Top Ad 728x90

,

100,000 unit rumah PPA1M akan dibina

100,000 unit rumah PPA1M akan dibina

Sebanyak 100,000 unit rumah di bawah Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) akan dibina di seluruh negara bagi menampung keperluan penjawat-penjawat awam di negara ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, jumlah tersebut termasuk projek PPA1M membabitkan pembinaan sebanyak 10,366 unit rumah di Putrajaya yang sebelum ini telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, April lalu.

Beliau berkata, untuk itu, pihak kerajaan akan mencari kawasan-kawasan strategik khususnya di ibu kota dan bandar-bandar besar bagi membolehkan skim PPA1M diperluaskan.

"Selain di Putrajaya, kerajaan akan mencari kawasan-kawasan strategik di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar termasuk di Sabah dan Sarawak bagi pembinaan projek ini.

"Insya-Allah projek ini akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat kelulusan pihak berkaitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival PIBG, Bangunan Pentadbiran dan Kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama di sini hari ini.

Harga seunit rumah yang ditawarkan di bawah skim PPA1M adalah antara RM150,000 dan RM300,000 manakala keluasannya pula daripada 1,000 hingga 1,500 kaki persegi.

Beliau mengulas gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang meminta Kerajaan Pusat serta kerajaan negeri menyegerakan pembinaan perumahan kos sederhana di bawah RM250,000 kepada golongan penjawat awam yang tidak berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, gesaan itu dibuat setelah mengambil kira bilangan penjawat awam yang tidak mampu memiliki kediaman sendiri masih tinggi iaitu pada kadar 45 peratus atau 600,000 daripada jumlah keseluruhan iaitu seramai 1.5 juta orang.

Terdahulu di dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada penyumbang seperti Yayasan Usima dipengerusikan Datuk Mohd. Yusof Ismail yang memberi sumbangan pembinaan bangunan pejabat pentadbiran dan kantin sekolah.

"Syarikat Rafulin Holdings Sdn. Bhd. dipengerusikan Datuk Muhammad Razali Othman kerana melengkapkan bangunan kantin baharu dengan kerusi dan meja makan pelajar yang begitu selesa, saya ucapkan terima kasih," ujarnya.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan turut mengucapkan penghargaan kepada Cypark Resources Bhd. atas sumbangan 20 panel solar bagi projek solar panel sekolah.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90