Wawancara : Adakah saya gagal dalam PRU? - Anwar Ibrahim


Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menyaksikan pelbagai perkara termasuk insiden pengundi hantu menarik perhatian media. Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian tidak berpuas hati dan menganggap perikatan itu sepatutnya sudah menang.

Ikuti temu bual Anwar bersama wartawan Sinar Harian dan Sinar Harian Online SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN dan NOOR SHAZURA ZUKI.

SINAR HARIAN ONLINE: Datuk Seri, nampaknya berbanding 2008, Datuk Seri terima keputusan pilihan raya. Semalam (Ahad lalu), Datuk Seri memberikan pandangan yang sebaliknya walaupun bilangan kerusi Parlimen meningkat. Mengapa?
ANWAR: Kerana kita dah menang... kemudian dirompak kemenangan itu dari BN dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini kita perkukuh dengan bukti kehadiran orang Bangladesh, Myanmar mengundi, pegawai SPR mengeluarkan kertas undi ke luar, pemadaman lampu. Kes di Lembah Pantai terpaksa di kawal begitu keras sekali, kalau tidak kita tewas. Ini hanya lambang penipuan dan politik samseng. Kalau tidak ada dukungan yang kuat, semangat anak-anak muda di Lembah Pantai, Nurul Izzah akan tewas.

Gerombolan yang terlibat dalam penipuan itu terlalu kuat dengan pengaruh dan kaya. Bukti lain yang besar ialah, undi awal, undi pos, termasuk yang dari media.

Saya sudah tahu kerana mereka mengundi... tak kan 12 peratus saja diberi kepada kita. Keduanya, undi itu diberi kepada pejabat pos, melalui pejabat pos. Bukannya SPR. SPR beri pejabat pos, pejabat pos kepada media.
Media undi, pos beri kepada SPR, baru kita boleh pantau. Jadi, pemantauan itu hanya berlaku pada peringkat akhir. Kita tengok pada undi-undi daripada luar negara, itu 70 hingga 80 peratus memilih PR yang dinyatakan.

Tetapi apabila buka undi semuanya, kita 12 hingga 15 peratus. Ini semua berapa undi media, 50,000. Undi pos, 230,000. Undi awal jumlah keseluruhan mungkin dalam 200,000. Jadi besar. Kalau tidak dipantau, maka kecurangan berlaku.

SINAR HARIAN ONLINE: Nampaknya, Datuk Seri menggunakan istilah kemenangan dirompak. Adakah Datuk Seri masih tidak mahu menerima keputusan PRU13 walaupun ada peningkatan bagi pihak PR?
ANWAR: Ya. Bukan soal peningkatan. PR sudah menang. Cuma pendekatan kita seperti yang kita tahu harus mengikut beberapa proses undang-undang, sama ada... saya bincang dengan Pas terutamanya dengan PKR, apakah kita buat petisiyen pilihan raya untuk beberapa kawasan. Tiap kali kalau kira semula, kita tewas semua. Atau keduanya, bantahan. Seperti mana yang dicadangkan oleh badan-badan bukan kerajaan.
Kemenangan dirompak

SINAR HARIAN ONLINE: Ke mana nak pergi selepas ini? Pilihan yang Datuk Seri ada bagi PR? Nampaknya kecurigaan itu (berterusan)...
ANWAR: Kalau hak kita dirompak, kita minta hak kita semula. Kalau tidak diberikan, maka ada cara-cara. Sepatutnya, bukan dibuat oleh SPR yang ada sekarang ini. Yang ini suruhanjaya cawangan Umno. Ia mesti suruhanjaya bebas dan adil.

Sebab ini hak dari Perlembagaan, sebagai seorang Muslim atau rakyat Malaysia ia tak boleh buat penipuan yang terang-terang bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan melanggar undang-undang. Tapi kalau tanya, semua dia kata tak ada. Ini dakwat kekal, tak boleh basuh.

Pembohongan yang ditertawakan oleh semua rakyat. Kalau dulu semasa undi pos, sebahagian orang saya tengok yang tergolong dalam 'social network' Umno ini yang diupah mengatakan tengok ini penipuan PR.

Sekarang apa jurucakap Umno cakap tentang dakwat kekal? Tidak ada jawapan. Kerana mereka boleh pulang dan basuh. Di Permatang Pauh, tak kurang dari puluhan orang yang tunggu saya, sebab saya akan melawat pusat mengundi, tunjuk tangan dia. Saya kata, bila nak undi. Dia kata dah undi. Dia boleh basuh. Tengok dalam Facebook tapi apa jawab SPR? Oh tidak mungkin. Ini semua alat pembangkang.

