Top Ad 728x90

,

Pentingnya Menulis Nota Wasiat

Pentingnya Menulis Nota Wasiat

Sejak  ibunya meninggal dunia lima tahun lalu, Masyitah Mohamed, 54, masih buntu memikirkan urusan hal tanah pusaka milik ibunya. Meskipun hal tersebut sudah diketengahkan kepada adik-beradiknya untuk mencari penyelesaian, Masyitah pula dituduh yang tamakkan harta.

Hakikatnya, beliau mahu meringankan beban yang ditanggung arwah ibu. Lebih malang, isu tersebut menyebabkan dia dan adik-beradiknya tidak bertegur sapa.

"Sejak itu saya tidak lagi membangkitkan isu tanah tersebut. Mereka sukar dibawa berunding. Saya sedar bahawa masalah akan menjadi semakin rumit jika seorang demi seorang daripada kami meninggal dunia," katanya yang mempunyai lapan beradik.

Masyitah mungkin merupakan salah seorang daripada ribuan masyarakat Islam yang berdepan dengan masalah tersebut.

Hakikat ini diakui sendiri oleh Md. Ghazali Ibrahim, 41, yang berpengalaman menyiapkan lebih 5,000 surat wasiat secara sukarela sebelum ini.

Menurut adik kepada bekas penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, arwah Ustaz Asri Ibrahim itu, orang- orang dahulu mereka lebih gemar berwasiat dengan mulut sahaja tanpa dokumen yang akhirnya menimbulkan masalah.

Sebab itulah, kata Md. Ghazali, apabila berlaku kematian, adik-beradik perlu duduk berbincang dan dokumenkan apa yang pernah disuarakan oleh ibu bapa.

"Buat surat persetujuan sebelum ke pejabat pusaka dan mahkamah. Orang kita tidak faham, apabila sebut sahaja faraid, ia jadi wajib.

"Memang faraid wajib jika menemui jalan buntu. Kita perlu juga ingat wasiat si ayah ketika masih hidup, sepakatlah adik-beradik," saran beliau ketika ditemui di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Tuntutan membuat wasiat ini, ujar panel program kuliah Solat di TV AlHijrah itu turut termaktub dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 180 hingga 182, "Diwajibkan ke atas kamu membuat wasiat apabila datang tanda-tanda kematian."

Hampir sedekad berkecimpung dalam bidang faraid, wasiat dan pusaka, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Hishamuddin Sungai Bertih, Klang, Selangor itu kemudiannya mengambil keputusan membukukan pengalaman beliau dalam hal ehwal faraid dan wasiat.

Beliau membukukan pengalamannya itu selepas hampir dua tahun berkecimpung dalam bidang tersebut. Sebelum itu, beliau aktif mengadakan ceramah ke seluruh Malaysia, bersiaran di radio dan televisyen.

Rujukan orang ramai

Alasan beliau mudah dan ada logiknya. "Lazimnya, orang mudah terlupa jika sekadar mendengar ceramah, jadi apabila dibukukan, mereka bukan sahaja boleh simpan buat rujukan, malah boleh dihadiahkan kepada rakan-rakan," kata Md. Ghazali yang tampil dengan buku pertamanya iaitu Kenapa Mesti Merancang Pusaka yang diterbitkan pada tahun 2006 dan 2007.

Selepas tamat pembelajaran di peringkat menengah, Md. Ghazali melanjutkan pengajian dalam bidang al-Quran dan Tahfiz di Karachi, Pakistan. Beliau kemudiannya menyambung pengajian Bahasa Arab di Kaherah, Mesir.

Ketika meneruskan pengajiannya di Baghdad, Iraq selama enam tahun untuk ijazah syariah pengajian Islam, Md. Ghazali berkesempatan bertalaqi dengan beberapa ulama di Baghdad.

Hari ini, banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan menulis wasiat pada harga antara RM300 sehingga RM5,000.

