Top Ad 728x90

,

Risiko nikah di sempadan

Risiko nikah di sempadan

Oleh Roshdan Sujak Rafie
Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Pernikahan adalah suatu ikatan mulia yang sangat dituntut dalam Islam. Bagaimanapun, pengabaian tanggungjawab dalam pernikahan banyak menyebabkan sesebuah perkahwinan itu menjadi cacat dan tidak sempurna.
Sebab itulah undang-undang menetapkan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi dan dipenuhi sebelum kebenaran bernikah diberikan untuk mengurangkan permasalahan yang mungkin berlaku dalam sesebuah perkahwinan.

    Walau apa alasan sekalipun, pernikahan di sempadan perlu dilihat dan difikirkan secara mendalam kerana ia membabitkan status sah pernikahan, keturunan, nasab dan hak yang wujud daripada pernikahan itu.


Islam telah menetapkan beberapa syarat dan rukun yang perlu dipenuhi untuk membolehkan sesuatu perkahwinan itu sah. Apabila sempurna rukun-rukun itu maka sahlah pernikahan yang berlaku tidak kira ia dilakukan dalam negara mahupun di luar negara.

Mohon kebenaran kahwin

Bagi mengawal selia setiap pernikahan yang dicadangkan, Undang-undang Keluarga Islam setiap negeri menetapkan beberapa prosedur yang perlu dipatuhi untuk membolehkan pernikahan dibuat antaranya memohon kebenaran berkahwin sehinggalah kebenaran diperoleh daripada pendaftar.

Peruntukan Seksyen 17 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 menyatakan: “Tertakluk kepada seksyen 18, Pendaftar, apabila berpuas hati kebenaran perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu, mengenai sahnya pernikahan yang dicadangkan itu, dan jika pihak lelaki itu sudah berkahwin, bahawa kebenaran yang dikehendaki oleh seksyen 23 telah diberi, hendaklah, pada bila-bila masa selepas permohonan itu dan setelah dibayar fi yang ditetapkan, mengeluarkan kepada pemohon kebenarannya untuk berkahwin dalam borang yang ditetapkan."
Ramai hari ini mengambil pendekatan yang mudah dengan berkahwin di sempadan atau di luar negara terutama di wilayah selatan Thailand dan Indonesia. Bagaimanapun, ramai tidak sedar tindakan itu sebenarnya mengundang risiko lebih besar.

Alasan nikah di seberang sempadan

Ada beberapa sebab yang menyebabkan masyarakat memilih untuk pernikahan di seberang sempadan antaranya perkahwinan itu mendapat tentangan keluarga, berpoligami secara rahsia atau tanpa pengetahuan isteri, akibat terlanjur atau melahirkan anak luar nikah.

Walau apa alasan sekalipun, pernikahan di sempadan perlu dilihat dan difikirkan secara mendalam kerana ia membabitkan status sah pernikahan, keturunan, nasab dan hak yang wujud daripada pernikahan itu.

Ramai yang tidak sedar pernikahan yang dijalankan di sempadan juga terdedah kepada sindiket yang mungkin boleh menyebabkan pernikahan itu tidak sah. Jika pernikahan dijalankan oleh sindiket, status wali boleh diragui.

Kedudukan wali hakim yang menikahkan pasangan adalah penting untuk menentukan kesahihan pernikahan. Jika wali hakim yang menikahkan pasangan tidak mempunyai tauliah pewalian yang sah dari kerajaan negara itu, maka pewaliannya adalah fasid dan nikah tidak sah.

Setiap wali hakim yang dilantik mestilah mempunyai kuasa wali seperti disyaratkan hukum syarak dan undang-undang negara itu. Isu ini perlu diberi perhatian yang serius kerana ia jarang diberi perhatian oleh mereka yang melakukan akad nikah di sempadan.

Kehendak dan keinginan berkahwin ini ada kala menyebabkan mereka alpa serta lalai dalam memenuhi rukun digariskan syarak.

Selain isu wali, pernikahan di sempadan yang kemudian tidak didaftarkan juga boleh menyebabkan suami atau isteri tidak mendapat haknya dari sudut undang-undang di Malaysia. Anak yang lahir biasanya tidak dibinkan kepada bapa kerana tiada sijil nikah daripada Jabatan Agama Islam Negeri.

Pernikahan perlu didaftarkan

Pernikahan perlu disahkan dan didaftarkan terlebih dulu untuk membolehkan pendaftaran anak-anak dibuat dengan sempurna. Selain itu, isteri juga tidak boleh menuntut hak termasuk nafkah, giliran dan sebagainya jika wujud permasalahan dalam rumah tangga mereka.

Jika perceraian berlaku, ia juga akan menimbulkan permasalahan dalam isu berkaitan hak selepas perceraian. Permasalahan lebih besar akan berlaku jika pernikahan di sempadan dirahsiakan dari pengetahuan keluarga, sahabat mahupun rakan karib.

Jika berlaku kematian atau perceraian ia sukar dibuktikan kerana tiada maklumat berkaitan. Ia akan menyebabkan hak berkaitan pewarisan dan keturunan tidak dapat dilaksanakan kepada waris yang berhak hasil dari wujudnya pernikahan dirahsiakan itu.

Pernikahan di sempadan yang tidak didaftarkan juga boleh menyebabkan timbulnya isu digantung tidak bertali. Apabila berlaku masalah dalam rumah tangga, pasangan tidak boleh memohon perceraian kerana tidak ada asas disebabkan pernikahan tidak mengikut undang-undang.

Keinginan dan kehendak untuk bernikah secara rahsia di sempadan perlu diperhalusi kerana berisiko. Kehendak itu boleh menyebabkan pengabaian terhadap segala hak-hak yang sewajarnya diperoleh daripada sebuah perkahwinan.

Satu kajian dan mekanisme perlu dilaksanakan bagi melihat sebab musabab yang membawa kepada meningkatnya pernikahan di sempadan. Kajian juga perlu dibuat untuk melihat sejauh mana kesan akibat pernikahan di sempadan lebih-lebih lagi pernikahan disembunyikan daripada pengetahuan.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90