Khamis, Disember 26, 2013

Rahsia solat sunat malam

Abdullah bin Amru berkata, “Rasulullah bersabda: Sembahyang sunat waktu malam dan puasa yang disukai Allah adalah sembahyang dan puasa dilakukan oleh Nabi Daud. Baginda tidur separuh malam. Kemudian satu pertiga malam baginda bersembahyang sunat. Manakala satu perenam lagi baginda tidur. Baginda juga puasa dengan berselang seli.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelebihan menghidupkan malam dengan beribadah banyak dan umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Keheningan malam yang mendamaikan jiwa boleh mencetuskan semangat untuk beribadat dengan tenang.

Ketika orang lain enak diulit mimpi, mereka yang terjaga sepatutnya mengambil kesempatan itu bangun menunaikan solat bukan menarik selimut kerana ketika itu malaikat turun untuk mencari hamba Allah SWT yang berdoa kepada Tuhannya.

Jabir berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda: Sebenarnya pada setiap malam ada satu waktu yang istimewa. Apabila ada seorang muslim memohon kebaikan untuk dunia atau akhirat pada waktu itu, pasti Allah akan memperkenankan doa orang itu. Waktu istimewa itu ada pada setiap malam.” (Riwayat Muslim)

Justeru, tidak kira apa sebabnya kita bersolat malam sama ada untuk memohon hajat, meminta dimudahkan urusan atau bertaubat kepada Allah SWT, yakinlah usaha itu mendapat perhatian istimewa dan Allah SWT akan memperkenankan permintaan itu.

Namun, jika tidak juga termakbul perkara dihajati, ada sebab yang hanya Allah SWT Maha Mengetahui. Namun, itu bukan alasan untuk berputus asa, sebaliknya amalan solat malam wajar dijadikan amalan harian.

Mereka yang sudah terbiasa bangun untuk menunaikan solat malam boleh menceritakan kenikmatan dirasai serta perubahan dilalui berbanding sebelum mereka mendekatkan diri dengan Allah SWT melalui ibadat solat sunat pada tengah malam.

Alangkah indahnya jika suami yang terbangun untuk menunaikan solat sunat turut mengajak isteri kerana Abu Hurairah dan Abu Said berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Jika seorang suami bangun pada waktu malam dan mengejutkan isterinya kemudian mereka berdua melakukan sembahyang sunat dua rakaat, Allah menyenaraikan mereka berdua dalam senarai orang yang mengingati Allah.” (Riwayat Abu Daud)

- BERITA HARIAN

Kadar Simpanan Asas Baharu KWSP Bermula Januari 2014

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan ahlinya berhubung kuantum baharu Simpanan Asas, yang menetapkan RM196,800 sebagai amaun minimum ahli yang perlu ada dalam akaun KWSP mereka menjelang umur 55 tahun, berkuat kuasa bulan depan.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, kadar baharu itu ditanda aras dengan pencen minimum pekerja sektor awam, yang bersamaan RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun dari umur 55 hingga 75 tahun.

Beliau berkata, ia akan disemak setiap tiga tahun berdasarkan kepada keperluan persaraan, kadar inflasi dan kos hidup.

"Dengan mengambil kira faktor kos hidup yang semakin meningkat, jangka hayat rakyat Malaysia yang panjang serta kadar inflasi, KWSP telah membuat keputusan meningkatkan Simpanan Asas untuk memastikan 13 juta ahlinya mempunyai tahap simpanan yang mencukupi bagi menikmati persaraan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Nik Affendi, berkata Simpanan Asas semasa ialah RM120,000 pada umur 55 (RM500 sebulan bagi tempoh 20 tahun) mungkin tidak mencukupi bagi menampung persaraan ahli kerana berada di bawah garis kemiskinan.

Selain itu, katanya, statistik KWSP menunjukkan 71 peratus ahli bersara pada umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP mereka.

Nik Affendi berkata, kadar yang disemak semula ini memerlukan ahli mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP bagi membolehkan mereka layak menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP di mana simpanan mereka boleh dilaburkan dalam unit amanah.

