Kad Debit bantu urus kewangan


Dua kad kredit kepunyaan Aida Suraya Daud menjadi teman akrab tatkala berbelanja. Apatah lagi saat membeli-belah, barangan pujaan seperti pakaian berjenama dan aksesori mewah dapat dimiliki dengan mudah.

Keasyikan menggunakan instrumen pengganti tunai itu bagaimanapun tidak berpanjangan. Ekoran kegagalan melunaskan pembayaran semula bil-bil kredit untuk tempoh beberapa bulan, Aida Suraya, 27, terpaksa melayan panggilan 'pengutip hutang' hampir saban hari.

Paling menakutkan apabila pemungut pembayaran bertindak mahu mengeluarkan surat amaran. Detik itu, segenap keterujaan berbelanja lenyap dimamah kesal. Mengenangkan beban hutang bersama amaun bunga yang perlu dilunaskan, Aida Suraya mula tawar hati dengan khidmat kad kredit.

"Pada asalnya saya guna kad kredit untuk memudahkan urusan harian sepanjang belajar di luar negara. Namun lepas kembali ke Malaysia dan bekerja, baru saya rasai keperitan akibat menangguh bayaran kredit.

"Waktu berbelanja, memang niat hendak bayar bil kad kredit selepas gaji masuk. Tetapi akibat suka bertangguh, jumlah hutang bertambah dan bila diberi surat amaran, saya jadi tertekan," imbas Aida Suraya yang pernah membeli sebuah beg tangan bernilai RM5,000 menggunakan kad kredit.

Tidak sedar kewujudan bunga akibat pembayaran lewat, penulis bagi sebuah laman portal itu lantas menamatkan khidmat salah satu kad kreditnya. Dia juga memberitahu akan menghentikan penggunaan kad kredit keduanya kerana enggan hidup dikelilingi hutang.

Kad debit menjadi pengganti kad kredit yang efektif kepada Aida Suraya. Malah sejak menggunakan alternatif fungsional itu lima tahun lalu, Aida Suraya mula menyedari kelebihannya sebagai pencegah amalan berhutang.

Ujarnya, kad debit membolehkan pengguna menetapkan had penggunaan dan hanya boleh dipakai mengikut baki wang dalam akaun simpanan. Dengan cara ini, Aida Suraya dapat mengawal perbelanjaan dan mudah menjejak rekod keluar masuk wang di dalam akaunnya.

Begitupun, tambah Aida Suraya, sama ada kad kredit atau debit, kedua-duanya adalah instrumen yang memudahkan urusan individu jika diguna secara bijak.

"Paling penting, bila kita dapat duit, selesaikan hutang wajib dulu seperti pembiayaan kereta, sewa rumah dan pelbagai bil. Bahagikan wang bulanan kepada tiga iaitu untuk membayar hutang, belanja dan simpanan," saran Aida Suraya.

Rancang perbelanjaan

Sementara itu, pada usia 18 tahun, Megat Amir Danish Amir Noor Rashid telah melatih diri menggunakan kad debit. Sebagai seorang anak muda yang kerap berbelanja membeli pakaian, Megat cuba menegah diri daripada berhutang jika dia tidak mempunyai wang lebih bagi memenuhi kehendak peribadinya.

"Kalau tak ada duit dalam akaun, tak payah beli," begitu prinsip pegangan remaja yang digelar selebriti laman sosial Twitter itu yang kini mempunyai pengikut mencecah 74,000 orang.

Penuntut Diploma Komunikasi Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka itu juga beranggapan, kad debit memudahkan dia merancang perbelanjaan harian dan mengelak perbelanjaan tidak penting.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) mendapati sebanyak 47 peratus belia Malaysia berumur antara 18 hingga 35 tahun di bandar berdepan masalah hutang serius.

Situasi tersebut terjadi apabila nilai pembayaran hutang individu mencecah atau melebihi 30 peratus daripada pendapatan kasar. Kelompok berusia 24 hingga 29 tahun dengan tangga gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 pula mengalami krisis hutang kritikal akibat beban pembiayaan meliputi kenderaan, rumah, insurans dan tanggungjawab keluarga.

Mendekati belia

Jumlah 11 peratus yang berhutang akibat kehilangan kawalan penggunaan kad kredit juga menjadi antara punca utama. Generasi Y didapati cenderung berbelanja di luar kemampuan terutama apabila melibatkan pakaian, gajet dan hiburan.

