Rabu, September 30, 2015

Enam Kertas UPSR Mulai 2016


Kementerian Pendidikan akan meneruskan keputusan untuk pecahkan kertas Bahasa Inggeris Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada pemahaman dan penulisan mulai tahun depan disebalik gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar menangguhkan pelaksanaannya.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, jabatan telah memaklumkan orang ramai sejak 2010 bahawa perubahan akan dilakukan terhadap format kertas peperiksaan Bahasa Inggeris UPSR pada 2016.

Dr. Khair mengulas kenyataan Presiden NUTP, Hashim Adnan bahawa keputusan untuk kertas Bahasa Inggeris UPSR bagi pemahaman dan penulisan dipecahkan kepada dua gred bermula tahun depan patut ditangguhkan kerana tempoh sebelum pelaksanaannya hanya setahun dan terlalu singkat bagi pelajar serta guru untuk membuat penyesuaian terhadap sistem baharu itu. Beliau dilaporkan berkata, tempoh yang sesuai adalah dua tahun bagi pelaksanaan format baharu itu.



Selasa, September 29, 2015

MEPS tawar pemindahan dana antara bank IBFT percuma mulai 1 Oktober 2015


Malaysian Electronic Payment System Sdn. Bhd. (MEPS) dan bank-bank anggotanya akan mengecualikan fi bagi Pemindahan Segera masa nyata, sebelum ini dikenali sebagai perkhidmatan Pemindahan Dana Antara Bank (IBFT), mulai 1 Oktober hingga 31 Disember 2015.
MEPS berkata, bayaran sifar itu bagi transaksi di internet dan saluran perbankan mudah alih bank-bank yang mengambil bahagian. Bagaimanapun, fi Pemindahan Segera di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kekal sebanyak RM0.50 sen.
Pada Jun 2015, penyedia rangkaian antara bank itu melaksanakan pengurangan antara 50 peratus dan 88 peratus daripada julat fi IBFT sebelum ini antara RM1 dan RM4 yang membawa kepada penetapan siling bagi fi tersebut sebanyak RM0.50 sen di ATM, internet dan saluran perbankan mudahalih.
Menjelang tahun 2020, BNM menyasarkan untuk meningkatkan bilangan transaksi e-bayaran per kapita daripada 72 kepada 200 dan mengurangkan cek daripada 177 juta kepada 100 juta setahun.
Sumber

Isnin, September 28, 2015

Jemaah Haji Malaysia Terkorban Dalam Rempuhan Di Mina



Seorang jemaah haji Malaysia disahkan terkorban dalam insiden rempuhan di Mina pada 10 Zulhijjah (24 September 2015) lepas setelah dipercayai tersasar ke kawasan kejadian.
Jemaah haji berkenaan ialah Zulkifly Samad, 50, yang beralamat di Taman Ukay Bistari, Ampang, Selangor. Allahyarham berasal dari Johor.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Tabung Haji (TH) dalam makluman awalnya mengesahkan tiada jemaah haji Malaysia yang telibat dalam rempuhan itu berdasarkan pengesahan daripada waris dan maklumat awal penempatan jemaah haji.
Pihak Tabung Haji telah membuat semakan dan pengumuman melalui siar raya di khemah jemaah pada 12.30 tengah hari (waktu Arab Saudi) sehingga 3 petang pada hari kejadian. Tiada sebarang aduan daripada waris dan rakan sekhemah berkaitan sebarang kehilangan jemaah (Malaysia) pada hari kejadian,
Asyraf Wajdi berkata pada kira-kira 11 malam (waktu Arab Saudi) hari kejadian itu, isteri Zulkifly, Suriahanim Abd Hamid, telah membuat laporan kepada TH bahawa suaminya tidak pulang ke khemahnya.
Dalam laporan itu, Suriahanim mengakui bahawa suaminya tidak bersama-sama dengan jemaah Malaysia TH dari Muzdalifah kerana mahu berjalan kaki ke Mina sebagai mengikut Sunnah Rasullulah.
Menurut Suriahanim panggilan telefon terakhir yang dibuatnya kepada Zulkifly ialah pada 7.15 pagi, 10 Zulhijjah dan suaminya memaklumkan bahawa beliau selamat tiba di Mina dengan jemaah negara-negara lain dari Muzdalifah.
Asyraf Wajdi berkata selepas menerima aduan Suriahanim, para petugas TH memulakan usaha mencari Zulkifly di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital berdekatan di Mina. Pada 1.30 tengah hari tadi, pasukan perubatan TH melakukan tinjauan di rumah mayat Muaissem di mana mereka telah menemukan satu jenazah sempurna rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu.
Pasukan perubatan TH telah mengesahkan identiti jenazah itu berdasarkan identifikasi yang terdapat pada tubuhnya, kata Asyraf Wajdi. Pihak Tabung Haji mengesahkan bahawa jenazah itu ialah Zulkifly Samad.
Seramai 717 jemaah haji terkorban setakat ini dalam kejadian rempuhan itu yang berlaku di kawasan perkhemahan jemaah negara-negara Arab, yang terletak kira-kira empat kilometer daripada perkhemahan jemaah Malaysia. 