"Ini untuk memastikan ahli mempunyai simpanan yang mencukupi dalam akaun KWSP apabila mereka bersara bagi membiayai keperluan asas persaraan sebelum boleh memilih untuk melabur dalam pelaburan lain," katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif yang diperkenal KWSP untuk mempertingkat simpanan persaraan ahli ialah kadar caruman majikan sebanyak 13 peratus untuk pekerja yang bergaji RM5,000 dan ke bawah.

"Selain itu, kadar caruman penuh KWSP untuk pekerja sehingga umur 60 tahun dan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 tahun yang membenarkan ahli untuk memanjangkan simpanan KWSP mereka bagi tempoh yang lama," katanya.

Bagi membantu ahli merancang persaraan mereka, Nik Affendi berkata, KWSP akanmemperkenal perkhidmatan penasihat kewangan kepada ahli mulai tahun depan dengan projek perintis di Lembah Klang sebelum diperluas ke seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.

- BERNAMA

Ikan Terdampar Di Lahad Datu Bukan Kerana Gempa Bumi - Jabatan Meteorologi


KOTA KINABALU: Jabatan Meteorolgi Malaysia tidak mengesan sebarang pergerakan kerak bumi di sekitar Lahad Datu, yang dikaitkan dengan fenomena ribuan ikan tamban terdampar di pantai Kampung Tambisan Tungku, pagi Selasa.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Sabah Abdul Malek Tussin berkata berdasarkan sistem amaran awal tsunami, keadaan dasar laut di kawasan berkenaan juga seperti biasa.

Bagaimanapun jabatan ini tetap memantau pergerakan kerak bumi terutama di dasar laut di kawasan terbabit, katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Datuk Rayner Stuel Galid berkata kejadian tersebut merupakan kali pertama berlaku di Sabah.

"Selalunya ikan tamban ini berada di tengah laut, jarang di tepi pantai," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menghantar pegawai ke kawasan berkenaan bagi melakukan siasatan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Mat Shamsuddin pula berkata pasukan keselamatan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana alam.

Dalam kejadian 8 hingga 9.30 pagi itu, ribuan ikan tamban seolah-olah naik ke darat dan menarik perhatian masyarakat setempat dengan ada antara mereka menganggap fenomena tersebut sebagai petanda bencana alam seperti tsunami.

- BERNAMA
 


Rabu, Disember 25, 2013

Isu gaji lelaki dan wanita

kreatif dan pemasaran besar di Malaysia membayar gaji pekerja lelaki pada purata 27 peratus lebih tinggi daripada wanita, manakala firma yang lebih kecil dalam bidang sama menawarkan gaji yang sama, demikian mengikut hasil satu kaji selidik.

Mengikut kaji seilidik font, sebuah agensi pengambilan pekerja, wanita didapati memperoleh 10 peratus kurang daripada lelaki dalam sektor dikaji, tetapi mereka yang kekal dalam pekerjaan mereka selama sembilan hingga 10 tahun lebih cenderung untuk mencapai gaji yang sama berbanding dengan rakan lelaki mereka.

Pengarah Serantau Asia font Karin Clarke berkata, gaji lebih rendah di syarikat kecil berbanding syarikat besar, tetapi budaya berkenaan cenderung untuk meletakkan lebih nilai terhadap kesaksamaan.

Font membuat tinjauan terhadap 4,350 peserta dengan 988 daripadanya rakyat Malaysia, membandingkan gaji berdasarkan saiz syarikat, tahun pengalaman, jantina dan kelayakan, di seluruh sektor pengiklanan, pemasaran, kreatif dan multimedia.

Di semua empat sektor itu, wanita yang mempunyai pengalaman lebih daripada sembilan tahun memperoleh gaji purata sembilan peratus lebih daripada rakan lelaki mereka.

Namun, kajian itu mendapati lelaki dengan pengalaman 16 hingga 20 tahun didapati memperoleh lebih daripada wanita.

Kajian itu juga mendapati wanita lebih cenderung untuk bertukar tempat kerja.
Wanita akan meninggalkan pekerjaan mereka jika ditawarkan kenaikan 10 peratus, manakala lelaki tidak akan meninggalkan kerja mereka kecuali ditawarkan kenaikan 16.7 peratus.

