Top Ad 728x90

Politeknik mulakan pengajian ijazah mulai Sept 2013

Politeknik mulakan pengajian ijazah mulai Sept 2013

Politeknik Malaysia akan memulakan empat program pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di tiga politeknik premiernya, pada sesi pengajian awal September ini.
   
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Datuk Mohlis Jaafar berkata tiga daripada program itu dilaksanakan sepenuhnya oleh politeknik manakala satu dijalankan secara berkembar dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat.
   
"Tiga kursus yang dilaksanakan sepenuhnya adalah Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti Antarabangsa di Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Baharu; Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pengurusan Fasiliti (Kepujian) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Kepujian) di Politeknik Ungku Omar, Perak," katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti Antarabangsa di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, di sini.
   
Turut hadir, Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, Datuk Dr Arshad Kassim. 
   
Mohlis berkata program berkembar pula adalah melibatkan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembungkusan (Kepujian) dengan kerjasama Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan UTHM.
   
Beliau berkata buat permulaan, seramai 120 pelajar akan mengikuti program tersebut 2 Sept depan dengan setiap program menempatkan 30 pelajar.
   
Katanya, program pembelajaran akan dilaksanakan menggunakan konsep belajar berdasarkan kerja dengan pelajar ditempatkan di industri selama dua semester.
   
"Pelajar yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembungkusan (Kepujian) itu pula perlu mengikuti selama dua tahun di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum menamatkan pengajian di UTHM," katanya.
   
Menurut Mohlis, penawaran program Ijazah Sarjana Muda adalah selari dengan objektif kedua transformasi politeknik iaitu memastikan politeknik terus relevan selari dengan kehendak pembangunan ekonomi negara selepas 44 tahun diwujudkan.

- BERNAMA




0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90