Saya beri 42 nama (warga) Bangladesh, Indonesia yang undi pos atas nama tentera dan polis. Seminggu sebelum pilihan raya, dari senarai sah 2013 SPR. Mahu bukti apa lagi? Sepatutnya SPR tidak perlu tanya bukti, tanya hati nurani mereka apakah mereka ini, perasuah atau penjenayah?

SINAR HARIAN ONLINE: PR akan hantar memo (memorandum) secara rasmi?
ANWAR: Memo apa? Mereka tak baca. Memo apa lagi yang perlu? Siapa yang tidak tahu bahawa dakwat kekal itu tak kekal? Siapa yang tidak tahu berlaku percanggahan dalam senarai pengundi? Siapa yang tidak tahu bahawa orang Bangladesh datang mengundi?


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana desakan itu akan dibuat?
ANWAR: Petisyen pilihan raya itu adalah untuk proses penipuan. Tapi SPR ini, bagi saya ia perlu ditukar.  Kalau Datuk Najib kata sekarang ini kita harus ada penyatuan semula.

Bagi saya, kalau begitu, saya akan beri yang terbaik. Melainkan kempen kita ini secara sivil... anda bacalah Utusan. Sivil ke biadab? Tonton TV3, RTM. Nasib baik Sinar boleh tahan sedikit. Kadang-kadang kritik, tak apa. Kalau tak setuju, kritik. Kebebasan media. Tapi tidaklah sampai menghina orang, mengaibkan orang terus-menerus. Tak bagi ruang langsung. Ini kita kata pilihan raya bebas dan adil? Begitu bodoh kalau ada yang berpandangan sebegitu.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah PR akan boikot angkat sumpah, ahli-ahli Parlimen?
ANWAR: Yang itu kita sedang fikirkan sebab kita tak mahu ambil atau memilih cara yang saya nampak bukan menimbulkan keresahan. Jadi, kita kena timbang juga. Sebab itu, saya tidaklah menghalang kerajaan untuk meneruskan kerja, nanti kita tak ada kerajaan pula.

Tapi janganlah kerajaan itu boleh terus-menerus menipu dan rasuah macam sedia kala. Menghina orang dan menggunakan jentera kerajaan untuk mendera orang.

SINAR HARIAN ONLINE: Datuk Seri, komen sedikit tentang peningkatan kerusi DAP?
ANWAR: Itu yang disebut Datuk Seri Najib, tsunami politik. Ini saya rasa satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dari seorang pemimpin yang uar-uarkan 1Malaysia. Di Kelantan, Melayu semua dan Pas pertahankan dua pertiga kerusi. Di Terengganu Melayu, kawasan Melayu, dan Pas menambah kerusi dari satu kerusi Parlimen jadi empat. Kawasan saya (PKR, Azmin Ali), Gombak majoriti Melayu dan kita menang dengan mudah. Jadi, untuk mengatakan begitu...ya betul, etnik Cina ada suara dukungan yang ada juga etnik Melayu.

Yang ada kemungkinannya ialah jenis penipuan lebih itu banyak di kawasan yang dianggap campuran atau Melayu kerana majoriti yang diperoleh PR tidak besar. Agak lebih mudah untuk buat penipuan. Kalau nak dibuat penipuan di Bukit Bintang, dia kena bawa orang Bangladesh 10 kapal terbang pun tak cukup. Ini hanya dilakukan oleh SPR. Sebab itu kalau dilihat, orang yang marginal 6 itu, Bangladesh itu banyak muncul di kawasan marginal. Ada lah satu dua terselit masuk ke Bukit Bintang dan Permatang Pauh.

Tak wajar (dilabel tsunami cina). Maknanya pertentangan. Satu, dia kata kita rekonsiliasi, kemudian dia kata kita tsunami Cina, kenyataan ini tidak konsisten, tidak wajar. Kalau betul pun kemarahan orang Cina, tanyalah sebab apa. Sebab apa ada kebangkitan kemarahan masyarakat Cina?


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana masa depan politik negara berdasarkan keputusan PRU13?
ANWAR: Ya, saya dukacita kerana masa depan negara itu tercemar. Sudah 50 tahun merdeka, kita gagal mengamalkan politik yang bersih dan pilihan raya yang bebas dan adil. Ia dijamin dalam perlembagaan ini merampas hak rakyat.


SINAR HARIAN ONLINE: Tahun lepas Datuk Seri pernah kata kalau Datuk Seri gagal dalam pilihan raya, Datuk seri mungkin akan berundur dari politik.
ANWAR: Adakah saya gagal dalam pilihan raya kali ini? Ada peningkatan kerusi, kita menang. Soal keputusan saya itu, seandainya pilihan raya itu bersih, malah saya sudah berbincang dengan teman-teman di beberapa universiti utama untuk, jawatan pun sudah sedia untuk saya, tak realistik.  Kalau pilihan raya itu okey dan kita tewas, nak pergi Uitm mereka tak boleh terima.
Buat masa sekarang tidak. Buat masa sekarang saya harus jalankan tanggungjawab untuk memastikan proses pilihan raya itu, kecurangan itu diperbetulkan.