- BERNAMA

Isnin, Disember 23, 2013

Jawatan Kosong Jururawat Dialisis (Kuala Terengganu)

Jawatan Kosong Jururawat Dialisis (Kuala Terengganu) Kelayakan : - Mempunyai Diploma in Nursing dan berdaftar dengan LJM. - Berpengalaman sekurang-kurangnya 2 tahun dalam bidang hemodialisis. - Mempunyai Sijil Post Basik Renal - Sanggup untuk bekerja di Kuala Terengganu. Calon yang berminat hendaklah menghantar resume lengkap beserta gambar pasport ke : nefrocaremhr@yahoo.com atau Nefrocare MHR Sdn. Bhd.(1018610-H) Lot PT1878, Perkedaian KP Perdana, Taman KP Perdana, Kubang Parit, 21050 Kuala Terengganu Terengganu. Sebarang pertanyaan sila hubungi 0129655858 - En. Hafiz

Rabu, Disember 18, 2013

Permohonan BR1M 2014 dibuka dari 23 Disember 2013

Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 akan dibuka dari Isnin ini, 23 Disember 2013 sehingga 31 Januari 2013 depan, menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan. Permohonan baru dan kemskini maklumat BRIM boleh dibuat secara online di: https://ebr1m.hasil.gov.my/

Menurut kenyataan itu penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar lagi, tetapi perlu mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

"Bagi pemohon baharu pula boleh mendaftar secara dalam talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2014 secara percuma mulai tarikh tersebut," kata kenyataan itu.

Borang permohonan BR1M 2014 boleh didapati di pejabat cawangan dan pusat khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau dimuat turun melalui laman web LHDN di www.hasil.gov.my.

Pembayaran akan dibuat kepada yang layak bermula Februari dan BR1M 2014 dijangka memberi manfaat kepada 5.9 juta isi rumah serta dua juta individu bujang.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-2716 yang dibuka mulai 23 Dis ini, dari Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Ketika pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala untuk indvidu bujang berusia 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan dinaikkan sebanyak RM50 kepada RM300.

Selain itu caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 akan diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

Warga emas berusia 60 tahun ke atas dan tinggal sebatang kara juga akan menerima kenaikan jumlah bantuan daripada RM500 kepada RM650. 

- Bernama


Isnin, Disember 16, 2013

Melaka Perkenal Bas Elektrik Mulai Januari 2014

Melaka akan menggunakan bas elektrik bagi perkhidmatan bas henti-henti di bawah anak syarikat kerajaan negeri, Panorama Melaka Sdn Bhd bermula bulan depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata pada masa ini syarikat berkenaan sedang melakukan kajian peringkat akhir bagi menentukan laluan paling sesuai serta kadar tambang berpatutan bagi perkhidmatan bas elektrik yang pertama kali diperkenalkan di negara ini.

Berbanding penggunaan bas diesel syarikat itu pada masa sekarang, Idris yakin perkhidmatan bas elektrik dapat menjimatkan pelbagai kos antaranya penyelengaraan dan bahan api yang sentiasa meningkat.

"Kos permulaan bas elektrik ini agak besar, tetapi saya percaya dengan penjimatan yang kita dapat dengan guna bas elektrik ini akan mendatangkan pulangan jangka panjang kepada kita," katanya.

Terdahulu beliau meluangkan masa kira-kira 20 minit memandu uji sendiri bas elektrik itu di sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini yang turut disertai wartawan Bernama, pegawai kanan kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Naim Abu Bakar.

Bas elektrik itu mempunyai kelajuan maksimum 45 kilometer sejam, mampu membawa sehingga 35 penumpang dan boleh bergerak sejauh kira-kira 400 kilometer sebelum dicas semula.

- BERNAMA

Ahad, Disember 15, 2013

Blackberry edisi terhad


BlackBerry berusaha keras untuk memastikan produk telefon pintarnya terus relevan di kalangan pengguna dengan terbaru mereka menghasilkan telefon pintar ekslusif, Porsche Design P’9982.

