Top Ad 728x90

,

Tradisi minum teh negara Matahari Terbit

Tradisi minum teh negara Matahari Terbit

Di sebalik kemegahan budaya teh Cina yang tersohor seantero dunia, siapa sangka teh turut sinonim dalam budaya masyarakat di Jepun.

Malah, setiap tiga tahun sekali ribuan peminat teh di negara itu akan berkumpul bagi meraikan Festival Teh Dunia yang disambut pada setiap bulan Mei.

Sepanjang festival itu, pengunjung bukan sahaja berpeluang mengetahui pelbagai sejarah mengenai teh, malah berpeluang melihat sendiri keunikan tradisi dan teknik menghidangkan teh dari seluruh dunia.

Sebut apa sahaja, daripada teknik menghidangkan teh menggunakan cerek tembikar seperti di Jepun atau teh ala Inggeris yang dihidangkan menggunakan cawan atau piring porselin kepada penggunaan bekas aluminium yang dikenali sebagai 'samovar' di Rusia.

Tidak ketinggalan teh Turki yang dihidangkan di dalam gelas kecil unik, semuanya boleh dilihat sepanjang festival tersebut.

Di samping itu, pengunjung boleh merasai sendiri aneka rasa teh ketika menyertai lawatan berpandu yang diketuai pakar-pakar teh ke kawasan ladang teh yang terdapat di sekitar lereng bukit di Shizuoka, Jepun.

Jangan terkejut, ada teh yang mempunyai rasa manis, kelat serta seakan-akan citrus dan harganya pula mampu mencecah 300,000 yen sekilogram (RM8,812).

Walaupun, kebanyakan harga runcit teh lebih rendah, namun harga yang ditetapkan oleh Kesatuan Industri Teh Kakegawa Jonan merupakan satu insentif kepada golongan pekerja.

Ini kerana untuk mendapatkan kira-kira empat kilogram daun teh terpilih, ia memerlukan seramai 50 pekerja yang terpaksa bekerja sepanjang hari.

Terdapat juga upacara yang menggunakan serbuk teh Jepun yang berwarna hijau yang dikacau dengan menggunakan sudu khas yang dibuat daripada buluh.

Dikenali sebagai 'sado', teknik menghidangkan teh yang unik itu sarat dengan pelbagai simbolik.

Paling penting adalah pergerakan tangan yang mengacau debu-debu halus teh di dalam cawan selain kek gula berwarna-warni yang dihidangkan bersama.

Menjadi hidangan wajib setiap hari sama ada dalam bentuk teh asli atau teh hijau yang jernih, teh menjadi pilihan jutaan masyarakat di Jepun. Ia dinikmati di mana-mana sahaja sama ada di rumah, di pejabat atau di dalam botol yang dijual di kedai-kedai runcit.

Teh satu budaya

Mitsuru Shirai yang mengetuai kilang pertanian dan pengeluaran teh Shizuoka berkata, di sesetengah tempat di Jepun, teh merupakan satu perniagaan yang dijalankan secara serius.

"Teh sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat di negara ini," katanya, sambil menyatakan festival tiga tahun sekali itu merupakan gabungan antara budaya dan industri.

Penanaman teh telah bermula di negara itu sejak 800 tahun lalu. Pada hari ini, industri itu disokong kira-kira 15,000 petani dan 800 kilang.

Ia menawarkan lebih 100,000 peluang pekerjaan dalam industri yang bernilai lebih RM1.32 bilion.

Shizuoka merupakan antara pengeluar teh terbesar di Jepun dengan mengeluarkan kira-kira 40 peratus teh kepada 128 juta penduduknya.

Seperti petani, penanam-penanam teh juga tidak dapat lari daripada berkongsi masalah mereka.

Pakar teh, Hidehiro Inagaki berkata, sejak tiga tahun yang lalu kira-kira 60 peratus ladang teh di Shizuoka terjejas teruk akibat musim sejuk yang melampau.

"Sekiranya cuaca terlalu sejuk, pucuk daun teh tidak akan tumbuh kerana tumbuhan itu lazimnya menyimpan tenaga untuk memanaskan diri," katanya

Disebabkan itu, penanam-penanam teh sanggup meletakkan kipas-kipas elektrik yang besar bagi menyalurkan udara panas ke ladang mereka. Ia nyata mencacatkan pemandangan, bagaimanapun dalam kalangan penanam teh, ia terpaksa dilakukan.

Penyelidikan

Beberapa minggu selepas tragedi di Fukushima pada 2011, apabila reaktor nuklear di situ mula mencair selepas dilanda tsunami, kepulan awan radiasi berselerakan di seluruh Jepun.

Sebahagian kawasan ladang teh di sini dikatakan turut terkena tempiasnya. Satu kes membabitkan kira-kira 162 kilogram daun teh kering yang dibawa ke Paris, Perancis ditahan di lapangan terbang negara itu kerana dikesan mempunyai paras radiasi yang tinggi.

Dua tahun selepas tragedi itu, Institut Penyelidikan Teh berterusan membuat analisis sampel tanah bagi mengesan tanda-tanda pencemaran.

"Pada tahun ini kerajaan persekutuan tidak lagi melakukan ujian, tetapi kami tetap melakukannya untuk memastikan ia berada pada tahap terbaik," kata Kazuo Mochizuki, ketua institut berkenaan yang ditubuhkan pada 1908 bagi melaksanakan kajian dan penyelidikan mengenai variasi teh secara berterusan.

Biarpun teknologi yang digunakan pada hari ini memudahkan proses tuaian daun teh di samping baka teh yang tahan lasak dan mengeluarkan hasil yang tinggi, tetapi bagi penanam teh veteran, Toshiharu Suguira, sifat semula jadi teh adalah seperti yang berada di depan matanya.

Selepas 40 tahun mengusahakan ladang teh seluas 1.2 hektar itu yang diwarisi daripada bapanya, kawasan lereng bukit yang subur dengan daun teh masih kekal seperti sebelumnya. - AFP

- KOSMO!


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90