Top Ad 728x90

Mengasingkan peranan dua mahkamah

Mengasingkan peranan dua mahkamah



Oleh Shamrahayu A Aziz
Felo Utama, Pusat Kajian Syriah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Kita mengamalkan sistem dualisme undang-undang. Ia adalah sistem yang mengandungi dua sistem yang sama penting - dua undang-undang dan dua mahkamah. Sistem ini tidak berlaku dengan sendiri, tetapi adalah rekaan dan perbuatan British. Dalam tulisan ini, saya cuba membawa pembaca kepada sejarah perundangan negara mengenai sistem dualisme ini.

Negeri di Tanah Melayu mempunyai sistem mahkamahnya yang tersendiri sebelum campur tangan British. Tanah Melayu hanya mempunyai satu sistem mahkamah iaitu Mahkamah Kadi atau Mahkamah Syariah. Undang-undang yang terpakai pada ketika itu adalah undang-undang Islam. Raja-Raja Melayu, dibantu oleh seorang Mufti adalah hakim, di mana Raja sendiri adalah mahkamah rayuan tertinggi.

Pelbagai undang-undang diperkenalkan oleh British dalam pentadbiran mereka untuk menyusun semula sistem mahkamah tempatan. British memperkenalkan Enakmen Mahkamah 1919, yang mewujudkan susunan mahkamah; Mahkamah Agung - yang terdiri daripada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Hakim (Courts of Judges), Mahkamah Majistret Kelas Pertama, Mahkamah Majistret Kelas Kedua, Mahkamah Kadi/ Mahkamah Penolong Kadi dan akhir sekali, Mahkamah Penghulu.

Enakmen Mahkamah 1919 ini mewujudkan satu sistem mahkamah, di mana Mahkamah Kadi ini telah diletakkan sebagai mahkamah kedua terakhir dalam susunannya.

Pada tahun 1948, British memperkenalkan Ordinan Mahkamah 1948, yang mewujudkan susunan mahkamah yang baharu. Susunan mahkamah yang baharu itu tidak memasukkan Mahkamah Kadi. Ordinan Mahkamah 1948 juga telah memansuhkan semua peruntukan dalam Enakmen Mahkamah itu tahun 1919, kecuali peruntukan mengenai Mahkamah Kadi. Ini bermakna, Ordinan 1948 itu telah memisahkan Mahkamah Kadi daripada senarai mahkamah utama.

Tindakan British ini mewujudkan kerosakan dalam sistem mahkamah tempatan dengan memperkenalkan sistem dua mahkamah yang selari, iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Kadi. Perkara ini tidak dilakukan secara nyata, tetapi British mengambil pendekatan senyap. Walaupun semua peruntukan dalam Enakmen 1919 telah dimansuhkan, peruntukan mengenai Mahkamah Kadi dikekalkan.

Kesan daripada Ordinan 1948 ini, perkara yang tidak membabitkan Islam diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil, yang mana undang-undang England dan undang-undang berkanun yang diimport dari India digunakan. Perkara yang Islam dibiarkan dengan Mahkamah Kadi dan undang-undang Islam telah digunakan.

Apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Perlembagaan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid, rejim undang-undang peribumi telah diteruskan. Penekanan khusus tertumpu kepada kedudukan Islam dan orang Melayu. Wakil rakyat Melayu mencuba yang terbaik untuk memelihara nilai asli dan tempatan dalam Perlembagaan kemerdekaan itu. Akibatnya, kedudukan Islam dikekalkan dan sistem undang-undang dan sistem mahkamahnya juga dikekalkan seperti masa pentadbiran British.

Dari satu sudut, pemeliharaan nilai peribumi ini melambangkan pengekalan nilai sedia ada dalam bumi Tanah Melayu dan ia tidak boleh ditarik keluar daripada sistem tanpa memberi kesan yang besar. Justeru, kita mengamalkan dua sistem mahkamah yang selari. Perkara ini dijelaskan lagi dengan pindaan kepada beberapa peruntukan Perlembagaan dan undang-undang lain, seperti Perkara 121 dan Perkara 5 Perlembagaan serta Seksyen 100 Kanun Tanah Negara.

Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa umum. Ia mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk mendengar semua jenis kes, kecuali perkara mengenai undang-undang Islam. Mahkamah Sivil juga perlu menghormati keputusan Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah adalah mahkamah negeri, yang dicipta oleh undang-undang negeri (kecuali dalam hal Wilayah-Wilayah Persekutuan), yang mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam dan membuat keputusan ke atas perkara peribadi dan juga jenayah Islam. Undang-undang yang terpakai di Mahkamah Syariah adalah undang-undang Islam.

Sekiranya kita mahu mengekalkan dualisme dalam sistem perundangan kita, maka pentafsiran Perlembagaan perlulah dibuat dengan mengambil kira pengasingan sistem undang-undang dan mahkamah ini.

Andainya tidak, ia akan mengecewakan salah satu antara keduanya. Sekiranya ini berlaku, lama kelamaan ia akan mendatangkan kesan buruk bukan sahaja ke atas sistem itu, tetapi juga, lebih serius lagi akan menggagalkan pengisian Perlembagaan Persekutuan sebagai punca kepada sistem itu. Sebagai pilihan, kita boleh gabungkan kedua-dua sistem. Mungkin penggabungan ini lebih baik.

Sumber : Berita Harian

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90