Telefon pintar ini ditujukan khas untuk golongan eksekutif dengan rekaan khusus dan dijual dalam jumlah unit yang terhad.

Porsche Design P’9982 edisi terhad ini datang dengan rekaan kulit buaya sebagai lapisan luar telefon. Meskipun dilabel sebagai edisi terhad, Porsche Design P’9982 ini memiliki spesifikasi yang sama dengan BlackBerry Z10 ataupun P’9982 edisi biasa.

Pihak BlackBerry belum mengumumkan harga untuk telefon pintar ini, namun sebagai bahan perbandingan, Porsche Design edisi biasa sudah memiliki harga yang tinggi sebesar AS$2,400 (RM7,680), jika untuk unit terhad ini pula dijangkakan harganya akan meningkat lebih tinggi lagi.

- BERITA HARIAN

 

ikahwin.my - Khidmat persiapan kahwin di internet


Setiap wanita mengidamkan satu majlis perkahwinan yang lancar dan meriah dengan menyarungkan busana anggun sari sang pereka, pelamin dihias indah dengan kuntuman bunga segar dan disempurnakan dengan kehadiran tetamu yang dijamu santapan menyelerakan.

Kesemua persiapan bagi hari bersejarah itu perlu dilakukan secara teliti kerana kelalaian kecil mungkin mampu mencacatkan kelangsungan majlis idaman tersebut.

Bayangkan, beberapa jam sebelum acara bersanding diadakan, pengantin dikejutkan dengan berita perkhidmatan katering terlupa ditempah. Pasti kalut jadinya.

Jika dahulu, segala persediaan tersebut dilakukan secara gotong-royong bersama ahli keluarga dan bantuan jiran tetangga, namun situasi berbeza pada hari ini ekoran kekangan masa dan lokasi bersesuaian yang terhad, khususnya di kawasan-kawasan bandar.

Disebabkan itu, agak sukar bagi bakal pengantin melakukan sendiri segala persiapan. Malah, ada antara keperluan pada hari bersejarah itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun lebih awal seperti tempahan dewan majlis.

“Perkara paling kritikal untuk ditempah adalah dewan besar untuk majlis persandingan. Saya mengambil masa yang lama untuk mencari lokasi yang sesuai,” ujar bakal pengantin, Nuratieqah Muhammad, 22, yang akan melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun depan.

Dia menambah, segala persiapan perlu dilakukan awal bagi mengelakkan tidak mendapat lokasi atau khidmat katering yang dimahukan.

Maklumat lengkap

Selaras dengan kemajuan teknologi hari ini, kebanyakan bakal pengantin mengambil jalan mudah dengan mencari maklumat di laman web dan sosial memandangkan penggiat industri perkahwinan menggunakan internet sebagai salah satu medium promosi.

“Tidak dinafikan, penggunaan internet memudahkan saya dalam persiapan perkahwinan. Sebagai contoh, dalam laman Facebook terdapat banyak akaun yang diwujudkan oleh jurusolek, syarikat katering, pengusaha butik dan perkara-perkara lain yang berkaitan,” ujar Nuratieqah.

Kesedaran terhadap kepentingan teknologi maklumat masa kini telah memberi idea kepada Azmierul Che Mat, 22, untuk mewujudkan satu laman web yang membantu pasangan pengantin membuat persiapan majlis berkahwinan mereka iaitu iKahwin.my.

Laman web itu mengumpulkan semua kategori penting sesuatu majlis perkahwinan secara percuma kepada pengunjung.

“Jika sebelum ini pasangan pengantin perlu mencari satu per satu maklumat perniagaan berkaitan di laman web atau sosial berbeza tetapi menerusi iKahwin.my, kesemua maklumat tersedia dalam satu portal,” ujar Azmierul ketika ditemui Infiniti baru- baru ini.

Portal iKahwin.my memberikan maklumat terperinci kepada pengguna, terutamanya dari segi harga pakej-pakej yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berkaitan.

“Melalui senarai harga-harga yang terdapat dalam portal ini, pengguna dapat melakukan perbandingan sebelum melakukan tempahan. Ini dapat membantu mereka menguruskan perbelanjaan bagi majlis tersebut dengan lebih baik,” katanya.

