CONTOH SOALAN EXAM / PEPERIKSAAN PTD 2014

Kepada calon yang akan menduduki peperiksaan PTD pada 1 November 2014
Dapatkan Pakej Rujukan Soalan PTD SPA segera! --> http://jvsecurepay.com/access/116rg/28?camp_id=2264



Kerjaya Secara Kontrak

on Wednesday, May 1, 2013


Rutin kerja harian, N. Ganesan, 33, bermula seawal 7.30 pagi. Tugas utamanya sebaik masuk ke pejabat adalah mengambil surat khabar, menyelak helaian demi helaian dan memotong artikel yang berkaitan dengan majikannya.

Tugasnya sebagai Pembantu Am Pejabat Gred N1 secara kontrak di Jabatan Perancangan Korporat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu kedengaran mudah. Bagaimanapun, setiap hari anak jati Kuala Lumpur itu perlu menyemak 10 naskhah surat khabar iaitu berbahasa Melayu, Inggeris dan Tamil.

"Setiap hari kerja, saya perlu menyemak kesemua surat khabar tersebut. Jika terdapat artikel berkaitan DBKL saya akan potong, masukkan dalam fail dan hantar ke Majlis Tertinggi DBKL. Sekiranya, ada artikel yang memerlukan jawapan balas untuk disiarkan di akhbar, saya perlu mendapatkan respons tersebut sebelum diserahkan kepada akhbar terbabit," katanya yang tinggal di Flat Sri Sabah, Cheras.

Kerjaya awal

Sebelum bekerja di DBKL, Ganesan bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Astro. Pekerjaan itu dilakukan selama tiga tahun juga secara kontrak.

Ketika berusia 27 tahun, Ganesan terlihat iklan di akhbar berkaitan kerja kosong yang ditawarkan di DBKL iaitu sebagai pengawas Gred N11. Membina kerjaya dengan pihak kerajaan merupakan impiannya sejak dahulu. Dia yang masih bujang ketika itu, telah menghantar permohonan dan menghadiri temuduga sebelum berjaya mendapat jawatan tersebut iaitu secara kontrak selama tiga tahun.

"Saya rasa sangat seronok mendapat pekerjaan tersebut, walaupun secara kontrak saya memperoleh pelbagai faedah sama seperti pekerja tetap kecuali tiada pencen. Saya juga mendapat elaun perumahan, sara hidup, perkhidmatan rawatan percuma, kenaikan gaji dan bonus. Apabila kontrak selama tiga tahun tamat dan saya ditawarkan kontrak lanjutan selama setahun," katanya yang kini telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak.

Pada tahun 2010, kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan jawatan tersebut. Ganesan perlu membuat pilihan sama ada untuk berhenti kerja atau turun gred kerana jawatan baharu itu memerlukan kelayakan akademik lebih tinggi. Ini kerana, jawatan lamanya cuma memerlukan kelayakan minimum Sijil Rendah Pelajaran manakala jawatan baharu memerlukan kelayakan minimum iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk kredit subjek Bahasa Malaysia.

"Walaupun saya bekerja secara kontrak, syukur hak saya sebagai pekerja tetap terjamin. Dalam keadaan tersebut, saya mengambil keputusan untuk turun gred kerana tidak menepati kriteria yang ditetapkan.

Selepas itu, saya dihantar ke jabatan sekarang. Saya tidak menyesal membuat pilihan tersebut kerana masih mempunyai kerja, malah berpeluang untuk memohon jawatan tetap jika ada kekosongan," katanya yang seronok melakukan tugas tersebut.

Bersyukur dapat kerja

Dalam pada itu, rakan sepejabatnya, Laili Noor Hila Talib, 28, juga bersyukur kerana memperoleh pekerjaan iaitu Pekerja Am Gred R1 walaupun secara kontrak.

Menganggur selama beberapa tahun selepas tamat SPM, pekerjaan pertama tersebut sangat mengujakannya.

"Saya gembira bekerja di sini, kerjanya pun tidak susah dan kerja-kerja banyak dilakukan dalam pejabat seperti mengirim, merekod dan memfail surat-surat yang diterima. Jika ada program pejabat pada hujung minggu, saya turut diberikan elaun kerja lebih masa," katanya yang mampu memperoleh gaji sehingga RM2,000 sebulan.

Sejak masuk kerja pada tahun 2006, ibu kepada dua anak itu turut berpeluang menyertai program-program yang dihadiri pemimpin-pemimpin negara.

