Pelabur Diingatkan Elak Riba Dalam Urus Niaga Emas

Keghairahan orang ramai melabur dalam beberapa skim pelaburan emas amat membimbangkan pakar ekonomi Islam berikutan pendedahan wujudnya syarikat yang melanggar peraturan dan terlibat dalam pengubahan wang yang dilarang serta mengelakkan cukai.

Namun apa yang lebih menimbulkan kebimbangan pakar ekonomi itu adalah sikap kurang berhati-hati pelabur Muslim dalam menyertai skim pelaburan emas sehingga membuat mereka terjebak dengan urus niaga yang bertentangan dengan tuntutan syariah dan sekali gus melibatkan riba.

Ini didedahkan pensyarah Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr A.M. Hafizi, yang memberitahu satu seminar bahawa jual beli emas menjadi haram dan terbatal jika emas berkenaan tidak lagi dimiliki oleh syarikat atau bank dan hanya akan dibeli daripada pihak ketiga dalam satu urus niaga berasingan.

Menukil kata-kata beliau: “Berikutan itu, membuka akaun pelaburan emas seperti ini menjadi haram dan terbatal kerana syarikat atau bank telah menjual sesuatu yang bukan lagi menjadi miliknya dan wujud riba memandangkan tidak ada elemen taqabud fil majlis iaitu tiada penawaran dan penerimaan.

“Sebarang penangguhan seperti ini akan membawa kepada Riba’an-Nasiah. Pokoknya, pelabur harus memastikan emas yang hendak dijual oleh bank sudah pun berada dalam pemilikannya.”

Peraturan dan syarat ketat mengikut Islam itu ditegaskan oleh Dr Hafizi dalam kertas kerja bertajuk Pelaburan Emas dan Aplikasi Semasa: Satu Kajian Kes di Malaysia.

Ia dibentangkan di Persidangan Ekonomi dan Kewangan Islam Malaysia 2012 anjuran UKM dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Institut Kewangan Islam dan Pengurusan Harta, baru-baru ini.

Kalangan pelabur emas menjadi gempar apabila pegawai empat agensi kerajaan termasuk Bank Negara Malaysia menyerbu pejabat syarikat jual beli emas Genneva Gold diikuti dengan Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd di Kuala Lumpur.

Turut terjejas dalam semua serbuan itu adalah ramai pelabur Muslim.

Dr Hafizi menjelaskan, daripada perspektif Islam, urus niaga emas menjadi halal dan sah apabila dua syarat telah dipenuhi iaitu pihak penjual benar-benar memiliki emas yang dijualnya ketika penjualan.

Bank juga mengeluarkan bukti pembelian dalam bentuk emas atau sijil kepada pelanggan lantas pelanggan mendapat haknya untuk menjual emas berkenaan.

Satu lagi syarat adalah cara pembayarannya iaitu ia mestilah halal, kata beliau.

Pembayaran dibuat oleh pelanggan mestilah dalam bentuk sama ada tunai, dipotong langsung daripada akaun bank, kad kredit atau debit perbankan Islam atau cek tempatan.

Sebarang pembayaran bagi pembelian emas menggunakan cek antarabangsa atau kad kredit Islam yang memerlukan lebih tiga hari untuk ditunaikan adalah dilarang menurut Majlis Antarabangsa Akademi Fikah.

Jangka masa tiga hari dikira sebagai jumlah maksimum bagi penyelesaian pembayaran berdasarkan dasar urf bagi menjamin syarat di mengikut taqabul fil hal dicapai. Ia adalah satu fatwa yang diputuskan oleh mazhab Maliki dan majoriti ulama fikah sedunia termasuk Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah.

Tidak kurang penting adalah pelabur akaun emas wajib membayar zakat apabila haulnya cukup atau mencapai nisab 85 gram emas.

Dr Hafizi juga turut mengingatkan pelabur agar lebih berhati-hati dan meneliti risiko berkaitan dengan pelaburan emas sebelum menyertai sebarang skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

Ketika menekankan perlunya sikap berhati-hati, Dr Hafizi menasihatkan pelabur supaya menyelidik latar belakang syarikat dan sama ada urusan jual beli emasnya sah di segi undang-undang selain ia diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa.

Sebagai contoh, pelabur perlu memeriksa dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung pendaftaran dan kegiatan perniagaannya.

Pelabur juga patut tahu rekod kewangan syarikat berkenaan termasuk kemampuannya membayar keuntungan pelaburan pelanggannya.

Semua maklumat, kata beliau, boleh didapati daripada SSM atau daripada syarikat berkenaan.

Pelabur juga perlu mengetahui urus niaga emas syarikat terlibat seperti sumber pembelian emasnya, perbadanan yang mengesahkan ketulenan emas dan bagaimana syarikat berkenaan menjana keuntungan daripada perniagaannya.

Pelabur seharusnya melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan jika mereka ada bukti emas yang dibeli rendah mutunya.

Dr Hafizi juga memberitahu, kajian mendapati hanya urus niaga emas yang ditawarkan Kuwait Finance House (KFH-i) diluluskan syariah.

Lagi dua bank, Maybank dan Citibank, didapati masih berasaskan konvensional dan tidak memenuhi tuntutan syariah, mungkin kerana hakikat pelabur mereka tidak boleh mengeluarkan deposit akaun simpanan emas dalam bentuk fizikal.

http://www.hargaemas.com.my/terkini/pelabur-diingatkan-elak-riba-dalam-urus-niaga-emas/


Pelabur Diingatkan Elak Riba Dalam Urus Niaga Emas

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.