Punca-punca ramai meminjam dari Along

Disebabkan sentiasa mahu kelihatan bergaya dan memikat teman wanita, semakin ramai golongan muda yang baharu tamat belajar dan belum mempunyai pekerjaan meminjam wang dengan ah long.

Tindakan itu akhirnya menyusahkan mereka dan keluarga apabila diburu oleh ah long setelah gagal menjelaskan wang yang dipinjam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Tajuddin Md. Isa berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat peningkatan kes membabitkan ah long di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) di seluruh negara pada setiap tahun.

Beliau berkata, sebagai contoh pada tahun lalu terdapat 448 kes APPW dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 67.8 peratus berbanding hanya 287 kes diterima pada 2011.

"Pelanggan-pelanggan ah long terdiri daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang seperti peguam, jurutera, doktor, kakitangan kerajaan, swasta dan sebagainya.

"Namun sejak kebelakangan ini, kita dapati terdapat peningkatan kes golongan lelaki muda berusia lingkungan 20-an yang belum bekerja meminjam wang dengan ah long untuk membawa teman wanita makan di restoran mewah dan membeli-belah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kerajaan Bukit Perdana di sini hari ini.

Menurut Tajuddin, golongan paling ramai dikesan berhutang dengan ah long ialah kaki judi iaitu lebih 80 peratus diikuti pekerja kilang, kakitangan kerajaan dan golongan profesional.

Beliau berkata, antara faktor mendorong orang ramai berhutang dengan ah long ialah ingin memenuhi kehendak dan tuntutan nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang.

Katanya, ada juga meminjam ah long kerana pengaruh rakan sebaya iaitu berbangga dengan apa yang dimiliki walaupun pada hakikat tidak memerlukannya.

"Sikap tidak pernah puas dan cukup dengan apa yang telah dimiliki dan sanggup berhutang demi memenuhi kehendak dan hajat tanpa memikirkan akibat yang mendatang.

"Ramai penjaja atau peniaga kecil terpaksa meminjam dengan ah long kerana sukar untuk mendapatkan kemudahan pinjaman yang disediakan oleh institusi kewangan dan perbankan disebabkan tidak memenuhi syarat setelah disenarai hitam, muflis, prosedur yang sukar dan tidak cukup dokumen seperti penyata bank serta lesen perniagaan," ujarnya.

Tajuddin berkata, perniagaan ah long didalangi oleh kumpulan kongsi gelap atau individu yang mengamalkan budaya samseng yang memperdagangkan mata wang tanpa lesen melalui konsep pinjaman, operasi bergerak secara berantai, berurusan secara lisan dan tanpa peraturan.

Beliau berkata, sebelum membuka perniagaan ah long, mereka terlibat melakukan kegiatan jenayah seperti pelacuran dan perjudian untuk mendapatkan modal.

Katanya, ah long menggunakan pelbagai cara untuk memaksa peminjam menjelaskan bayaran pinjaman seperti menyembur cat merah pada harta benda mangsa, mengantung kepala khinzir di luar kediaman mangsa, merampas barang daripada rumah atau premis perniagaan mangsa, menyediakan lokap atau tempat tahanan bagi mangsa yang tidak dapat membayar hutang.

"Ah long juga akan mempamerkan sepanduk besar identiti mangsa seperti kad pengenalan di kawasan yang mudah dilihat orang awam dan laman sosial Facebook dengan kata-kata yang memalukan mangsa sebagai contoh 'Tak tahu malu, sudah pinjam tidak mahu bayar'," katanya.

- UTUSAN
Punca-punca ramai meminjam dari Along

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.