Top Ad 728x90

12 Lagu Layak ke AJL 28 pada 26 Januari 2014

by
12 buah lagu terbaik layak ke Anugerah Juara Lagu 28 selepas berentap di pentas separuh akhir Muzik Muzik 28 yang disiarkan secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di Shah Alam, Jumaat.

Lagu-lagu yang layak ke AJL28 yang akan diadakan pada 26 Januari hadapan terdiri daripada Penglipurlara (Hazama), Takkan Terpisah (Black), Bahagiaku Deritamu (Hafiz Suip), Aku Pelat (Salam Muzik), In Love With You (Noh Salleh & Aizat Amdan), Bosan (Stacy), Kalau Aku Kaya ( Awi Rafael & Altimate), Hanya Aku (Hyper Act), Tanda Tanya (Azlan & The Typewriter), Sahabat (Najwa Latiff), Ikut Rentakku (Jaclyn Victor) dan Kau Yang Terindah (Alyah).

Separuh akhir Muzik Muzik 28 minggu ketiga ini turut menyaksikan persembahan daripada Kembali (Akim & Stacy), Anugerah Hidup (Estranged), Dwihati (Yuna &Aizat Amdan), Rumah Kita (Hujan) dan Jagalah Diri (Jaclyn Victor).

Muzik Muzik 28 minggu ketiga turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Cat Farish, Damien, DJ Fuzz, Mimie (One Nation Emcee) dan Waris.

Program ini telah bersiaran selama tiga minggu berturut-turut yang bermula 8 November dan menyaksikan persaingan 30 buah lagu terbaik sepanjang tahun 2013.

Kesemua lagu diadili oleh barisan juri profesional iaitu Azlan Abu Hassan, Aubrey Suwito, Ajai, Ad Samad, Azmeer dan Datuk Ramli MS selaku ketua juri.

- mSTAR

Penerima BR1M dilindungi insurans

by
Kira-kira 5.9 juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan menerima manfaat khairat kematian RM30,000 menerusi caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) bermula tahun 2014.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata pihaknya kini dalam proses rundingan dengan beberapa konsortium syarikat insurans untuk tujuan itu.

“Langkah kerajaan untuk menyediakan kemudahan insurans ini bertujuan membela kebajikan rakyat, khususnya kepada penerima BR1M sekiranya mereka ditimpa sebarang kejadian tidak diingini seperti kematian atau hilang keupayaan untuk bekerja.

“Insurans ini akan diperluaskan kepada semua penerima BR1M bermula tahun depan. Bagaimanapun, penerima BR1M kategori individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bawah RM2,000 tidak layak,” katanyaselepas menghadiri Karnival Keusahawanan dan Khidmat Masyarakat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dataran Datuk Jalok, Benut, Johor.

Ketika membentangkan Bajet 2014 pada bulan lalu, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan menaikkan nilai BR1M, memperluaskan pemberiannya dan mencadangkan i-BR1M dengan peruntukan RM4.6 bilion yang dijangka memanfaatkan 7.9 juta penerima.

Perdana Menteri berharap i-BR1M memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

- BERITA HARIAN

Cuti Hujung Minggu Johor Ditukar Kepada Jumaat & Sabtu Berkuatkuasa 1 Januari 2014

by
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan cuti hujung minggu negeri Johor ditukar kepada Jumaat dan Sabtu.

Baginda bertitah, pertukaran itu berkuatkuasa 1 Januari tahun depan bagi memudahkan rakyat negeri ini beribadat dengan tenang.

Keputusan yang telah dijangkakan itu diumumkan pada Sabtu sempena dengan hari keputeraan baginda yang ke-55.

"Keputusan ini dibuat ekoran maklum balas daripada beberapa pihak bagi memudahkan orang Islam menunaikan solat Jumaat dengan tenang pada hari Jumaat," titah baginda ketika berucap pada majlis yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di bandar diraja, Muar.

Baginda bertitah hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan keberkatan hari itu hendaklah diambil peluang oleh umat Islam untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut dan disunatkan.

"Jika kita perhatikan pada masa kini, orang lelaki terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat, waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu untuk berehat dan tidur.

"Selepas selesai solat Jumaat pula, mereka bergegas bangun dan meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat untuk menunggu imam membaca doa. Oleh yang demikian setelah meneliti banyak pandangan, saya telah membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan bagi negeri Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu bermula 1 Januari 2014," titah baginda.

Turut berangkat isteri baginda Raja Zarith Sofiah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda-anakanda baginda yang lain.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, isterinya Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.Johor pernah menjadikan hari Jumaat sebagai cuti hujung minggu sebelum tahun 1994.

"Negeri Johor merupakan sebuah negeri yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi negeri dan sejarah juga telah menunjukkan bahawa pengembangan agama Islam di negeri ini menjadi contoh kepada negara lain," titah baginda.

Oleh yang demikian baginda menyeru semua umat Islam di negeri ini supaya menjadikan nilai-nilai murni dan sifat terpuji orang Islam sebagai gaya hidup seharian. Baginda turut menyarankan Majlis Agama Islam Johor supaya menyediakan pusat sumber ilmu agama secara dalam talian sebagai pusat rujukan kepada semua umat Islam bagi membolehkan masyarakat mendapat maklumat yang tepat hanya daripada satu sumber yang boleh dipercayai.

Pusat itu juga boleh dijadikan medium untuk masyarakat mengutarakan segala keraguan dan persoalan agar mereka boleh mendapat jawapan serta nasihat mengikut landasan agama Islam dan selari dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Johor.

Dalam perkembangan lain baginda turut melahirkan rasa syukur kerana Johor terus berada di dalam keadaan aman, damai dan sentosa dan rakyat dapat hidup dengan sejahtera selain menikmati pembangunan ekonomi yang pesat dan seimbang.

"Pembangunan dan kemajuan ekonomi yang kita peroleh sekarang adalah hasil daripada usaha dan kerjasama erat antara pemimpin kerajaan negeri dan pemimpin kerajaan persekutuan. "Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan persekutuan yang sentiasa memberikan bantuan, sokongan dan peruntukan dalam membangunkan kemudahan asas serta infrastruktur am untuk meningkatkan tahap ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di negeri ini," titah baginda.

Baginda juga berharap rakyat di negeri ini akan sentiasa berusaha mengekalkan kesejahteraan hidup yang dinikmati sekarang dengan bersikap sederhana dan bersatu hati bagi mengukuhkan perpaduan kaum dan keharmonian masyarakat.

- mSTAR


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90