Top Ad 728x90

Maybank perkenal pengeluaran wang tanpa kad

Maybank perkenal pengeluaran wang tanpa kad cardless withdrawal



Malayan Banking Berhad (MAYBANK) menjadi bank pertama di negara ini yang melancarkan perkhidmatan pengeluaran wang tanpa menggunakan kad menerusi mesin juruwang automatik (ATM).

Ketua Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti dan Ketua Pegawai Eksekutif MAYBANK Singapura Datuk Lim Hong Tat berkata, perkhidmatan baru itu akan mengubah pendekatan pengeluaran wang dalam kalangan masyarakat kerana ia turut membuka ruang bagi penggunaan saluran perbankan MAYBANK kepada masyarakat tanpa perlu memiliki akaun dengan MAYBANK.

“Perkhidmatan pengeluaran tanpa kad MAYBANK ini bersandarkan kepada dua kekuatan kami iaitu perbankan dalam talian menerusi Maybank2u dan perbankan elektronik di ATM.

 “Perkhidmatan baru ini ialah perkembangan yang sentiasa kami bawa ke pasaran dan ia menawarkan kaedah baru terhadap keselesaan dalam pemindahan wang serta pengeluaran tunai,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan itu disediakan dengan langkah keselamatan untuk melindungi penghantar serta penerima dan dua nombor pengesahan diperlukan untuk memastikan wang dapat dikeluarkan dan nombor pengenalan itu sah untuk tempoh 24 jam. Katanya, pengeluaran dibenarkan ialah dalam gandaan RM100, RM200 atau RM300 dengan jumlah maksimum pengeluaran RM300 sehari untuk kemudahan berkenaan.

Beliau berkata, MAYBANK menganggarkan sejumlah 20,000 transaksi tanpa kad akan dimanfaatkan setiap bulan dalam tahun pertama pengenalannya dan ketika ini lebih daripada 45 juta transaksi dikendalikan di lebih 2,800 ATM MAYBANK setiap bulan.

“Pada masa sama, lebih daripada 100 juta transaksi kami kendalikan setiap bulan di Maybank2u dan bilangan transaksi menerusi kedua-dua saluran ini menyediakan anggaran bagaimana ramainya pengguna yang akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan baru ini. “Kami merancang untuk mengembangkan perkhidmatan ini ke pasaran lain yang memiliki ATM MAYBANK bermula dengan Singapura, tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa negara berkenaan,” katanya.

 Caj minimum RM1 akan diperkenalkan kepada penghantar setiap kali mereka memulakan proses perkhidmatan ini dan bagi tempoh promosi sehingga 28 Februari ini, tiada sebarang caj dikenakan.


Bermula 7 Januari 2014, MAYBANK menawarkan ganjaran tunai RM500 setiap seorang kepada tiga orang pemenang bertuah setiap hari yang berjaya melaksanakan transaksi pengeluaran tanpa kad ini. Di bawah perkhidmatan baru ini, pelanggan MAYBANK (pemberi wang) yang mahu menghantar tunai kepada sesiapa saja boleh memulakan fungsi pengeluaran tanpa kad ini menerusi laman web Maybank2u. Pemberi wang itu perlu menaip nombor telefon mudah alih si penerima yang akan menerima nombor pengenalan transaksi (ID-1) menerusi SMS daripada MAYBANK.

Pada masa sama, pemberi juga akan menerima ID transaksi yang berbeza (ID-2) daripada MAYBANK menerusi pesanan ringkas (SMS). Pemberi kemudiannya akan menghantar nombor pengenalan ID-2 kepada penerima.

Penerima terbabit akan menggunakan kedua-dua nombor yang diperoleh untuk mengeluarkan tunai yang diberikan kepadanya. Transasksi di ATM langsung tidak memerlukan kad, cukup dengan hanya menekan butang di paparan sentuh dan mengikut arahan disediakan.

- BERNAMA

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90