Ahad, September 27, 2015

Teh Herba Melaka sembuhkan penyakit


Beratus-ratus orang tertarik untuk mengunjungi rumah seorang tukang kebun di Kampung Pengkalan Batu di sini untuk meminum teh herba yang dibuatnya, dikatakan dapat menyembuhkan 15 jenis penyakit.
Banyak kereta diletakkan di sepanjang selekoh jalan yang menghala ke Jalan Solok Kedai, sehinggakan tukang kebun, Anwar Ibrahim mengubah perkarangan rumahnya menjadi sebuah gerai teh.
Lelaki berusia 59 tahun itu berkata, dia menanam pokok jenis 'Allamanda genus' untuk memperindahkan kawasan sekolah di tempat dia bekerja. Tumbuhan itu disediakan oleh kerajaan.
Penyelia saya memberitahu bahawa tumbuhan ini adalah herba dan saya mengujinya dengan menyapukan daun tumbuhan ini pada bahagian yang cedera akibat terjatuh. Yang mengejutkan saya ialah kecederaan yang dialami itu sembuh dalam masa beberapa hari, kata Anwar Ibrahim.
Saya kemudiannya memasak dan minum ekstrak tumbuhan itu selama sebulan untuk melihat sekiranya ia dapat membantu mengawal tekanan darah saya. Saya terkejut apabila mendapati bacaan tekanan darah saya menurun dan doktor mengesahkan saya kembali sihat, katanya lagi.
Anwar berkata, dia kemudiannya meminta jiran-jirannya yang mempunyai pelbagai penyakit supaya meminum enam gelas teh itu setiap hari selama sebulan.
"Ajaibnya, mereka sembuh," dakwanya.
Kira-kira 200 orang yang datang ke rumahnya setiap hari untuk meminum enam gelas teh secara percuma. Teh berkenaan digelarkan mereka sebagai 'teh kuasa'.
"Keluarga saya sekarang membantu saya masak dan menyediakannya," katanya sambil menambah sebahagian yang meminum bahan ramuannya akan memberikan tip antara RM1 dan RM5.
Anwar berkata, dia tidak mengetahui nama saintifik tumbuhan itu, sambil menambah bahawa pegawai-pegawai dari sebuah universiti di Pulau Pinang dan Kementerian Kesihatan ada menghubunginya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teh berkenaan.
Pakar Hortikultur, Gary Gan berkata, Allamanda genus merupakan tumbuhan tropika yang mempunyai pelbagai khasiat selain mengurangkan tahap kolestrol.
"Bagaimanapun, menyembuhkan pesakit strok merupakan sesuatu yang baharu," katanya, sambil menambah bahawa perkara tersebut memerlukan penyelidikan lanjut.
Allamanda merupakan genus tumbuhan berbunga dari Amerika, yang lebih dikenali kerana saiz dan warnanya, biasanya kuning.
Ia digunakan sebagai perubatan tradisional, dengan beberapa spesis yang dijadikan untuk merawat tumor hati, penyakit kuning dan malaria. Analisis makmal turut menunjukkan spesis tertentu boleh bertindak balas terhadap sel kanser.


Jumaat, September 25, 2015

Uwais derita jantung berlubang



Kegembiraan sepasang suami isteri menimang cahaya mata selepas lebih sembilan tahun menunggu berakhir duka selepas bayi lelaki mereka disahkan menghidap jantung berlubang serta paru-paru berair.

Itulah nasib ditanggung Radziah Razali, 34, yang tinggal di Nibong Tebal, Pulau Pinang bersama suaminya, Wan Mohd Fauzi Wan Nasir, 34, sejak setahun lalu.

Radziah tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga Uwais Wafiuddin, 19 bulan, di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

Uwais disahkan menghidap jantung berlubang selepas doktor memeriksa keadaannya menyebabkan kami hampir berputus asa mendengar perkhabaran itu.

