Planetarium Negara pusat ilmu angkasa


Planetarium Negara pusat ilmu angkasa

Kedatangannya di Planetarium Negara, Sabtu lalu bukan yang pertama kali. Kunjungan pertamanya ketika berumur 12 tahun iaitu kira-kira tiga tahun lalu atas dasar ingin mengetahui tentang selok-belok dunia sains, terutamanya mengenai angkasa lepas.

Minatnya itu terus bercambah sehingga ke hari ini dengan mengikuti setiap perincian perkembangan sains angkasa di dalam atau luar negara. Bagi Musaddiq Azli Mubarak, 15, ruang pameran khusus untuk sains angkasa lepas itu memberikan pengajaran secara teori dan praktikal dalam bidang sains.

“Banyak boleh dipelajari di sini sebagai contoh program angkasawan negara yang melahirkan angkasawan negara pertama kita. Selain itu, terdapat juga informasi-informasi berkaitan sains angkasa yang terdapat di Planetarium Negara,” ujar pelajar Sekolah Tahfiz di Sentul, Kuala Lumpur itu ketika ditemui Infiniti di pusat tersebut baru-baru ini.

Ditemani bapanya, Azli Mubarak Tahir dan ahli keluarga lain, dia turut menzahirkan kekaguman dengan teknologi yang terdapat di Planetarium Negara.

Berukuran 11,148 meter persegi, bangunan berkubah biru itu jelas kelihatan kerana terletak di puncak bukit di Taman Tasik di Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Dibuka secara rasmi oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ia memberi impak positif kepada perkembangan sains angkasa dalam kalangan masyarakat tempatan.

Sehingga kini, ia telah menarik lebih lima juta pengunjung dari dalam dan luar negara. Ia menjadi tumpuan pelancong asing sehingga menjadi lokasi utama dalam senarai lawatan mereka di Malaysia. Bagi warga tempatan, ia merupakan salah satu aktiviti riadah yang bermanfaat kepada anak-anak muda.

“Anak-anak sangat suka berada di sini kerana selain ruang pameran yang menarik, Planetarium Negara turut menyediakan aktiviti interaktif kepada pengunjung,” ujar Azli.

Kunjungan kali kedua Azli dan keluarga adalah kerana ajakan oleh anak sulungnya, Musaddiq yang menunjukkan minat dalam bidang sains angkasa.

“Sekurang-kurangnya, mereka dapat belajar sesuatu selepas berada seharian di sini,” tambahnya yang merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat swasta.

Bagi Rozila Rafie, seorang guru di Kolej Matrikulasi Selangor, kewujudan Planetarium Negara telah meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai isu-isu berkaitan angkasa lepas.

“Jika dibandingkan sebelum penubuhan pusat ini, ramai yang kurang jelas mengenai subjek angkasa. Malah, ramai yang kurang memberikan tumpuan kepada angkasa lepas,” ujarnya yang datang bersama sekumpulan rakan kolejnya.

Tambahnya, pusat pendidikan tersebut membuatkan minat pelajar semakin bertambah dan mula menunjukkan kecenderungan kepada bidang sains angkasa.

“Pembelajaran teori di dalam kelas dapat diselarikan dengan pameran yang terdapat di Planetarium Negara,” ujarnya.

Rozila berkata, Kolej Matrikulasi Selangor yang terletak di Banting, aktif dalam menghadiri dan menyertai program-program yang dijalankan oleh Agensi Angkasa Malaysia (Angkasa).

“Malah, penubuhan Pusat Angkasa Negara di Banting turut memberikan impak positif bukan sahaja kepada pelajar, malah ekonomi penduduk setempat juga berkembang dengan baik,” ujar Rozila.

Pusat Angkasa Negara di Banting, Selangor siap dibina pada tahun 2005 yang menempatkan Pusat Kawalan Misi (MOC) satelit RazakSAT-1.

Pada masa akan datang, ia akan menempatkan RazakSAT-2 dan Makmal Ujian Optik bagi menjalankan pengujian optikal ke atas satelit RazakSAT-1 atau sebarang komponen optikal satelit pada masa akan datang.