Namun, Md. Ghazali menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana ada pelanggan yang tidak pernah melihat surat-surat wasiat yang dibuat oleh syarikat-syarikat berkenaan.

"Buku Nota Wasiat hasil tulisan saya boleh dijadikan rujukan orang ramai jika ingin menulis wasiat sendiri.

"Sebenarnya semua orang boleh tulis wasiat tetapi mereka tidak tahu gaya bahasanya. Jadi, di dalam buku tersebut ada disertakan contoh surat-surat wasiat dan hibah," kata bapa kepada enam anak itu yang turut menulis beberapa buku lain.

Antaranya termasuklah Bahagi Biar Adil, Urus Harta Sebelum Mati dan RM42 Bilion Pusaka Belum Dituntut? dengan pengisian santai serta mudah difahami.

Apabila membuat wasiat, seseorang itu perlu mendokumentasikan aset seperti membuat senarai harta, hutang dan sebagainya selain melampirkan salinan buku bank atau geran yang diperlukan sebagai rujukan kepada waris.

Anak kelahiran Kampung Bukit Naga, Klang, Selangor itu menjelaskan, waris yang tidak tahu menguruskan harta pusaka selepas kematian kedua-dua ibu bapa antara punca utama mengapa pusaka jadi bertimbun-timbun sehingga hari ini. Dianggarkan, pusaka yang tidak dituntut berjumlah RM42 bilion.

Menurut Md. Ghazali yang juga moderator program Dikir Zikir di TV AlHijrah, penyediaan sesebuah wasiat itu perlu betul, jika tidak ia boleh dicabar dan tidak boleh dilaksanakan.

Misalnya, sesuatu wasiat itu tidak boleh melarang waris daripada mengambil harta. Apabila wasiat tidak betul, ia boleh menimbulkan perselisihan.

Beliau menegaskan, setiap umat Islam wajib memandang serius isu wasiat. "Wasiat yang tidak ditunaikan boleh memberi kesan kepada si mati (merana) dan waris pula menanggung dosa," jelasnya sambil memberitahu kesedaran wasiat dalam kalangan orang Islam sangat rendah berbanding bukan Islam. Ia berlaku kerana tidak faham dan kurang ilmu.

Pentingnya dokumen

Md. Ghazali yang banyak membuat lawatan ke Jordan, Syria dan Palestin mengakui bahawa ramai masyarakat Islam masih kabur lagi tentang wasiat, hibah dan harta sepencarian.

"Wasiat tidak wajib tetapi kalau kita nak beri lebih kepada isteri, perlulah buat dokumen atau deklarasi harta sepencarian kerana kita tidak boleh wasiatkan separuh daripada harta kepada isteri melalui wasiat kerana ia tidak boleh melebihi satu per tiga.

"Wasiat juga tidak boleh diberikan kepada waris kerana anak-anak ada bahagian dalam faraid. Ia perlu diberikan kepada orang lain, anak tiri, anak angkat dan sebagainya," kata graduan yang berkelulusan Ijazah Syariah dari Universiti Saddam For Islamic Studies, Baghdad, Iraq itu.

Jika seseorang mahu memberikan harta kepada anak-anak, contohnya rumah, mereka boleh hibahkan harta tersebut dengan membuat dokumen persetujuan hibah.

Bagi memudahkan orang ramai, Md. Ghazali turut menawarkan perkhidmatan menyediakan wasiat. Syarikat yang dinamakan Wasiyyah.com Sdn. Bhd. itu beroperasi di Shah Alam.

Beliau menyeru orang ramai supaya tidak menangguhkan isu pembahagian harta pusaka bagi mengelakkan masalah pada kemudian hari.

"Jika tiada masalah pusaka, buatlah sesuatu untuk waris kita. Rancang pusaka, buat wasiat atau hibah kerana mungkin esok lusa kita meninggal dunia," ujarnya.

- KOSMO!



0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90