Top Ad 728x90

Kementerian Kesihatan lancar Aplikasi I-Dengue papar info kawasan demam denggi

Kementerian Kesihatan lancar Aplikasi I-Dengue papar info kawasan demam denggi

Kementerian Kesihatan melancarkan sistem aplikasi dan laman web I-Dengue bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini tentang kawasan 'panas' penularan gejala demam denggi di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pengenalan sistem aplikasi tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan membolehkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan diri dijangkiti demam berkenaan.

Katanya, orang ramai boleh mengakses laman web tersebut di http://idengue.remotesensing.gov.my yang dibangunkan khusus menggunakan teknologi remote sensing dan sistem maklumat geografi (GIS).

"Laman web berkenaan akan dikemas kini secara mingguan. Akses kepada maklumat berkenaan akan membantu meningkatkan keberkesanan tindakan kita dan juga masyarakat memerangi wabak demam denggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Kebangsaan 2013 di Dewan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman; Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Jabatan Kesihatan, Dr. Chong Chee Keong dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ismail Taat.

Subramaniam berkata, kementerian memandang serius peningkatan kes-kes demam denggi di seluruh negara sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga 1 Jun lalu, sebanyak 10,401 kes demam denggi dicatatkan dengan 19 kematian berbanding 10,352 kes dan 20 kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

"Peningkatan yang dicatatkan adalah sebanyak 49 kes. Trend peningkatan juga dapat dilihat di negara-negara jiran sekitar kita yang mana Laos meningkat sebanyak 81 peratus diikuti Singapura (79 peratus) dan Vietnam (19 peratus).

"Malaysia juga tidak terkecuali menghadapi peningkatan kes. Namun begitu, kita sedang berusaha lebih gigih untuk memerangi gejala ini," katanya.

Tambah beliau, peningkatan kes denggi tersebut antara lain berpunca daripada tahap kepadatan penduduk dan perubahan cuaca di samping kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kebersihan persekitaran.

"Antara kawasan yang mencatatkan kes terbanyak adalah di Johor Bahru, daerah Petaling, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Subramaniam memberitahu, pihaknya merancang meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dengan mengadakan pemeriksaan secara kerap di kawasan perumahan selepas ini.

Pada majlis tersebut, beliau turut memperkenalkan tiga ikon selebriti bagi membantu kementerian mengadakan kempen memerangi denggi.

Ikon tersebut ialah pemenang program realiti Imam Muda, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan; bekas ratu cantik Miss World Malaysia 2008/2009, Soo Wincci dan juruhebah radio THR Raaga, Uthaya Kumar.

- UTUSAN


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90