Top Ad 728x90

,

Sampul Duit Raya Daripada Kain Semakin Dapat Sambutan

Sampul Duit Raya Daripada Kain Semakin Dapat Sambutan


Memberi duit raya adalah satu tradisi bagi masyarakat Islam di Malaysia semasa menyambut Aidilfitri.

Sampul, yang diisi duit raya, ini kebiasaannya diberi kepada kanak-kanak terutama yang bertandang ke rumah ketika sambutan Aidilfitri.

Ini juga menjadi amalan dalam kalangan syarikat, organisasi dan dermawan tempatan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Antara penerima duit raya, yang datang dalam sampul pelbagai corak dan warna, adalah ibu tunggal, anak yatim, warga tua dan mereka dari keluarga yang kurang bernasib baik.

Sememangnya wang pemberian ini akan kelihatan lebih sopan jika dimasukkan ke dalam sampul terlebih dahulu sebelum diagih-agihkan.

Kebanyakan bank dan pengusaha perniagaan termasuk pasaraya mengedarkan sampul duit raya masing-masing, yang membawa logo korporat serta jenama, yang juga bertindak sebagai iklan perniagaan mereka.

SAMPUL DARIPADA KAIN

Biasanya sampul duit raya diperbuat daripada kertas tetapi bagi Aspalila Abdul Majid, sampul yang dibuat daripada kain adalah satu idea yang menarik.

Menurut Aspalila, sebelum menjahit sampul kain duit raya, beliau pernah menjahit beg, pemegang kunci, dompet dan sarung untuk kad nama dan kamera.

Idea sampul kain duit Raya itu tercetus daripada seorang pelanggan Aspalila dari Tote Boutique, kata beliau kepada Bernama.

Beliau mula mengeluarkan sampul duit raya daripada kain sejak 2003 setelah melahirkan anak yang ketiga.

Melalui blog beliau, 'Tote Boutique', Aspalila mula membina perniagaannya dengan menghasilkan beg untuk diisi lampin atau telekung dan beg itu hanya dikeluarkan pada musim perayaan sahaja.

Koleksi beg-beg itu dinamakannya "Tas Syawal".

TEMPAHAN

Setiap tahun sampul kain duit raya semakin mendapat perhatian dan sambutan pelanggan Tote Boutique terhadap sampul berkenaan cukup memberangsangkan.

"Saya hanya dapat memenuhi tempahan sebelum Ramadan kerana saya menjahitnya sendiri. Jadi tidak banyak yang dapat saya penuhi," jelasnya lagi.

Tahun ini Aspalila sudahpun menyiapkan 40 sampul kain duit raya untuk pelanggan tetapnya.

Pada mulanya hasil keluaran Tote Boutique menerima permintaan daripada pengikut blog Aspalila yang asalnya menjahit beg sahaja.

"Saya sering melawati laman web 'ETSY' untuk melihat kreativiti produk buatan tangan yang dipaparkan. Ide pun tiba, saya pun cuba menjahitnya dan pelanggan Tote Boutique akan menyukainya," jelas beliau.

Semua produk yang dijual di Tote Boutique dijahit oleh Aspalila sendiri tanpa bantuan sesiapa dan kualiti serta kehalusan jahitan menjadi keutamaannya.

REKAAN

Bahan-bahan untuk jahitan pula datang dari Amerika Syarikat dan China.

"Kain untuk dompet dan sampul duit raya saya tempah dan beli dari Amerika Syarikat manakala bahan lain seperti 'snap' dan cangkuk saya dapatkan dari China.

"Namun, fabrik yang sesuai lagi cantik boleh dibeli di Malaysia," kata beliau.

Sampul kain, yang berharga antara RM25.00 dan RM30.00 sehelai, ini berbeza daripada biasa dan mudah dicuci serta dijaga.

"Sebenarnya selepas Hari Raya, sampul kain ini boleh digunakan untuk menyimpan buku simpanan akaun bank atau wang tunai," jelas beliau.

- BERNAMA
 



0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90