Top Ad 728x90

Kursus kritikal IPT perlu guna bahasa Melayu

Kursus kritikal IPT perlu guna bahasa Melayu

Peratusan pengajaran dalam bahasa Melayu bagi kursus kritikal di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dipertingkatkan untuk memastikan statusnya dapat dilonjakkan ke satu tahap lebih wajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bukan bermaksud menidakkan penggunaan bahasa Inggeris kerana banyak kursus kritikal seperti kejuruteraan, undang-undang dan perubatan menggunakan bahasa Inggeris.

Malah, beliau yang juga Menteri Pendidikan meletakkan China, Jepun dan Korea sebagai negara contoh yang mengutamakan bahasa ibunda dalam usaha pemerolehan ilmu tetapi pada masa sama menguasai bahasa utama dunia yang lain.

“Saya sedar kursus kritikal seperti kejuruteraan, undang-undang dan perubatan di IPT menggunakan bahasa Inggeris. Justeru, saya fikir wajar sekali usaha dijalankan untuk mempertingkatkan peratusan pengajaran bagi kursus terbabit dalam bahasa Melayu, berbanding majoriti yang menggunakan bahasa Inggeris kini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2013, di Dewan 2020, di Kangar, Perlis, semalam. Hadir sama Menteri Besar Perlis, Azlan Man serta Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa Kebangsaan 2013, turut menyarankan supaya cendekiawan yang aktif menghasilkan karya ilmiah dalam bahasa Melayu khususnya bidang kritikal seperti perubatan, undang undang dan kejuruteraan diberikan pengiktirafan dan anugerah.

“Penulisan ilmiah dalam bidang kritikal sewajarnya dihargai. Malah, kerajaan turut menyarankan satu daripada syarat kenaikan pangkat bagi pensyarah termasuk menulis buku ilmiah atau makalah ilmiah dalam bahasa Melayu.

“Inilah bidang keberhasilan berimpak tinggi yang harus digerakkan dalam melaksanakan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di IPT,” katanya.

Beliau juga meminta semua pihak termasuk badan kerajaan dan bukan kerajaan menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai asas perpaduan negara.

Malah, Muhyiddin mencadangkan program sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan kali ini menerapkan unsur perpaduan dengan pembabitan pelbagai kaum bermula peringkat sekolah hingga dewasa.

- BERITA HARIAN



0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90