Top Ad 728x90

,

MODENAS lancar model 118EFI motor enjin 120cc

MODENAS lancar model 118EFI enjin 120cc


Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyasar purata jualan keseluruhan bagi motosikal keluarannya yang terkini, MODENAS 118EFI sehingga 7,000 unit setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Halim Ismail, berkata sasaran berkenaan membolehkan MODENAS memperbaiki penguasaan pasaran motosikal di negara ini sebanyak 15 peratus pada akhir tahun ini.
Memiliki motosikal adalah satu pelaburan yang penting untuk kegunaan seharian dan MODENAS memang berhasrat untuk menjadi peneraju dalam menyediakan produk yang dijamin berkualiti.


Model motosikal baru ini dilengkapi dengan tayar tanpa tiub, brek cakera hadapan dwipiston untuk kuasa brek yang lebih cekap dan tangki minyak berukuran 4.3 liter yang mampu mencatat perjalanan sehingga 250 kilometer, katanya dalam satu kenyataan di Georgetown.

Kenyataan Abdul Halim itu dikeluarkan sempena pelancaran MODENAS 118EFI, yang disempurnakan Pengarah Urusan DRB-HICOM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil pada DRB-Hicom Autofest 2013 di Pusat Arena Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) semalam.

Ciri istimewa

Abdul Halim berkata, MODENAS 118EFI dijual pada harga RM4,755 seunit tidak termasuk insurans serta cukai jalan dan dikuasakan dengan enjin 120cc teknologi Kawasaki serta dilengkapi sistem pancutan bahan api yang dibekalkan firma automotif antarabangsa, Synerject.
Katanya, model baru itu mempunyai ciri istimewa seperti transmisi empat kelajuan dengan sistem gear berputar dan didatangkan dengan dua warna iaitu hijau alam dan biru semesta, menepati cita rasa semua golongan pengguna.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, bersempena dengan pelancaran model baru itu, MODENAS melanjutkan jaminan untuk motosikal itu kepada dua tahun atau 25,000 kilometer membabitkan beberapa variasi model berkenaan.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, DRB-Hicom Autofest 2013 adalah acara kedua tahun ini yang bertujuan meningkatkan imej kumpulan itu sebagai peneraju automotif menerusi jenama yang pelbagai dan disegani di negara ini.

Katanya, acara itu disambut selama tiga hari, bermula Jumaat lalu dan menarik lebih 15,000 pelawat, dengan tawaran dan promosi yang menarik terhadap kenderaan, pacuan empat roda dan motosikal serta cabutan bertuah.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90