Top Ad 728x90

,

Pengabungan Kementerian Pelajaran & Pengajian Tinggi Kini Hanya Dikenali Sebagai Kementerian Pelajaran Sahaja

Pengabungan Kementerian Pelajaran & Pengajian Tinggi Kini Hanya Dikenali Sebagai Kementerian Pelajaran Sahaja

Penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu bumbung akan menyeragamkan pelaksanaan dasar-dasar bagi melonjakkan mutu pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi penggabungan itu, semua peringkat pendidikan akan menikmati perkongsian sumber dan kepakaran bagi memastikan bidang pendidikan dapat diurus dengan lebih cekap seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.

"Keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menggabungkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu bumbung dengan pelantikan seorang Menteri Kedua adalah satu keputusan tepat.

"Ia melambangkan keprihatinan kepimpinan beliau untuk melihat bidang pendidikan di negara kita dapat diurus dengan lebih cekap dan menyumbang secara lebih berkesan kepada kemajuan negara," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-42 tahun 2013 yang bertemakan 'Guru Malaysia: 1Aspirasi 1Agenda' di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan.

Muhyiddin turut mengumumkan bahawa kementerian baharu hasil gabungan dua kementerian itu akan dikenali sebagai Kementerian Pelajaran sahaja, berbanding Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi sebelum ini, selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, dengan penggabungan itu usaha-usaha transformasi pendidikan juga akan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien apabila kepakaran daripada semua peringkat pendidikan dapat digembleng secara lebih menyeluruh untuk menghasilkan satu lonjakan berganda dalam pendidikan negara.

Sementara itu beliau berkata, pemilihan tema 'Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda' untuk sambutan Hari Guru tahun ini adalah amat bertepatan dengan hasrat kementerian untuk mentransformasi sistem pendidikan negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah dilancarkan.

Katanya, tema tersebut merupakan cerminan harapan rakyat dalam melahirkan generasi masa depan yang lebih cemerlang di negara ini dan seluruh warga pendidik wajar memahami hasrat dan kehendak dalam PPPM dan berusaha memberikan pendidikan berkualiti menjangkau ke seluruh lapisan pelajar.

Sejak dilancarkan sasaran enam inisiatif untuk 100 hari gelombang pertama PPPM telah pun berjaya dicapai.

Ini termasuk seramai 61,000 guru Bahasa Inggeris telah diuji melalui Ujian Penempatan Cambridge (CPT) bagi mengenal pasti tahap kemahiran dalam Bahasa Inggeris dengan kohort pertama seramai 5,000 guru telah memulakan latihan bagi meningkatkan lagi tahap kemahiran mereka, katanya.

Selain itu, katanya, peningkatan kualiti guru juga dilaksanakan dengan mewujudkan 339 Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan 1,278 Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) yang ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah di seluruh negara menjelang tahun depan.

Menurut beliau, SiPartners+ dan SISC+ diwujudkan untuk mengiktiraf kepakaran guru melalui Program Transformasi Pejabat Pelajaran Daerah yang akan membantu meningkatkan kesedaran guru kepada amalan pengajaran yang lebih efisien di samping pengurusan sekolah yang lebih cekap.

"Saya yakin guru mendapat sokongan yang terbaik sehingga dapat meningkatkan kualiti sekolah dengan pengurangan sebanyak 50 peratus sekolah dalam band 6 dan 7 di negeri Sabah dan Kedah. Insya-Allah, menjelang tahun 2015 kita akan berjaya mencapai sasaran sifar bagi kedua-dua band tersebut," katanya.

Bagaimana pun beliau mengingatkan agar warga pendidik tidak mudah lalai dan leka dengan pencapaian itu dan usaha yang berterusan perlu digiatkan bagi memastikan para pelajar menguasai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman pembelajaran yang berkualiti.

Katanya dalam melaksanakan hasrat PPPM, para guru perlu memiliki satu wawasan unggul untuk mentransformasi pelbagai aspek pendidikan, berpemikiran aras tinggi dan mampu berinovasi untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap bertaraf dunia.

Selain itu para guru perlu memiliki kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT)meliputi pemikiran kritikal, keupayaan berkomunikasi, kemampuan penerokaan persekitaran serta keyakinan kendiri perlu sentiasa dijana menerusi pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang holistik, katanya.

"Bagi menilai keberkesanan KBAT, sebanyak 30 peratus soalan dalam peperiksaan pusat seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM/STAM menjurus kepada elemen KBAT. Dalam kalangan murid juga, KBAT dinilai melalui peperiksaan antarabangsa seperti TIMSS dan PISA sesuai dengan hasrat Kementerian untuk melahirkan murid yang mampu bersaing di peringkat global," ujar beliau.

Muhyiddin berkata dalam menghargai jasa dan pengorbanan warga guru kerajaan telah menggariskan beberapa inisiatif untuk meningkatkan taraf guru terutama berkaitan laluan kerjaya.

Katanya, menerusi PPPM juga, pelan untuk menaik taraf profesion keguruan akan dirangka supaya 420,000 guru berpeluang dinaikkan pangkat berdasarkan prestasi.

Selain itu, kata Muhyiddin, untuk memastikan guru lebih fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran dan murid mendapat faedah semaksimum mungkin, kerajaan juga sedang menjalankan kajian rintis di Melaka bagi menempatkan pembantu tadbir N17 di sekolah bagi menguruskan tugas perkeranian guru data, perpustakaan dan media.

"Dapatan awal kajian rintis menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Sekiranya kajian rintis ini berjaya, maka Insya-Allah kita akan memperluaskan khidmat sokongan pembantu tadbir N17 ini ke semua sekolah secara berperingkat-peringkat," kata beliau.

Dalam ucapannya Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada guru-guru di daerah Lahad Datu, Sabah yang telah menjalankan tanggungjawab dengan berani walaupun berdepan cabaran insiden pencerobohan.

Pada majlis itu Muhyiddin kemudiannya menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2013 kepada Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim dan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2013 kepada tiga penerima iaitu Rabiah Johari, Wan Hamzah Wan Daud dan Jacob a/l P.C Mathews.

Anugerah Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2013 diterima Datuk Freida Mohd Pilus.

Turut hadir ke majlis itu adalah Menteri Pelajaran 2 yang baharu dilantik, Datuk Seri Idris Jusoh dan timbalan menteri pelajaran 1 Datuk Mary Yap dan timbalan menteri pelajaran 2, P. Kamalanathan serta Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

- mSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90