Sejak ditubuhkan, Planetarium Negara berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti kesedaran kepada masyarakat, malah mengadakan jalinan kerjasama dengan beberapa negara dalam bidang sains dan teknologi angkasa.

Pada tahun 2007, Planetarium Negara dan Jepun menjalankan program-program pendidikan Eksperimen Sains Mikrograviti susulan daripada kejayaan Program Angkasawan Negara.

Antara aktiviti-aktiviti tersebut ialah Try Zero G, Space Seed, Parabolic Flight dan Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket Asia Pasifik.

Selain itu, pusat tersebut menjadi rujukan program-program pendidikan angkasa kepada negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Bercakap mengenai senarai panjang kejayaan 20 tahun Planetarium Negara, tidak lengkap jika tidak melibatkan sejarah yang dicatatkan oleh Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Menerusi program Angkasawan Negara yang diadakan pada tahun 2007, beliau menjadi rakyat Malaysia pertama berada di ruang angkasa lepas.

Mengimbas detik bersejarah itu, program bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi tersebut telah mendapat penyertaan sebanyak 11,267 orang.

Selepas melalui pelbagai cabaran fizikal dan mental, Dr. Sheikh Musza- phar akhirnya dipilih untuk menyertai misi angkasa itu. Beliau berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan roket Soyuz TMA-11 buatan Rusia dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan tepat pukul 7.21 malam (9.21 malam waktu Malaysia).

Pada masa sama, beliau menjalankan kajian mengenai perkembangan penyakit barah tropika dan mikrob tempatan.

“Tidak dinafikan ia telah mengubah hidup saya kerana berada di ruang angkasa menjadi impian kepada semua orang,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Dia menambah, kejayaan program tersebut telah membuka minda masyarakat, khususnya kanak-kanak untuk mendalami bidang sains.

“Kejayaan program angkasawan negara telah memberi inspirasi kepada generasi muda. Jika mereka mempunyai cita-cita untuk menjadi seperti saya, kejarlah impian tersebut sehingga tercapai. Saya juga seperti mereka, maka tiada halangan untuk mencapai impian tersebut,” katanya.

Sheikh Muszaphar berkata, negara perlu memberi perhatian serius dalam bidang sains dan teknologi kerana ia memberi manfaat dalam jangka masa yang panjang.

“Seluruh dunia berlumba-lumba untuk menguasai sains dan teknologi kerana melalui bidang tersebut, sesebuah negara akan lebih maju,” jelasnya.

Melalui Planetarium Negara juga telah mewujudkan program Mikrosatelit negara TiungSAT pada September 2000. Ia dilancarkan ke ruang angkasa lepas dari Baikanor, Kazakhstan.

Satelit itu membawa tiga misi iaitu pencerapan bumi, uji kaji saintifik Cosmic-Ray Energy Disposition Experiment (CEDEX) dan juga aplikasi komunikasi. Satelit ketiga negara kini sedang dalam rangka pembinaan yang dinamakan RazakSAT-2.

Dalam usia dua dekad itu, Planetarium Negara terus kukuh sebagai pusat pengumpulan maklumat mengenai angkasa lepas.

Penubuhan Pusat Angkasa Negara di Banting dan Pusat Observatori Langkawi (ONL) di Langkawi, Kedah bakal merancakkan lagi perkembangan bidang sains angkasa dalam negara.

- KOSMO!
 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

SMART WALLET

Untuk mendapatkan SMART WALLET yang menawan ini. WhatsApp "SMART WALLET" ke: 0139790000

lihat tawaran lebih lanjut

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran

Ingin Kurangkan Bil Elektrik?

Jika bil elektrik anda tinggi setiap bulan, apa kata cuba pasang alat penjimat elektrik di rumah anda. Promosi terkini hanya RM60 poslaju percuma. WhatsApp / Telegram "JIMAT ELEKTRIK" ke: 0139790000