63,000 kakitangan awam kontrak kini dilindungi Perkeso

Nasib lebih 63,000 kakitangan kerajaan bertaraf kontrak dan sementara dalam perkhidmatan awam kini lebih terbela kerana kerajaan mencarum untuk mereka kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak 1 Jun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Mutalib berkata, mereka tidak perlu bimbang kerana dilindungi insurans bagi mengelak menanggung kesusahan jika terbabit dalam kemalangan atau musibah yang tidak dijangkakan.

Katanya, seperti pencarum Perkeso lain, golongan tersebut juga akan dilindungi mengikut peruntukan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969 serta kelayakan, terma dan syarat dan tatacara ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

"Secara mudahnya, mereka akan menerima faedah sama dengan pekerja swasta berdasarkan skim perlindungan yang disediakan Perkeso, antaranya Skim Keilatan meliputi pencen ilat, pendidikan dan pencen penakat.

"Selain itu, mereka juga akan dilindungi Skim Bencana Pekerjaan dengan mendapat perlindungan setelah mengalami kemalangan seperti perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, pendidikan, orang tanggungan serta pengurusan jenazah ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Ziarah Ramadan di masjid Felda Jengka 2 di sini semalam yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

- UTUSAN


63,000 kakitangan awam kontrak kini dilindungi Perkeso

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.