Top Ad 728x90

,

Tidak sesuai jadi ibu bapa jika tak romantik

Tidak sesuai jadi ibu bapa jika tak romantik

Kajian terbaru di Britain mendapati, ibu bapa yang tidak romantis atau mengelak untuk berkelakuan romantis kurang sepadan menggalas tugas sebagai ibu bapa bersama.
Ia berkait rapat dengan sifat semula jadi perlu ada untuk menjadi pasangan yang memahami iaitu sensitif dan sanggup untuk memberikan pertolongan. Sifat sama turut diperlukan untuk bergelar ibu bapa.


Penyelidik di University of Bristol, Abigail Millings, berkata jika seseorang itu peka dan bertanggungjawab terhadap pasangan, ia menjadi petanda dia bagus dalam hubungan lain.

Kuncinya kata Millings, keupayaan seseorang untuk bergaul secara sihat dengan orang lain.

Tambahnya lagi, mereka yang mempunyai masalah pergaulan cenderung emosi manakala orang yang berasa tidak yakin dengan hubungan pula didapati lebih bergantung dengan pasangan.

Individu yang bijak bergaul lebih santai dan berdikari dalam hubungan dan sedar, ada insan lain bersama mereka mengharungi kehidupan berkeluarga, lapor LiveScience.
Kajian itu dijalankan Millings bersama kumpulan penyelidiknya terhadap 125 pasangan British yang memiliki anak berusia antara tujuh hingga lapan tahun. Responden diminta menyenaraikan perlakuan romantis mereka terhadap pasangan, perasaan romantis dan gaya keibubapaan.

Kumpulan responden itu dikelaskan kepada tiga kumpulan - paling ideal adalah yang berwibawa (mesra, berkomunikasi tetapi dalam kawalan), kurang sepadan adalah berkuasa mutlak (masih boleh dikawal tetapi tidak mesra) dan permisif (memberi kebebasan) mesra tetapi komunikasi tidak terkawal.

Keputusan menunjukkan, ibu bapa yang tidak mesra (tidak romantik dalam hubungan) tidak sesuai menjadi ibu bapa dan hasilnya, mereka didapati jenis yang menggunakan kuasa veto terhadap pasangan atau jenis lepas tangan terhadap tanggungjawab dalam keluarga.

Kajian ini sudah disiarkan dalam talian di jurnal Buletin Psikologi Personaliti dan Sosial.

Kajian terdahulu menunjukkan, individu tidak yakin dengan hubungan juga menyebabkan mereka memandang dunia keibubapaan sebagai cabaran yang menakutkan, selain mereka terpaksa bekerja keras untuk melaksanakan tugas itu, lapor LiveScience.

Petua cinta suami isteri

Mengekalkan hubungan cinta dalam rumah tangga tidak semudah mendirikannya. Saban tahun, ribuan pasangan mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing, lantaran tiada kesefahaman dalam melayari bahtera perkahwinan.

Mengapa hal ini perlu terjadi? Sedangkan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta seharusnya dapat dilalui dengan bahagia sehingga ke akhir hayat.

Banyak petua dan kaedah dalam menjaga hubungan. Ramai percaya membina pemikiran positif dapat mempengaruhi seseorang untuk membentuk sikap positif dalam diri.

Memetik tulisan Pakar Cinta dalam artikel bertajuk, Tips Menjaga Rumah Tangga dan Perkahwinan, lima panduan dititipkan untuk dijadikan panduan.

1. Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.

Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakan manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak.

Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.”

Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu. Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Justeru, penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggungjawab.

2. Sering berdamping dengan orang yang positif.

Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah SAW menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.

Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi.

3. Jadikan sekarang masa paling gembira.

Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “Bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.”

Dengan berkata demikian, kita ‘membunuh’ potensi hari ini.

4. Cari jalan untuk mengatasi tekanan.

Tekanan akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu, suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres.

Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan.

5. Jangan terlalu serius.

Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalani kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur.

Doa supaya suami dan isteri saling mengasihi
“Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90