Top Ad 728x90

, ,

Buku sifat solat Nabi

Buku sifat solat Nabi


Apabila memperkatakan tentang sifat solat Rasulullah SAW, terdapat banyak pendapat yang mungkin bercanggah antara satu sama lain memandangkan wujudnya perbezaan mazhab dalam Islam.

Justeru, bagi mengelakkan salah faham berlaku dalam kalangan umat Islam di Malaysia, pendakwah bebas, Muhammad Abdullah tampil dengan buku bertajuk Sifat Solat Nabi Mengikut Mazhab As-Syafie.

Muhammad berkata, buku itu merupakan hasil rangkuman daripada kursus-kursus solat yang pernah diadakan sebelum ini.

“Ia diterbitkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai salah satu usaha memupuk kefahaman yang jitu mengenai kesempurnaan ibadah solat yang merupakan Rukun Islam kedua.

“Buku ini ditulis bagi menjelaskan mengenai cara solat dan perkara-perkara yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad mengikut mazhab Imam Syafie yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia. Ia turut disertakan dengan dalil-dalil daripada hadis-hadis sebagai hujahnya,” ujar beliau yang turut dikenali sebagai Ustaz Amin.

Menurut beliau, sebagai seorang Muslim, kita harus memahami bahawa solat itu merupakan tiang agama. Ia adalah satu ibadah yang dianugerah oleh Allah SWT terus kepada Rasulullah tanpa perantaraan Jibril a.s.

“Nabi sendiri menyatakan bahawa sesiapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya, maka dia telah meruntuhkan agama.

“Malah, baginda juga pernah bersabda bahawa sesungguhnya sempadan antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan solat. Ini menunjukkan betapa pentingnya solat dalam kehidupan kita sehari-hari,” terang Muhammad.

Tambahnya, dengan memperbaiki solat bermakna kita akan menyempurnakan ibadah tersebut seterusnya menggapai reda Ilahi.

“Keberhasilan daripada kesempurnaan solat itu akan menyelamatkan kita daripada dua perkara. Pertama solat menjadi penghalang melakukan kemungkaran di dunia dan kedua terhindar daripada azab api neraka di akhirat kelak.

“Justeru, saya berharap para pembaca termasuk saya sendiri dapat menunaikan solat dengan sempurna melalui panduan yang diberikan dalam buku ini,” ujar beliau.

Buku itu juga dilengkapi dengan teori yang secukupnya berasaskan nas-nas serta dalil mengikut pandangan mazhab Syafie di samping contoh-contoh gambar yang tepat dan padat.

Panduan bergambar turut disertakan dalam contoh-contoh pelaksanaan solat yang betul, salah dan kurang tepat sebagai rujukan kepada masyarakat Islam melaksanakan ibadah ini.

Terdapat lapan bab yang disusun mengikut tertib bagi memudahkan pembaca. Ia dimulai dengan pengenalan umum mengenai solat, tujuh kesempurnaan solat, rukun solat serta sifat solat Nabi dari takbir sehingga salam meliputi perkara rukun, sunat dan makruh.

Tidak ketinggalan menjaga 10 perkara yang berkaitan dengan sembahyang, lain-lain berkaitan, khusyuk dalam sembahyang dan perbahasan kesalahan dalam solat.

“Solat yang baik apabila dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya. Bagi orang yang beriman, solat merupakan penyejuk hati dan antara sumber ketenangan serta kebahagiaan.

“Ini kerana solat yang disempurnakan dengan jiwa tauhid yang mendalam akan menjadikan rasa kehambaan melekat kuat di hati. Kecintaan pada Allah itu disulami dengan perasaan takut dan harap kepada-Nya.

“Oleh itu, orang yang beriman akan menjaga solat wajibnya dan memperbanyakkan solat sunat, bahkan rindu serta terhibur dengan ibadah ini,” ungkap Muhammad mengakhiri bicara.

- KOSMO

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90