"Jika lihat kepada jawatan saya, siapa sangka saya boleh bertemu ramai pemimpin negara atau pergi ke acara-acara yang diadakan di hotel-hotel besar. Ini kerana apabila berlaku acara melibatkan pemimpin negara di ibu negara saya akan bertugas sebagai penyambut tetamu," katanya.

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, tidak ada apa yang perlu dimalukan atau dibimbangkan jika bekerja secara kontrak.

"Layanan yang kami terima jika dibandingkan dengan pekerja tetap tidak ada bezanya. Kerjaya sebagai pekerja kontrak juga bagus untuk menimba pengalaman selain membina reputasi kerja sebelum memohon secara tetap," katanya yang memberitahu gaji pekerja kontrak dipotong untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) manakala pekerja tetap mempunyai pencen.

Laili tidak bimbang tentang lanjutan kontrak ekoran majikannya hanya membuang pekerja yang mempunyai masalah disiplin.

Dia juga tidak berhasrat untuk mencari kerja di tempat lain berikutan keistimewaan yang diperoleh sebagai pekerja DBKL memuaskan hatinya.

"Saya mendapat kenaikan gaji, elaun lebih masa dan faedah perubatan. Jika ada program hari keluarga, kami juga tidak ketinggalan menyertainya," katanya.

Penyanyi kontrak

Dalam pada itu, Norhaslina Mohd., 31, pula walaupun berstatus pekerja kontrak, namun lapangan kerjayanya jauh berbeza daripada Ganesan dan Laili.

Norhaslinda bertugas sebagai penyanyi di hotel-hotel atau kelab-kelab. Menggunakan nama pentas iaitu Sally, anak kelahiran Tampoi, Johor Bahru, Johor itu telah terbabit secara aktif sebagai penyanyi sejak berusia 19 tahun lagi.

Berminat dalam bidang nyanyian sejak kecil, aktiviti nyanyian Sally terus berkembang ketika zaman persekolahan terutamanya ketika di sekolah menengah.

"Pada usia 14 tahun saya telah menyertai banyak aktiviti nyanyian bukan sahaja di Johor, malah di negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Ketika itu, saya mendapat undangan pentas yang diuruskan oleh ejen-ejen dengan bayaran paling banyak sehingga RM150 untuk satu persembahan nyanyian.

"Saya berhenti seketika daripada menyanyi apabila ingin menduduki SPM. Selepas itu, pada usia 19 tahun, kakak saya yang bekerja di sebuah hotel di Johor Bahru telah mengesyorkan saya untuk menyanyi secara kontrak di tempat kerjanya. Ia merupakan kontrak pertama saya sebagai penyanyi yang dilakukan pada tahun 2001. Kontrak tersebut selama tiga bulan dengan kadar bayaran sebanyak RM1,500 tidak termasuk komisen," katanya.

Sejak itu, Sally tidak menoleh kebelakang lagi dan terus terbabit sebagai penyanyi sama ada di hotel atau kelab malam. Dalam tempoh 12 tahun pembabitan, banyak kontrak ditanda tanganinya yang kesemuanya diuruskan oleh ejen.

"Bidang nyanyian merupakan minat saya bagaimanapun, kerjaya seperti ini masa depanny tidak menentu. Bayaran kontrak yang diterima juga tidak tinggi iaitu sekitar RM3,000 sebulan. Sesetengah majikan memberikan tempat tinggal, makanan, dobi dan minuman percuma. Masalahnya, cuti tidak menentu dan sakit pun kena kerja atau cari pengganti dengan gajinya saya bayar.

"Selain itu, tiada kemudahan perubatan dan KWSP. Untuk mendapatkan kontrak juga bukan mudah kerana ramai penyanyi tempatan dan luar negara yang berebut untuk mendapatkannya," katanya yang pernah hampir tiga bulan tidak menerima sebarang tawaran kerja.

Untuk perancangan masa depan, Sally yang turut berbakat dalam bidang lukisan berhasrat untuk berhenti menyanyi ketika berusia 35 tahun.

"Saya mungkin membuka restoran atau menjadi guru vokal," katanya yang tidak pernah menyesal menceburi bidang tersebut.

- KOSMO!

 
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© MY ADHA - Soalan Exam Pegawai Tadbir Diplomatik PTD | Hakcipta Terpelihara 2008 - 2014
D.I.Y Themes ByBelajar SEO