Top Ad 728x90

,

Karpal Singh Maut Dalam Kemalangan

Karpal Singh Maut Dalam Kemalangan


 Bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, 74, maut dalam kemalangan ngeri di kilometer 301.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gua Tempurung kira-kira pukul 12.40 pagi Khamis.

Turut terkorban ialah pembantu peribadi Karpal iaitu Michael Cornelius, 40-an.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata,  pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak.

Katanya, seorang anak pemimpin pembangkang itu, Ramkarpal Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV, C.Selvam, 27, tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan pada pukul 12.40 pagi itu.

"Siasatan awal polis mendapati kenderaan MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih yang membawa lima penumpang termasuk Karpal Singh dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan apabila tiba di kawasan kejadian dan melanggar bahagian kanan lori yang sedang bergerak di sebelah kiri laluan itu," katanya.
Beliau berkata lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek itu dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara itu memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.

Ahli Parlimen Gelugor itu dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes mahkamah.

Anaknya yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo ketika dihubungi menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata Karpal maut ditempat kejadian.

Ng berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.

Operasi menyelamat kesemua mangsa dalam kemalangan itu dibantu anggota Bomba dan Penyelamat di tempat kejadian, katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Twitternya dari Ankara, Turki mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Karpal atas kematian Pengerusi DAP itu.

Beberapa ahli politik termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Twitternya turut menyatakan takziah atas kematian Karpal.

"Kita kehilangan seorang rakan, pejuang yang tidak tahu erti penat serta seorang lagenda keadilan... takziah kepada keluarga," tulis Anwar di Twitternya.

- mSTAR
 








 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90