TGV Cinemas lancar aplikasi tempahan tiket

TGV Cinemas Sdn Bhd akan melancarkan aplikasi tempahan tiket yang baharu pada pertengahan Ogos, membolehkan pelanggan membuat tempahan tiket dalam talian menggunakan tablet atau telefon mudah alih.
  
Ketua Pegawai Eksekutifnya Gerald Dibbayawan berkata TGV Cinemas menerima cadangan daripada pelanggan supaya meningkatkan aplikasi penempahan tiketnya seiring dengan perkembangan teknologi.
  
"Pada pertengahan Ogos, kami akan melancarkan aplikasi tempahan tiket kami,jadi anda mempunyai pilihan.
  
"Saya berpendapat, pada masa hadapan, lebih ramai orang akan menggunakan (aplikasi) dalam talian dan mudah alih untuk mengakses pilihan tempahan tiket," katanya kepada Bernama.
  
Dibbayawan berkata syarikat-syarikat pawagam melihat trend di negara lain dan jelas sekali mereka berhubung dengan penonton mereka dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
  
Bercakap mengenai teknologi, Dibbayawan berkata TGV Cinemas tidak menganggap pawagam lain sebagai pesaing sebenar tetapi iPad, sistem teater rumah dan alat teknologi lain sebenarnya bersaing dengan industri pawagam.
 
"Kami bersaing dengan masa orang ramai termasuk platform yang mereka menonton filem," katanya dan menambah bahawa kebanyakan orang kini memiliki peranti canggih yang menawarkan kemudahan menonton filem dengan hanya satu klik.
  
Dibbayawan berkata TGV Cinemas juga akan melancarkan laman web baharu yang mempunyai reka bentuk responsif, dinaik taraf daripada sistem semasa di laman web yang membolehkan pelanggan membuat tempahan dalam talian dengan lebih pantas.
  
Mengenai masa depan, TGV Cinemas juga akan memberi tumpuan kepada pengalaman dan perkhidmatan pelanggan dengan memberi lebih perhatian kepada apa yang disampaikan syarikat, bermula dari kaunter jualan tiket sehingga ke dewan pawagam.
  
"Kami sentiasa berusaha meningkatkan tawaran produk kami dari segi konsep bagi tempat duduk, pawagam, makanan dan minuman untuk faedah pelanggan," kata Dibbayawan.
  
Mengulas mengenai sistem bunyi yang digunakan di rangkaian pawagam syarikat, beliau berkata syarikat merancang untuk meningkatkan sistem bunyi daripada Dolby 5.1 kepada Dolby 7.1, yang menawarkan lapan saluran bunyi berbanding enam sebelum ini. 

- BERNAMA



TGV Cinemas lancar aplikasi tempahan tiket

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.