Top Ad 728x90

,

Syarikat telekomunikasi Altel masuki pasaran

Syarikat telekomunikasi Altel masuki pasaran



Penyedia rangkaian telekomunikasi terbaharu, Altel Communications Sdn. Bhd. (Altel) memperkenalkan jenamanya hari ini, dengan menyasarkan pengenalan produk pertamanya pada Ogos ini.

Altel adalah unit kepada Puncak Semangat Sdn. Bhd. (Puncak Semangat), iaitu syarikat pegangan di bawah Al-Bukhary Group bagi menumpukan sektor perkhidmatan teknologi maklumat.

Puncak Semangat merupakan salah satu daripada lapan syarikat yang menerima peruntukan Evolusi Jangka Panjang (LTE) atau 4G oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tahun lalu.

Altel dijadualkan memperkenalkan produk perkhidmatan talian prabayar Ogos ini, diikuti talian pascabayar dan Internet 4G pada penghujung tahun.

Pengenalan itu susulan daripada pengumuman kerjasama antara Celcom Axiata Bhd. (Celcom) dan Puncak Semangat untuk berkongsi peruntukan 4G yang diterima kedua-dua syarikat. Buat permulaan, Altel bakal menggunakan stesen pemancar milik Celcom.

Ketua Pegawai Eksekutif Altel, Nik Abdul Aziz Nik Yaacob berkata, perkongsian stesen pemancar itu merupakan strategi yang lebih menjimatkan kos berbanding keperluan untuk membangunkan keseluruhan sistem 4G yang memerlukan pelaburan sebanyak RM1 bilion.

"Pendekatan ini membolehkan kami melakukan penjimatan yang ketara. Apa pun, untuk jangka masa panjang kami tetap melabur untuk mengukuhkan jenama dan perkhidmatan Altel," katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan Altel, di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengerusi Altel, Datuk Hilmi Mohd. Noor.

Altel menyasarkan untuk menarik seramai 150,000 pelanggan sepanjang tahun pertama operasinya.

Nik Abdul Aziz berkata, dalam tahun pertama operasi, Altel bakal menggunakan 500 stesen pemancar dan menyasarkan penggunaan itu ditingkatkan kepada 2,100 stesen pada tahun ketiga operasi.

Altel juga tidak menolak untuk mengadakan kerjasama korporat dengan syarikat-syarikat lain di bawah Al-Bukhary Group.

- UTUSAN
 


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90