Fibroid ketika hamil

Bersama profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain
Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi)
Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan
Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.

SOALAN:

Apakah itu fibroid dan puncanya? Apakah ia merbahaya kepada bayi dalam kandungan? Apakah rawatan bagi fibroid yang dihidapi semasa hamil?

JAWAPAN:

Fibroid merupakan ketumbuhan biasa atau ketumbuhan benigna yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim. Otot yang membentuk rahim adalah daripada jenis yang dinamai otot licin. Fibroid berasal daripada ketumbuhan yang terjadi pada otot tersebut. Oleh itu, nama lain bagi fibroid ialah leiomioma. Pun begitu, fibroid boleh tumbuh pada organ-organ lain yang mengandungi sel otot licin.

Ketumbuhan fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di bawah umur 50 tahun. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus wanita dalam lingkungan usia reproduktif, iaitu 30 hingga 40 tahun menghidap fibroid. Pada usia melebihi 35 tahun, kejadian fibroid berlaku secara lebih kerap, iaitu menjangkau sebanyak 40 peratus.

Mereka yang berisiko untuk menghidap fibroid ialah wanita pada usia subur (30 hingga 40 tahun), wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau indeks jisim badan melebihi 25kg/m², wanita yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid dan juga dalam kalangan wanita yang tidak pernah melahirkan anak (nulliparous).

Pembesaran fibroid

Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, fibroid biasanya terdapat dalam kalangan wanita pada usia subur. Oleh itu, tidak hairanlah fibroid ditemui dalam kalangan wanita yang hamil. Kadang-kadang fibroid boleh menimbulkan kesan yang tidak dijangka semasa seseorang itu hamil. Ada fibroid yang dapat menimbulkan masalah dan ada yang tidak. Kebanyakan fibroid tidak akan membesar ketika hamil. Pembesaran fibroid bergantung pada aras hormon estrogen di dalam badan. Kesan kehamilan terhadap fibroid mungkin bergantung pada faktor genetik dan juga aras faktor pertumbuhan yang terdapat di dalam darah yang mungkin boleh mengawal pertumbuhan fibroid tersebut.

Mengikut laporan kajian yang dijalankan ke atas wanita hamil yang menghidap fibroid, imbasan ultrabunyi menunjukkan lebih kurang 70 peratus wanita hamil tersebut tidak mengalami pembesaran fibroid semasa hamil. Seramai 30 peratus wanita pula menghadapi pembesaran fibroid dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan. Hal ini mungkin juga disebabkan oleh pengaruh hormon estrogen yang berada pada aras yang tinggi ketika awal kehamilan.

Hanya segelintir wanita hamil yang diketahui mempunyai fibroid ketika menjalani ujian imbasan ultrabunyi dan kebanyakan wanita yang menghidap fibroid jarang mengalami masalah ketika hamil. Walaupun fibroid didapati membesar ketika hamil, kaum wanita tidak perlu gusar kerana fibroid biasanya akan mengalami pengecutan selepas kelahiran anak. Pasti ramai di kalangan wanita hamil akan tertanya-tanya adakah fibroid akan menyebabkan kehamilan mereka menghadapi masalah?

Wanita hamil yang menghidap fibroid memerlukan pengawasan berkala. Perkara ini penting untuk memastikan pembesaran janin berlaku dengan baik untuk membantu ibu tidak mengalami keguguran dan kesakitan semasa hamil serta menghindari kelahiran bayi pramatang. Ibu juga berpeluang mempunyai cara terbaik bagi kelahiran bayinya dan tidak mengalami perdarahan yang teruk selepas kelahiran bayi.

Apabila wanita hamil dan menghidap fibroid, beberapa masalah mungkin berlaku. Antaranya termasuklah kehamilan itu berisiko untuk mengalami keguguran, meningkatnya risiko untuk kelahiran pramatang, pembesaran fibroid, kelahiran yang tidak normal dan mengalami perdarahan yang banyak selepas melahirkan bayi.

Berisiko untuk mengalami keguguran

Hal ini berlaku disebabkan oleh kesan fibroid jenis submukosa yang membesar di dalam kaviti (rongga) rahim. Apabila pembesaran berlaku, fibroid ini akan menyebabkan lapisan rahim, iaitu bahagian bagi penempelan janin menjadi nipis dan menghalang bekalan darah yang mencukupi untuk tumbesaran janin tersebut. Selain itu, fibroid juga akan menyebabkan inflamasi di lapisan penempelan dan mengakibatkan janin tidak dapat menempel dengan baik dan hal ini akan menyebabkan keguguran.

Mengalami perdarahan yang banyak selepas melahirkan bayi

Rahim akan mengalami masalah untuk mengecut. Keadaan ini merupakan salah satu penyebab utama tumpahan darah selepas bersalin. Bagi mengelak perkara ini berlaku, pakar perbidanan akan memberikan suntikan ubat yang kuat untuk memastikan rahim tersebut dapat mengecut.

Meningkatnya risiko untuk kelahiran pramatang

Janin dalam kandungan membesar akan menyebabkan rahim membesar pada masa yang sama. Keadaan ini lebih kerap berlaku bagi fibroid yang berada di bahagian bawah rahim yang pada masa yang sama boleh menekan kepala bayi yang belum matang. Keadaan ini boleh menyebabkan wanita tersebut mengalami kontraksi (kesakitan bersalin) lebih awal sebelum waktu yang sepatutnya.

Kelahiran yang tidak normal

Kelahiran normal terganggu jika fibroid berada pada bahagian bawah rahim. Bentuk rahim juga mungkin akan berubah disebabkan kewujudan fibroid. Hal ini akan meningkatkan risiko kedudukan bayi tidak normal seperti melintang atau songsang.

Rawatan

Bagi wanita hamil, doktor hanya akan memberikan rawatan seperti ubat penahan sakit, jika perlu. Ubat penahan sakit selalunya diberikan dalam bentuk suntikan. Pembedahan untuk membuang fibroid tidak akan dilakukan semasa hamil. Jika kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan caesarean, sebarang pembedahan membuang fibroid (miomektomi) tidak dilakukan pada masa yang sama.

Hal ini kerana perdarahan yang banyak mungkin akan berlaku ketika pembedahan miomektomi. Perdarahan yang banyak ini mungkin agak sukar dikawal. Keadaan ini berlaku kerana ada saluran darah yang agak banyak dan besar di bahagian rahim ketika hamil berbanding sewaktu tidak hamil.

Pembedahan hanya boleh dilakukan selepas ibu melahirkan anaknya, sekiranya fibroid tersebut berbahaya jika tidak dibuang. Lazimnya saiz fibroid akan diawasi lagi selepas tempoh pantang apabila aras hormon kembali normal.

- MINGGUAN MALAYSIA

Fibroid ketika hamil

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran