Top Ad 728x90

Hepatitis menyebabkan kerosakan hati

Hepatitis menyebabkan kerosakan hati

 PERKATAAN hepatitis diambil daripada hepar yang bermaksud hati dan hepatitis bermaksud radang hati.

Oleh kerana hampir seluruh tubuh penderita berwarna kekuningan maka dalam masyarakat dikenal dengan istilah penyakit kuning (jaundice).

Hepatitis adalah penyakit yang disebabkan oleh beberapa jenis virus yang boleh menyerang dan merosakkan sel-sel hati manusia dan boleh dikategori kepada jenis A, B dan C.

Hepatitis dapat merosakkan fungsi organ hati untuk meneutral racun dan sistem pencernaan makanan dalam tubuh.

Penyakit hepatitis dapat menyerang sesiapa saja tidak kira usia sama ada bayi, kanak-kanak, orang dewasa atau orang tua.

Tidak banyak pendedahan mengenai penyakit berbahaya ini menyebabkan hepatitis boleh dikatakan sebagai pembunuh senyap.

Pakar Perubatan Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari berkata, hepatitis boleh berlaku akibat jangkitan virus, alkohol, ubat-ubatan atau lemak dalam hati.

"Hepatitis boleh dikesan menerusi ujian darah liver function test (LFT)," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Dr. Malik berkata, Hepatitis A biasanya tidak menimbulkan kesan gejala yang besar.

"Biasanya Hepatitis A merebak melalui makanan dan minuman yang dicemari. Virus ini merebak melalui najis individu yang menghadapi penyakit ini, katanya.

Sebagai contoh, ikan atau kerang daripada kawasan air yang dicemari oleh najis manusia yang dijangkiti.

Ia juga boleh dijangkiti melalui hubungan rapat dengan individu yang dijangkiti.

Tanda-tanda jangkitan boleh dilihat selepas dua hingga empat minggu. Pada minggu pertama, individu yang dijangkiti akan mengalami sakit seperti kuning, keletihan, demam, hilang selera makan, muntah-muntah, pening dan kencing yang berwarna hitam pekat.

Menjaga kebersihan diri adalah penting. Cuci tangan dengan sabun, jika boleh guna sabun antikuman selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan dan sebelum makan.

"Biasanya pesakit akan sembuh sepenuhnya selepas empat atau lima minggu," katanya.

Hepatitis B pula, kata Dr. Malik adalah penyakit dalam kumpulan ini yang paling serius dan amat perlu diberi perhatian.

Kesedaran tentang bahaya Hepatitis B ini masih kurang di kalangan orang ramai.

Kebanyakan yang dijangkiti secara teruk tidak mempunyai tanda-tanda yang jelas dan mereka boleh menjangkitinya kepada orang lain.

Virus ini boleh dijumpai dalam semua bahagian cecair tubuh manusia yang menghadapi Hepatitis B secara teruk dan serius.

Virus ini dijumpai di dalam darah, air mani, cecair faraj, cecair sendi, air susu, air kencing dan air mata.

"Biasanya pesakit mendapat Hepatitis B daripada kes-kes ibu menjangkiti virus berkenaan kepada anaknya sewaktu bersalin.

"Virus itu tidak boleh melalui placenta tetapi bendalir ibu yang masuk ke dalam mulut bayi semasa proses kelahiran," katanya.

Bagaimanapun, jelas Dr. Malik, bukan semua bayi boleh dijangkiti Hepatitis B.

"Biasanya ibu akan diberikan vaksin untuk membunuh virus," katanya.

Bagaimanapun mereka yang tidak sakit boleh menjadi pembawa. Dalam kehidupan, pembawa akan mengalami flare iaitu situasi virus itu aktif lalu pesakit akan mengalami sakit kuning beberapa kali seumur hidup.

Apabila mencapai usia 40 tahun ke atas, mereka akan mengalami kerosakan hati atau sirosis dan kemungkinan akan mendapat kanser hati.

Mereka yang dijangkiti secara teruk mempunyai risiko tinggi mengalami penyakit dan kanser hati yang boleh menyebabkan kematian.

BerjangkitDr. Malik berkata, cara lain Hepatitis B boleh berjangkit adalah melalui pemindahan darah atau sebarang hasil darah melalui luka di kulit atau melalui tindik, membuat tatoo, akupuntur, suntikan, pisau cukur dan seks bebas.

Penagih dadah yang berkongsi jarum turut menghadapi risiko yang sama.

Kini terdapat vaksin Hepatitis B yang diberikan secara suntikan. Bagi orang dewasa dan kanak-kanak berumur 10 tahun ke atas, vaksin ini diambil tiga kali dalam masa sebulan.

Bagi kanak-kanak yang berumur di bawah 10 tahun, cukup dua dos yang dijarakkan selama dua bulan. Dos booster juga perlu diberikan selepas 12 bulan.

Daripada data-data yang diterima, penerima suntikan yang lengkap boleh mempunyai imuniti lebih enam tahun.

Satu dos tambahan perlu diambil selepas jangka itu untuk meningkatkan semula pertahanan badan.

Hepatitis C pula merupakan penyakit bawaan darah dengan 85 peratus yang terdedah dengan virus ini akan menghidapi penyakit.

Satu daripada lima mereka yang menghidapi Hepatitis C akan mengalami parutan dan pengerasan hati secara berperingkat.

Risikonya mengalami barah hati meningkat sebanyak lima peratus selepas 20 tahun dan empat peratus setahun bila hati mengalami parut.

Penyakit ini merebak melalui pendedahan kepada darah mereka yang menghidapi penyakit Hepatitis C.

Malah darah yang telah kering masih mempunyai virus yang boleh menjangkiti. Antara cara jangkitan adalah dengan menyentuh darah yang telah dijangkiti.

Dr. Malik berkata, biasanya darah yang diterima sebelum 1995 mempunyai risiko terdedah kepada Hepatitis C.

"Selepas 1995, Bank Darah menyaring semua darah yang diterima daripada penderma terhadap Hepatitis C," katanya.

Penagih dadah terdedah kepada Hepatitis C kerana berkongsi jarum suntikan yang biasanya tidak dibasmi kuman dan dikongsi beramai-ramai.

Langkah terakhir rawatan adalah melalui pemindahan hati jika kerosakan terlalu parah.

Apabila berlaku kegagalan hati, salur darah akan menjadi bengkak dan nipis serta kemungkinan menyebabkan muntah darah.

Biasanya selepas 15 hingga 20 tahun atau 25 hingga 30 tahun akan berlaku kerosakan hati.

Bagi mencegah perebakan hepatitis, Dr. Malik menggalakkan orang ramai mengambil ujian hepatitis.

- MINGGUAN MALAYSIA


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90