Demi terus menarik perhatian pengguna, portal tersebut turut menyediakan satu blog khas dalam pautan laman utama yang berkongsi pelbagai maklumat berguna kepada bakal pengantin seperti petua dan nasihat rumah tangga daripada pakar-pakar motivasi.

“Terdapat juga pautan yang memberikan panduan perbelanjaan perkahwinan. Ia turut disertakan kalkulator elektronik bagi memudahkan bakal pengantin mengatur perbelanjaan mereka,” jelas Pengarang Urusan iKahwin.my, Charmaine Nash.

Tambahnya, kalkulator elektronik itu direka khas dengan senarai semak keperluan yang wajib dalam sesebuah perkahwinan. Bakal pengantin hanya perlu memasukkan amaun yang ditetapkan dan kalkulator itu akan menjumlahkan semua perbelanjaan terlibat.

Kesahihan maklumat

Bagi pengiklan di iKahwin.my, mereka diberikan platform perniagaan yang lebih meluas. Ia berikutan daripada permintaan pengguna muda yang mencari maklumat menerusi laman web.

“Kebanyakan bakal pengantin adalah dalam lingkungan usia 20-an yang aktif dalam penggunaan internet. Disebabkan itu, penggiat industri perkahwinan perlu mengambil peluang ini, khususnya bagi individu atau syarikat-syarikat baharu,” kata Azmierul.

Bagi memastikan pengguna mendapatkan maklumat tepat, pihak pengurusan pemasaran iKahwin.my akan bertemu sendiri para pengiklan.

“Kami akan meminta mereka untuk memberikan maklumat tepat seperti alamat lengkap, nombor telefon dan pautan laman sosial, Facebook atau laman web rasmi,” jelasnya.

Selain itu, harga-harga bagi setiap pakej juga perlu disertakan bagi memudahkan pengguna membuat perancangan perbelanjaan perkahwinan mereka.

“Namun, terdapat pengiklan yang tidak mahu berkongsi harga bagi pakej-pakej tersebut tetapi kami menasihatkan mereka untuk meletakkan anggaran kos sebagai rujukan pengguna,” katanya.

Setiap pengiklan juga perlu menyediakan sekurang-kurangnya lima keping gambar berkualiti. Jika tiada gambar tersebut, pihak penyedia portal akan membantu menyediakan foto-foto menarik kepada mereka.

“Ia menjadi kemestian dalam portal kami memandangkan terdapat pengiklan yang tidak mempunyai foto berkualiti. Ia menyulitkan pengguna untuk mendapat gambaran awal perkhidmatan yang diberikan pengiklan,” jelasnya.

Selain mengambil foto, pihak portal juga membantu pengiklan dalam membuat laman sosial atau web mengikut keperluan pakej.

Sejak diwujudkan pada Januari 2013, iKahwin.my mempunyai lebih 500 pengiklan dan bakal meningkat dua kali ganda pada tahun depan berdasarkan peningkatan trafik pengunjung setiap bulan.

“Lima bulan sebelum ini, kami hanya menerima sekitar 100 sehingga 200 kunjungan sahaja. Sekarang, jumlah trafik meningkat kepada 15,000 sebulan,” jelas Azmierul.

Rancangan

Setakat ini, kebanyakan pengiklan adalah sekitar Lembah Klang tetapi terdapat juga pengusaha dari Kedah dan Johor.

Perkembangan positif tersebut memberi peluang kepada iKahwin.my untuk mencari pengiklan dari seluruh Malaysia.

“Selain itu, kami bercadang untuk menerbitkan majalah dalam talian yang memberi fokus kepada dunia perkahwinan. Intipati majalah itu dapat dijadikan panduan kepada pengguna tanpa perlu membeli naskhah dalam bentuk salinan keras,” katanya dengan penuh optimis.

Dalam masa terdekat, ujarnya, iKahwin.my merancang untuk mengadakan festival perkahwinan di lokasi-lokasi strategik yang bakal disertai oleh pengiklan-pengiklan portal tersebut.

- KOSMO!

Recent Posts