Peluang guru mohon tukar sekolah

Kementerian Pendidikan Malaysia menawarkan peluang bersyarat kepada guru dari Semenanjung, yang kini mengajar di Sabah dan Sarawak untuk pulang bertugas ke negeri pilihan, mulai Januari 2014.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata tawaran sama juga dibuka kepada guru dari kedua-dua negeri itu, yang sedang bertugas di Semenanjung, tetapi berminat kembali berkhidmat di kampung halaman masing-masing.

“Kita membuat kajian terperinci dan mencari mekanisme terbaik bagi memastikan guru tiada masalah besar menjalankan tugasan di lokasi mereka ditempatkan.

“Bagaimanapun, melalui kajian sama, kita menetapkan beberapa faktor melayakkan permohonan guru untuk bertukar sekolah seperti pasangan suami atau isteri bertugas di negeri berbeza dan sudah mengajar di sesuatu kawasan terlalu lama.

“Kajian dan mekanisme ini penting kerana kita banyak menerima permohonan pertukaran daripada guru, terutama yang berasal dari Semenanjung dan kini mengajar di Sabah atau Sarawak untuk pulang ke negeri asal masing-masing,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu sama pada sidang media selepas Majlis Sarapan Bersama Ibu Bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, di sini, semalam, Idris berkata, tawaran itu turut membolehkan mana-mana guru untuk mengajar di negeri lebih jauh, mengikut pilihan masing-masing sama ada di sekolah Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.

Pada majlis sama, Idris turut mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada SK Seri Pristana bagi menaik taraf infrastruktur dan keperluan sekolah berkenaan.

Beliau turut mengadakan lawatan ke bilik persalinan sekolah terbabit yang mencetuskan kontroversi pada Ramadan lalu berikutan pengurusan sekolah dikata mengarahkan murid bukan Islam makan pada waktu rehat di situ, yang didakwa adalah tandas.

Mengulas isu berkenaan, Idris berkata, hasil pemeriksaan dan pemerhatian dijalankan beberapa pihak mendapati dakwaan itu tidak tepat kerana bilik dimaksudkan bukan tandas, malah ia juga dalam keadaan bersih.

“Kunjungan saya hari ini (semalam) turut mendapati kantin yang dibaik pulih pada bulan puasa lalu sudah beroperasi semula, jadi saya anggap kontroversi ini sudah tamat” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN



Peluang guru mohon tukar sekolah

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.