Fadhli Jaringkan Gol Tunggal Malaysia, Tewas 4-1 Kepada Chelsea


SHAH ALAM - Malaysia XI telah memberikan yang termampu tetapi inilah realitinya, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal jelas tidak mampu menandingi kualiti yang ada pada Chelsea apabila tewas 1-4 dalam perlawanan siri Jelajah Asia 2013 di Stadium Shah Alam, semalam.

Di hadapan 50,000 penonton, The Blues mempamerkan aksi kelas tinggi yang cukup berbeza dengan apa yang mereka pamerkan ketika menentang Pilihan Thailand di Bangkok melalui tempo permainan yang lebih pantas dan tersusun yang membuatkan Harimau Malaya terpaku sekali gus hajat untuk mengulangi pencapaian kekalahan 0-1 pada dua tahun lalu.

Empat jaringan Chelsea disumbangkan oleh tiga pemain muda mereka, Bertrand Traore, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku manakala satu lagi gol melalui Victor Moses sementara pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas menggembirakan seluruh penyokong Malaysia dengan jaringan tunggal pada minit ke-90.

Cuma aksi dalam tempoh lima minit terakhir perlawanan Harimau Malaya layak diberikan pujian dan hampir berjaya menambahkan gol kedua pada masa kecederaan menerusi Mohd. Nizad Ayub, namun dihampakan oleh Ashley Cole yang mengeluarkan bola di atas garisan.

Selain daripada itu, anak-anak buah Rajagobal terpaksa berhempas pulas sepanjang permainan memberi saingan kepada Chelsea dalam segenap aspek terutama pada aspek fizikal dan kepantasan yang ada pada skuad bimbingan Jose Mourinho.

Benteng pertahanan negara jelas berdepan kesukaran untuk bertarung dengan kelincahan dua penyerang Chelsea, Romelu Lukaku dan Demba Ba yang sering kali mudah mengatasi kawalan Mohd. Aidil Zafuan dan rakan-rakan.

Ketika permainan baru sahaja memasuki minit ke-6, Traore tidak menunggu lama meletakkan The Blues di hadapan dengan sepakan leret kencang yang mudah menewaskan Farizal Marlias hasil gerakan De Brunye.

Harimau Malaya dapat memberikan sedikit ancaman pada pertengahan babak pertama dan K. Gurusamy terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-22 apabila bola percubaannya dalam kotak penalti sempat ditampan keluar oleh barisan pertahanan Chelsea.

Chelsea melebarkan kedudukan pada minit ke-29 dengan jaringan daripada De Brunye yang melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti tetapi gol itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila pemain muda Belgium itu terpaksa dikeluarkan kerana mendapat kecederaan.

Ketika permainan hanya menunggu masa ditamatkan pada babak pertama, Lukaku memastikan namanya berada dalam senarai penjaring selepas bijak memanfaatkan hantaran Branislav Ivanocic.

Di babak kedua, Moses menambah pesta jaringan The Blues pada minit ke-89 selepas Farizal gagal menampan keluar bola rembatan leret di dalam kotak penalti.

Akhirnya jaringan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh peminat Malaysia tercapai jua pada masa kecederaan apabila Fadhli memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Chelsea dengan tandukan cantik yang menewaskan penjaga gol nombor satu The Blues, Peter Cech.

Senarai pemain:

Malaysia:

Farizal Marlias, Mahalli Jasuli, Azizi Matt Rose, Asraruddin Putra Omar, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha, Mihd Shakir Shaari, K. Gurusamy, S. Kunanlan, Mohd Amri Yahyah, Nik Mohd Shahrul Azim.

Chelsea FC:

Branislav Ivanovic, Micheal Essien, Bictor Moses, Wulfert Cornelis van Ginkel, Eden Hazard, Romelu Lukaku , Mark Shwarzer, John Terry, Nathaniel Chalobah, Ryan Dominic Bertrand , Bertrand Traore.

- UTUSAN

 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran