Siaran MYTV kini di Sabah


Projek TV digital atau ‘Digital Terrestrial Television’ (DTT) yang bakal melonjakkan pengalaman menonton TV seluruh rakyat Malaysia kini memperluaskan liputan fasa siaran ujiannya ke Sabah dengan kejayaan pemasangan transmiter ujian oleh MYTV Broadcasting (MYTV) di Bukit Karatong dekat Kota Kinabalu.

Keadaan cuaca yang tidak menentu sejak beberapa minggu kebelakangan tidak menjadi halangan buat pasukan teknikal MYTV yang dibantu Telekom Malaysia Berhad (TM) memasang transmiter siaran ujiannya di stesen pemancar yang terletak di kawasan Pantai Barat Sabah ini.

Siaran ujian TV digital MYTV berjaya dipancarkan meliputi kawasan lingkungan 50 kilometer radius dari Bukit Karatong bermula 6 Ogos. Siaran percubaan ini boleh diakses di sekitar kawasan Bandaraya Kota Kinabalu dan daerah-daerah sekitarnya termasuk Penampang, Putatan, Papar, Tuaran sehingga ke Kota Belud.

Serentak dengan itu, MYTV juga memulakan proses pemasangan set-set dekoder percubaan untuk para penduduk yang terpilih di daerah-daerah berhampiran stesen-stesen pemancar terbabit sebagai sebahagian daripada fasa siaran ujian MYTV. Sebanyak 1,500 set dekoder percubaan akan diagihkan untuk Fasa Ujian MYTV di negeri Sabah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak hari ini menyampaikan set-set dekoder siaran percubaan DTT untuk responden terpilih dari sekitar Kampung Likas di sini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Holdings, Nik Abdul Aziz Nik Yaacob serta Pegawai-pegawai Daerah dan Ketua-Ketua Masyarakat dari daerah sekitar.

Salleh juga meluangkan masa meninjau proses pemasangan di rumah salah seorang responden dari Kampung Likas iaitu Haji Edimin Haji Munip, 62.

Kempen siaran percubaan MYTV ini membolehkan para responden yang terdiri daripada isi rumah terpilih dalam daerah terbabit menikmati semua saluran TV terrestrial sedia ada iaitu TV1, TV2, TV3, NTV7, TV8, TV9 dan TV AlHijrah dalam kualiti tranmisi digital. Apabila siaran DTT sepenuhnya dilancarkan awal tahun hadapan, penonton akan berpeluang menikmati sehingga 30 saluran televisyen secara percuma dan pilihan berbayar ‘lite-pay’.

MYTV selaku syarikat yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan infrastruktur dan kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan DTT di Malaysia, sebelum ini telah memasang transmiter ujiannya di stesen-stesen pemancar Bukit Pelindung di Pahang, Bukit Besar di Terengganu dan Bukit Bakar di Kelantan. Siaran ujian seterusnya akan memasuki negeri Sarawak pula selepas ini ke Utara dan Selatan Semenanjung dan berakhir di Lembah Kelang menjelang hujung tahun ini.

Menerusi kempen siaran ujian DTT, sebanyak 20,000 unit dekoder telah diperuntukkan secara percuma kepada isi rumah terpilih di seluruh negara. Mereka perlu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan, antaranya tidak melanggan perkhidmatan TV berbayar serta kediaman yang terletak dalam lingkungan liputan siaran percubaan.

Peserta-peserta siaran percubaan ini merupakan antara dua juta isi rumah di seluruh Malaysia yang akan menerima set dekoder sebenar MYTV secara percuma apabila perkhidmatan siaran TV digital dilaksanakan sepenuhnya awal tahun hadapan. Set-set ujian tersebut akan diganti dengan dekoder sebenar setelah tempoh siaran percubaan berakhir.

Projek yang dinaungi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ini adalah sebahagian daripada agenda nasional untuk mentransformasikan industri penyiaran negara melalui pendigitalan dengan tujuan mempertingkatkan taraf hidup rakyat ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020. Ianya merupakan antara inisiatif terpenting dalam Rancangan Malaysia ke 11 (RMK-11) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi MYTV terutamanya untuk pelancaran Siaran Ujiannya di Sabah, Nik Abdul Aziz Nik Yaacob yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekuif MYTV berkata: “Sabah, secara keseluruhannya adalah sebuah negeri yang mencabar dari segi geografi. Oleh kerana itu, transmisi analog agak sukar diterima dengan jelas menyebabkan kesukaran penduduk-penduduk di sini mendapatkan siaran-siaran TV percuma walaupun melalui antena “tulang ikan” di atas bumbung. Sehubungan dengan ini, tujuan sebenar fasa ujian MYTV ini adalah untuk mengenal pasti dan mengesahkan kekuatan dan modulariti signal digital MYTV kerana perancangan liputan digital yang dirancang perlu diuji berdasarkan liputan penerimaan sebenar.”

MYTV telah dilantik oleh Kerajaan Malaysia untuk membangun dan menguruskan infrastruktur dan kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan DTT di Malaysia bagi tujuan merealisasikan penghijrahan sistem penyiaran daripada analog kepada digital di seluruh negara menjelang 2017. Antara infrasturktur dan kemudahan DTT itu termasuklah hab multimedia digital dan transmiter TV digital berangkaian tinggi, pertengahan dan rendah yang berupaya menampung dan menyediakan sehingga 80 saluran TV digital yang berkombinasikan definisi piawai standard (SD) dan definisi tinggi (HD).

MYTV telah menjalinkan kerjasama dengan TM untuk penyediaan infrastruktur dan kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan DTT di Malaysia. Menerusi kerjasama itu, TM bertanggungjawab membangunkan rangkaian pengedaran terestrial (terrestrial distribution) untuk menyambungkan Hab Penyiaran Multimedia Digital (Digital Multimedia Broadcasting Hub – DMBH) MYTV ke semua 60 pemancar utama dan 40 pengisi jurang (gap filler), 10 hab serantau dan 2 stesen bumi melalui seluruh negara dengan rangkaian STM-1. Selain itu, TM juga akan menyediakan rangkaian fiber yang membolehkan MYTV memancarkan gambar yang berkualiti tinggi dan menambah baik kualiti keseluruhan pengalaman tontonan secara digital.

Setelah fasa ujian ini selesai menjelang akhir tahun ini, perkhidmatan DTT secara rasmi akan bermula secara serentak di sehingga 85 peratus kawasan berpopulasi pada awal tahun hadapan disusuli fasa kedua yang meliputi peningkatan liputan sehingga 98 peratus menjelang pertengahan 2016.

- MyMetro

3 comments.. read them below or add one

Belang Tarung Belang Tarung 18 August, 2015
dah boleh buang dah astro yg bil melambung tu
max goku max goku 29 January, 2016
Maxgoku
Macam mana nak dapatkannya
pipo pipo 14 July, 2016
boikotkan astro jgn langgan lagi

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

SMART WALLET

Untuk mendapatkan SMART WALLET yang menawan ini. WhatsApp "SMART WALLET" ke: 0139790000

lihat tawaran lebih lanjut

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran

Ingin Kurangkan Bil Elektrik?

Jika bil elektrik anda tinggi setiap bulan, apa kata cuba pasang alat penjimat elektrik di rumah anda. Promosi terkini hanya RM60 poslaju percuma. WhatsApp / Telegram "JIMAT ELEKTRIK" ke: 0139790000