Kuota Haji Malaysia Tahun 2013 Kurang 20 Peratus

Bakal jemaah haji yang telah menyelesaikan urusan pendaftaran pengesahan dan persetujuan tawaran menunaikan haji bagi musim 1434H, tidak terjejas meskipun kuota jemaah haji Malaysia berkurangan sebanyak 20 peratus pada tahun ini.

"Tawaran tidak akan ditarik balik. Bakal jemaah haji itu disaran meneruskan persiapan menunaikan ibadah haji seperti biasa," demikian menurut Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan, Isnin.

TH juga menyarankan bakal jemaah yang terpilih namun belum memberikan jawapan, agar berbuat demikian dengan segera.

"Bakal jemaah haji berkenaan akan dimaklumkan mengenai status mereka melalui surat panggilan kursus intensif haji yang sedang dan akan dijalankan," menurut kenyataan itu.

Menurut TH, bagi yang menghantar surat rayuan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, jika mereka tidak menerima apa-apa maklumat lanjut sehingga akhir Ramadan 1434H, ia bermakna rayuan mereka gagal.

Pengurangan kuota jemaah haji itu adalah berikutan arahan terbaharu kerajaan Arab Saudi berikutan kerja pembesaran Masjidil Haram di Makkah.

TH berharap orang ramai, terutama bakal jemaah haji, dapat menerima keputusan itu serta memahami keadaan kerana pengurangan kuota adalah bersifat sementara, yang dijangka berkuat kuasa dalam tempoh dua atau tiga tahun.

"Apabila projek mega ini siap, ia mampu menampung jemaah yang lebih ramai dari seluruh dunia dan menjamin keselesaan ketika menunaikan ibadah rukun kelima Islam itu," menurut TH.

Untuk maklumat lanjut, bakal jemaah disaran melayari laman sesawang TH di www.tabunghaji.com.my atau menghubungi TH Contact Centre di talian 03-6207 1919.

- BERNAMA


Kuota Haji Malaysia Tahun 2013 Kurang 20 Peratus

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.