Proton Suprima S dilancar



KUALA LUMPUR 17 Ogos - Proton Suprima S, model kereta terbaharu yang dilancarkan pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd. (Proton) dilihat sebagai kereta keluaran negara terbaik yang bertaraf dunia pada harga mampu milik.

Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, model 'hatchback' terbaharu itu yang dilengkapi pelbagai teknologi termasuk dari segi keselamatan terkini dilihat mampu menarik lebih ramai golongan muda untuk memiliki Proton Suprima S.

Malah beliau memberitahu, model kereta itu yang akan dieksport dalam tempoh terdekat dilihat mampu menembusi pasaran antarabangsa dan seterusnya dapat melonjakkan syarikat automotif negara itu ke satu tahap baharu.

"Model terbaharu ini memenuhi cita rasa pelanggan tempatan dan global yang seterusnya akan menjadikan Proton sebagai pengeluar kereta berkualiti antarabangsa pada harga berpatutan.

"Saya juga berharap orang ramai akan terus menyokong kereta keluaran Proton dengan membeli model Suprima S ini yang dilengkapi pelbagai teknologi terkini pada harga mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan model kereta terbaharu keluaran Proton, Suprima S 'hatchback' di dewan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Komersial Proton, Hisham Othman.

Harga jualan atas jalan bagi varian Suprima S Eksekutif diumumkan RM76,338 seunit manakala varian Premium pula pada harga RM79,638 seunit.

Dalam masa sama, Dr. Mahathir melahirkan melahirkan rasa bangga dengan kelengkapan canggih serta kejuruteraan Suprima S yang semakin menunjukkan peningkatan ketara.

Kata beliau, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh pakar-pakar dalam kalangan anak tempatan itu menjadikan model Suprima S itu sebagai kereta terbaik keluaran Proton yang dapat memenuhi kehendak pasaran termasuk antarabangsa.

"Saya harap persepsi Proton merupakan pengeluar kereta murah dengan berkualiti rendah dapat ditamatkan kerana syarikat ini telah berjaya mengeluarkan kereta setanding dengan pengeluar kereta berjenama terkenal lain," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Khamil pula memberitahu, model Suprima S itu akan mula dieksport dalam tempoh terdekat bermula di ASEAN dan seterusnya ke negara lain seperti Australia.

Menurutnya, Proton telah memberi perhatian dalam meningkatkan semua aspek Suprima S khususnya ciri-ciri keselamatan.

"Proton Suprima S ini merupakan model yang didatangkan dengan standard keselamatan terbaik termasuk Australian New Car Assesment Program (ANCAP).

"Ini adalah masa depan kita membayangkan untuk semua produk dan perkhidmatan kami serta tanda aras kepada standard kualiti yang ingin diberikan kepada pelanggan," katanya.

Proton Suprima S 'hatchback' serba lengkap, penuhi kehendak pengguna

Proton Suprima S berenjin 1.6 liter berharga antara RM76,338 seunit hingga RM79,638 seunit.

Nama Suprima yang dipinjam daripada kata asal Inggeris supreme yang membawa maksud tertinggi dilihat sesuai kerana model itu memiliki semua kehendak serta keperluan semasa lebih moden sekarang.

Kereta terbaharu ini merupakan model dilengkapkan dengan produk terkini yang tidak pernah dimiliki model Proton terdahulu seperti lampu siang (DRL), Android-based Operating System, lampu LED di belakang dan Hill-hold Assist serta Park Assist bagi varian premium.

Proton Suprima S merupakan sebuah model lima pintu yang dinamik serta memiliki reka bentuk luaran dan dalaman yang sporty lagi premium dengan prestasi enjin yang unggul.

Kereta model tersebut menggunakan enjin 1.6 liter dengan ProTonic Continuous Variable Transmission (CVT), tujuh kelajuan automatik yang menawarkan kuasa maksimum 140 PS pada 5,000 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 205 Newton meter (Nm) pada 2,000 hingga 4,000 rpm, berkuasa sama seperti enjin 2.0 liter lain.

Malah, Suprima S juga dilengkapi ciri-ciri keselamatan terbaik dengan enam beg udara, tingkap kuasa anti-perangkap, Sistem Anti Kekunci Membrek (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta bagi model premium disertakan Park Assist dan kamera undur.

Selain itu, Proton turut menawarkan program lima bintang kepada pembeli Suprima iaitu jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer dan bantuan jalan raya secara percuma selama lima tahun.

Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, model itu terhasil daripada pelbagai kajian dari dalam dan luar negara bagi memastikan Suprima S dapat memberi kepuasan kepada pelanggan.

"Sekali lagi, Proton telah membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia kami komited untuk memenuhi keperluan pengguna dengan menghasilkan pelbagai produk yang seronok di pandu lagi selamat," katanya.

- UTUSAN

 

1 comment... add one now

AnonymousAnonymous 19 August, 2013
Aku sangat teruja bila dengar CEO Proton cakap omputih di TV3 semasa pelancaran Suprima S baru-baru ni.

Bukan apa, suku-sakat aku tanya apa yang dia cakap tu? Macam bunyi orang dari London je? Kasihan mereka. Nak tau juga kebaikan (kalau ada) kereta Proton yang baru ni. Sekarang mereka tak tahu apa pun penambahbaikan terperinci yang dibuat ke atas produk baru ni setelah membelanjakan bermiliun-miliun.

Harapkan salesman memang diorang kata semuanya okay (macam Khir Toyo cakap tu), kerana nak jual barang mereka. Mereka nak capai kuota. Jadi suku-sakat peminat setia kereta Proton ni kenalah pakai kereta lama dulu untuk beberapa ketika sebelum mereka tahu apa sebenarnya kebaikan Suprima S tu. Aku cuba-cuba jugak ajar mereka cakap London sepatah dua. Tapi almaklumlah orang kampung...

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

SMART WALLET

Untuk mendapatkan SMART WALLET yang menawan ini. WhatsApp "SMART WALLET" ke: 0139790000

lihat tawaran lebih lanjut

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran

Ingin Kurangkan Bil Elektrik?

Jika bil elektrik anda tinggi setiap bulan, apa kata cuba pasang alat penjimat elektrik di rumah anda. Promosi terkini hanya RM60 poslaju percuma. WhatsApp / Telegram "JIMAT ELEKTRIK" ke: 0139790000