LHDN terima 2,376,720 Borang Nyata Cukai Pendapatan

CYBERJAYA 20 Jun - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima sebanyak 2,376,720 Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) sehingga akhir bulan lalu melalui kaedah e-filing.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, jumlah tersebut yang melebihi pencapaian tahun sebelumnya dijangka mampu mencapai sasaran yang ditetapkan organisasi tersebut pada tahun ini.

"Melalui angka ini, saya sangat yakin sasaran penerimaan e-filing iaitu sebanyak 2.7 juta BNCP akan dapat dicapai.

"Bagi pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan diharap dapat menghantar BNCP tahun taksiran 2012 dengan borang B selewat-lewatnya hujung bulan ini tetapi jika memilih menggunakan e-filing mereka diberi kelonggaran sehingga 15 Julai depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Menara Hasil Cyberjaya, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pematuhan) LHDN, Datuk Dr. Siti Mariam Che Ayub dan Ahli Lembaga Pengarah LHDN, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Menurut Ahmad, pembayar cukai dinasihatkan menggunakan kaedah e-filing kerana lebih mudah, tepat, menjimatkan kos dan penghantaran cukai lebih selamat.

Mengulas lanjut, beliau optimis LHDN mampu mencapai sasaran kutipan cukai pada tahun ini mencecah RM130 bilion.

Katanya, sasaran itu realistik berdasarkan beberapa strategi yang telah dirangka organisasi itu.

"Antara usaha yang akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran ini ialah dengan terus melaksanakan fokus audit mengikut industri seperti insurans, petroleum, perbankan dan syarikat multinasional.

"Di samping menambah operasi bersama agensi penguatkuasa lain seperti kes Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) dan cuba menangani isu pengelakan cukai oleh individu dan syarikat menggunakan syarikat luar pesisir," katanya.

Pada masa sama, katanya, usaha lebih giat juga perlu dilakukan bagi menarik orang ramai dan syarikat membayar cukai kerana hanya satu juta orang yang menjadi pembayar cukai daripada 29 juta rakyat negara ini.

"Manakala bagi syarikat pula terdapat lebih 400,000 tetapi yang layak membayar cukai hanya 75,000 syarikat sahaja, jadi kita melihat banyak ruang untuk mendapatkan hasil negara menerusi beberapa pendekatan mesra pelanggan yang dilakukan LHDN," katanya.

- UTUSAN


LHDN terima 2,376,720 Borang Nyata Cukai Pendapatan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran