mengakibatkan beberapa kejadian serta gejala tidak sewajarnya seperti tunjuk perasaan, amuk, pergaduhan dan perceraian.

Pengawalan atau pengurusan emosi bermaksud seseorang individu itu mampu menyedari dan celik akal terhadap emosi atau perasaan yang sedang ia alami. Ia juga mampu mengenal pasti jenis emosi dan perasaan yang dialami serta memahami tahap atau darjah ketinggian emosi ditunjukkan itu.
Pada masa sama, mereka juga memahami bagaimana emosi dan perasaan akan menjadi tidak stabil, apakah tindakan yang sering atau biasa dilakukan apabila berdepan emosi tertentu serta bagaimana mengatasi kesukaran yang timbul akibat emosi itu.

Emosi adalah perasaan gembira, sedih, marah, suka, kecewa, takut, murung dan sebagainya. Terdapat dua jenis emosi, iaitu emosi negatif dan positif. Perasaan suka sering dilihat sebagai emosi positif kerana ia sering membawa keseronokan dan kegembiraan.

Manakala perasaan benci dan marah pula sering dilihat sebagai negatif, kerana ia membawa kepada kepayahan dan kesukaran. Emosi suka juga boleh menjadi negatif apabila ia ditunjukkan secara berlebihan dan tidak terkawal, begitu juga emosi benci dan marah berpotensi menjadi positif serta membawa kebaikan jika dibimbing secara lebih rasional.

Memahami jenis dan tahap emosi penting kerana Islam menuntut setiap umatnya membawa kehidupan dan tingkah laku mereka menuju kepada kebaikan. Tahap pengurusan atau pengawalan emosi yang rendah dan lemah akan membawa huru-hara serta kesan buruk dalam kehidupan.

Daya tahan

Kehidupan harmoni dan stabil dalam keluarga atau masyarakat memerlukan kepada daya tahan serta kekuatan pengawalan emosi. Bagi membina kehidupan yang baik dan soleh, perlu bijak menangani perubahan emosi.

Contoh pengurusan emosi ialah panduan diberi Rasulullah SAW kepada kita untuk mengawal perasaan ketika sedang marah. Justeru, hendaklah kita mengikut panduan yang diberi supaya bijak mengawal emosi seterusnya menghasilkan kehidupan yang sejahtera.

- BERITA HARIAN

Emosi marah dan benci perlu dikawal elak kesan buruk

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran