Top Ad 728x90

SSPN-i Plus patuh syariah dilancar

SSPN-i Plus patuh syariah dilancar



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) iaitu pelan simpanan pendidikan patuh syariah dengan pakej perlindungan takaful yang murah dan komprehensif.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, produk baharu yang diperkenalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu menawarkan pelan simpanan pendidikan dengan pelbagai pilihan pakej perlindungan takaful pada kadar serendah RM50 sebulan.

SSPN-i Plus yang diperkenalkan ini akan memberikan pelbagai keistimewaan kepada penyimpannya dan tidak membebankan kerana penyimpan bukan sahaja melabur untuk tujuan pendidikan tetapi juga akan mendapat perlindungan takaful, dividen yang amat kompetitif serta mendapat pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000 setahun dan patuh syariah.

Skim ini merupakan satu tabungan untuk dividen bagi masa depan dengan pelaburan yang amat murah, katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran SSPN-i Plus di Menara Matrade.

Yang turut hadir,Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching; Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Agos Cholan.

SSPN-i Plus merupakan produk yang dihasilkan menerusi kerjasama strategik antara PTPTN dengan Hong Leong MSIG Takaful.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sejak SSPN-i diperkenalkan, prestasi tabungan amat menggalakkan apabila sehingga 30 April lalu, jumlah pembukaan akaun SSPN-i telah mencecah 2.2 juta akaun dengan jumlah deposit sebanyak RM1.7 bilion.

Malah, kata beliau, sehingga 30 April lalu, sejumlah 2.29 juta peminjam melibatkan peruntukan RM52 bilion telah menikmati kemudahan pembiayaan PTPTN dan angka itu sememangnya akan me­ningkat setiap tahun selaras dengan pembangunan modal insan melalui pendidikan.

Justeru, beliau berkata, hubungan strategi antara PTPTN dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi menyediakan pelbagai akses untuk tujuan tabungan pendidikan sentiasa digalakkan dan direalisasikan.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, pihaknya menyasarkan jumlah deposit dalam skim itu adalah sebanyak RM2 bilion menjelang tahun 2020.

“Kita mahu PTPTN tidak dilihat hanya memberi pinjaman, sebaliknya berperanan menyediakan ruang terbaik bagi ibu bapa merancang keperluan masa depan pendidikan anak-anak,” jelasnya.

Sumber : Utusan

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90