Demi memulihkan keseriusan masalah tersebut, Bank Simpanan Nasional (BSN) mewujudkan gerakan dipanggil YouAgainstDebt. Mula dijalankan sejak 27 November lalu sejajar dengan pengenalan Kad Debit Visa BSN baharu, gerakan tersebut menggunakan pendekatan unik bagi mendekati masyarakat khususnya belia.

Antaranya ialah pertunjukan jalanan di sekitar Kuala Lumpur yang melibatkan aksi seorang lelaki muda mengheret blok huruf gergasi bertulis DEBT yang diikat pada kakinya. Simbolik nyata terhadap bebanan hutang yang dialami orang muda masa kini itu berjaya menarik minat orang awam.

Ketua Bahagian Perniagaan Kad BSN, Mohd. Sofian Amirudin menjelaskan, gerakan yang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia agar tidak berhutang itu diharapkan dapat menukar kecenderungan masyarakat daripada menggunakan kad kredit kepada kad debit.

"BSN akan meneruskan gerakan ini sehingga Mac depan dan setakat ini kami telah menerima sebanyak 194,000 ikrar yang dilakukan secara dalam talian menerusi laman web rasmi YouAgainstDebt.

"Sokongan daripada artis dan individu berpengaruh dalam media sosial seperti Shaheizy Sam, Scha Alyahya dan Mathlutfi turut membantu peningkatan positif gerakan ini," ujar Sofian ketika ditemui Kosmo!.

Menurut Sofian, maklum balas yang diterima daripada orang awam terhadap Kad Debit Visa BSN sangat positif. Dalam tempoh kurang satu bulan sejak diperkenalkan, hampir 20,000 kad telah dikeluarkan dan BSN menyasarkan 1 juta pengguna dengan penggunaan RM250 juta untuk jangka masa setahun.

Peningkatan melebihi 200 peratus penggunaan kad debit dari segi nilai transaksi seperti laporan Bank Negara sepanjang tahun 2013 membuktikan bahawa instrumen kewangan itu semakin popular. Kad kredit pula tidak mencatatkan sebarang kenaikan.

Jelas Sofian, kad debit digunakan secara meluas di Eropah dan Australia. Kebolehannya membantu individu merancang kewangan bagi mengelakkan peningkatan beban hutang menjadikan ia instrumen terbaik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Tanpa caj tambahan

"Kad Debit Visa BSN ini juga adalah kad debit pertama di Malaysia menggunakan teknologi tanpa sentuh payWave. Pelanggan tidak perlu menurunkan tandatangan atau memasukkan nombor pengenalan peribadi (PIN) ketika berbelanja.

"Namun had setiap transaksi menerusi payWave adalah sebanyak RM150. Bermula Disember lalu, pengguna boleh menggunakan khidmat ini di beberapa lokasi seperti panggung wayang Golden Screen Cinemas, pusat beli-belah Aeon Big dan Sogo," tambah Sofian.

Aplikasi lima dalam satu kad tersebut turut merangkumi kemudahan MEPS, Touch 'n Go, PLUSMiles dan program kesetiaan BCARD. Pelan pembayaran semula MEPS yang dicaj RM1 setiap kali mengeluarkan wang pada mesin juruwang automatik (ATM) juga antara faedah yang diterima pengguna kad itu.

Pengguna berusia bawah 21 tahun yang mempunyai baki RM500 ke atas pada akhir bulan layak menerima tiga MEPS percuma. Mereka yang berusia 21 tahun ke atas pula dengan baki bulanan melebihi RM3,000 akan diberikan lima MEPS percuma dan bonus faedah sebanyak dua peratus daripada kenaikan bulanan.

Tanpa caj tambahan, Kad Debit Visa BSN juga membolehkan pengguna menerima rebat tunai sebanyak 0.5 peratus. Ia tidak ditetapkan kepada had penggunaan dan merupakan yang tertinggi dalam pasaran.

- KOSMO!

 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

SMART WALLET

Untuk mendapatkan SMART WALLET yang menawan ini. WhatsApp "SMART WALLET" ke: 0139790000

lihat tawaran lebih lanjut

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran

Ingin Kurangkan Bil Elektrik?

Jika bil elektrik anda tinggi setiap bulan, apa kata cuba pasang alat penjimat elektrik di rumah anda. Promosi terkini hanya RM60 poslaju percuma. WhatsApp / Telegram "JIMAT ELEKTRIK" ke: 0139790000