SINAR HARIAN ONLINE: Pada tahun 2008, Datuk Seri menjadi Ketua Pembangkang tapi kali ini dari segi komposisi kerusi, DAP mengatasi PKR.
ANWAR: Dari dulu pun kerusi DAP mengatasi PKR. Saya memang menawarkan diri untuk undur tapi kedua-dua, DAP dan Pas minta saya teruskan.
Saya ada beritahu tadi... tidak ada masalah sebenarnya jika YB Kit Siang (Lim Kit Siang) menjadi ketua pembangkang. Kelayakan dia, pengalaman dia. Saya boleh tumpu pada kerja-kerja lain. Setakat ini, DAP dan Pas berpendirian saya harus teruskan tapi saya akan bincangkan lagi. Jangan pula tulis Anwar letak jawatan... belum belum.

Masa depan Pakatan Rakyat

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana masa depan Pakatan Rakyat selepas ini Datuk Seri?
ANWAR: Baik. Kita meningkat dan kerjasama baik. Semalam dengan pimpinan DAP, tadi kita jumpa Dap dan Pas, semalam pun jumpa Dap dan Pas. Saya hubungi Ustaz Hadi secara personal, berbincang panjang soal ini. Juga dengan Lim Guan Eng. Hubungan itu masih baik.


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana kerusi MB Selangor?
ANWAR: Kerusi MB Selangor itu memang kita bagi sedikit masa dan kita runding dengan baik. Sebab itu saya dapatkan Lim Kit Siang, Ustaz Hadi. Tidak seperti mana yang berlaku pada tahun 2008, ada satu kelompok yang berebut dengan keadaan ini, saya syukur keadaan lebih baik. Tapi memang perkara ini dibincangkan. Hari ini atau esok kita selesaikan.


SINAR HARIAN ONLINE: Kemungkinan besar Tan Sri Khalid?
ANWAR: Saya tak ada masalah Tan Sri Khalid. Tapi masalahnya... bukan masalah tapi perlu satu perbincangan. Apakah ada calon lain, ke muka nama lain, nak teruskan?

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah Datuk Seri sedih kerana PR kehilangan satu negeri, di Kedah?
ANWAR: Ya, tapi kita nak tahu juga sejauh mana kecurangan itu menyebabkan kekalahan kerusi-kerusi di situ. Ataupun ada masalah-masalah lain. Macam kekalahan Kulim Bandar Baru, saya tidak percaya itu berlaku tanpa proses yang curang. Kerana sambutan yang kempen itu luar biasa.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah strategi PR itu sendiri silap apabila tak beri tumpuan pada kerusi-kerusi yang dimenangi?
ANWAR: Tidak juga. Kita menang kerusi-kerusi dengan baik. Fuziah, Azmin, Surendran. Cuma, apabila calon-calon dulu yang lompat dan tidak menjalankan tanggungjawab. Prestasi kawasan cukup lemah. Sedangkan sebab dia lompat itu sebab saya bagi isyarat bahawa kamu tidak boleh mempertahankan rekod dan prestasi kawasan itu lemah. Itu kadang-kadang ada menjejaskan. Tapi kalau kehadiran Saifuddin di Kulim, itu lain. Sebab saya tahu, Kulim itu kejiranan saya. Saya tidak fikir boleh kalah.

SINAR HARIAN ONLINE: Di sebalik serangan berterusan oleh musuh selama ini, adakah Datuk Seri mahu memberi mesej kepada penyerang-penyerang supaya berhenti semua itu?
ANWAR: Kita bagi mesej ini, hanya pada orang yang (tidak) tahu batas akhlak dan politik yang sivil. Jadi saya tidak peduli... tengok badan-badan yang Tibai lah, apa... mereka diupah untuk mencerca. Kadang-kadang kerana begitu lucah dan kotornya, dia tahu pimpinan Umno tak sanggup buat begitu, sebab itu akan buat orang tak suka. Dia upah. Saya selalu sebut.

Saya kata, saya boleh pilih nak buat begitu kerana saya pernah pimpin negara ini. Banyak maklumat sampai pada saya. Tapi saya tak sanggup aibkan orang kerana ia melibatkan orang lain. Itu tidak menjamin mereka menghentikan. Dalam ucapan saya sebut, peralihan kuasa ini juga peralihan nilai etika, sistem akhlak. Maknanya, kita tak boleh apabila ada kuasa ia sebagai sijil atau kesempatan untuk menyerang orang tanpa pertimbangan.

- SINAR HARIAN

 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran