Top Ad 728x90

Guru mesti sanggup laksana perubahan

Guru mesti sanggup laksana perubahan

Para guru diajak untuk meningkatkan semangat profesionalisme masing-masing dalam menghadapi cabaran baharu alaf pendidikan negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud memberitahu, warga guru merupakan golongan profesional yang mesti sanggup menerima dan melaksanakan perubahan, responsif kepada perubahan dan seterusnya menjana serta menjuarai perubahan tersebut.

Jelasnya, bagi menjuarai perubahan ini, warga guru perlu peka kepada persekitaran pekerjaan selain tidak mudah berpuas hati dengan tahap pencapaian dan keberhasilan kerja, seterusnya menjadi pemecah paradigma dengan meneroka penyelesaian baharu kepada sebarang isu pendidikan.

"Guru-guru adalah pendidik yang inventif dan inovatif serta memiliki mentaliti boleh lakukannya dalam menyempurnakan visi dan misi pendidikan negara.

"Sumbangan paling bermakna dan tindakan paling berkesan dapat dicapai sekiranya tenaga kerja profesional dalam jentera pendidikan negara merupakan sepasukan profesional yang responsif terhadap fenomena, cabaran dan harapan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap pada sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-42 di Stadium Tertutup Nilai dekat Seremban malam tadi. Perasmian majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pelajaran I, Datuk Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Pelajaran II, P. Kamalanathan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed.

Menyentuh mengenai tema sambutan Hari Guru tahun ini "Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda", Abdul Ghafar menjelaskan, ia menuntut semua guru dalam negara ini mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025.

Jelas beliau, menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi, iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

Kata Abdul Ghafar lagi, 1Aspirasi adalah untuk memberi fokus kepada inisiatif yang berimpak tinggi kepada keberhasilan dan kemenjadian murid.

"Ia berpaksi ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi," katanya.

- UTUSAN


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90