Menurutnya, doktor memberi nasihat kepada pasangan itu untuk melakukan pembedahan bagi membaiki jantung Uwais, namun kos yang perlu ditanggung mereka sekeluarga sangat tinggi.

Kami mengeluarkan hampir RM50,000 untuk membuat pembedahan jantung, namun doktor memaklumkan Uwais turut menghidap paru-paru berair.

Doktor menasihati kami melakukan pembedahan kedua, sekiranya gagal, nyawa Uwais menjadi taruhan,” katanya. Dia berkata, kos pembedahan kedua ialah sebanyak RM50,000 namun mereka tidak mempunyai wang mencukupi.

Menurutnya, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 017-4318728.

Sumber

Selasa, September 22, 2015

Johor nafi mahu keluar Malaysia




Kerajaan Johor menafikan dakwaan mahu keluar dari Malaysia susulan paparan skrin surat rasmi dari Pejabat Daerah Segamat yang menggesa bendera Jalur Gemilang digantikan dengan bender daerah masing-masing tersebar di laman media sosial.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim berkata, Johor bersetuju untuk kekal bersama dengan kerajaan Persekutuan sejak dahulu lagi. Adalah mustahil untuk kerajaan negeri keluar dari Malaysia dan membina negara sendiri kerana untuk melakukannya perlu melalui pelbagai prosedur.
Menurut Ismail, isu tersebut disalah tafsir oleh Pegawai Daerah Segamat, Ahmad Ma'in. Saya berharap selepas ini, jika terdapat sebarang isu atau soal Johor mahu keluar dari Malaysia, sila rujuk kepada peringkat kerajaan negeri sebelum membuat sebarang andaian, katanya.
Paparan skrin surat tersebut menjadi viral di laman media sosial. Surat pekeliling itu menggunakan kepala surat Pejabat Daerah Segamat yang bertajuk "Pemasangan Bendera Daerah Menggantikan Jalur Gemilang".
Surat tersebut ditandatangani Ahmad Ma'in bertarikh 17 September yang mendakwa Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengarahkan bendera Jalur Gemilang di Johor diturunkan serta merta dan digantikan dengan bendera daerah masing-masing kerana sambutan Hari Kebangsaan sudah berakhir.

Celcom perkenal tiga produk baru 2015


Axiata Bhd akan memperkenal tiga produk menjelang akhir tahun, dan agresif memasarkan Xpax Magic SIM bagi mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran, terutama dalam segmen belia.

Produk baharu mungkin dalam bentuk segmen pasca bayar, prabayar dan kandungan. Ia bergantung sepenuhnya kepada minat pelanggan. Namun, buat masa ini kami menyaksikan penggunaan besar segmen Internet,

Celcom melancarkan penawaran Internet percuma Magic SIM Xpax, Burung Hantu. Internet percuma Burung Hantu membolehkan pengguna melayari tanpa henti antara 1 pagi dan 7 pagi, dengan melanggan pelan Internet mingguan atau bulanan, bermula daripada RM10.    

Sejak pelancaran Xpax Magic SIM, ia menyaksikan momentum positif peningkatan pelanggan di mana sehingga suku kedua berakhir 30 Jun, 2015, pelanggan asas Celcom berjumlah 12.34 juta, termasuk 9.49 juta pengguna prabayar.



Isnin, September 21, 2015

Kadar BR1M naik tahun 2016


Kerajaan akan terus menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan kenaikan jumlah peruntukan yang lebih tinggi pada tahun 2016.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat pengumuman mengenai perkara tersebut pada pembentangan Bajet 2016 tidak lama lagi.

Kenaikan jumlah BR1M bukanlah satu tindakan drastik oleh kerajaan. Walaupun pendapatan negara tidak begitu tinggi namun, ia mencukupi untuk pihak kerajaan mengeluarkan dana untuk pembangunan dan perbelanjaan negara, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Mengimarahkan Perpustakaan 1Malaysia di Kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am Hulu Kinta, Tambun.


Jumaat, September 18, 2015

Facebook aktifkan 'Safety Check' untuk gempa Chile



Facebook mengaktifkan perkakasan geolokasi bagi membolehkan penduduk di Chile berhubung dengan rakan dan orang tersayang selepas gempa kuat 8.3 magnitud menggegarkan negara itu dan mengorbankan 10 orang. 

'Safety Check' yang kali pertama dilancarkan Oktober 2014, secara automatik boleh dicapai menerusi laman Facebook. 

Ia memaklumkan ahli jika rakan Facebook mereka berada di zon bencana tertentu dan membolehkan pengguna memberi isyarat kehadiran mereka di kawasan itu dan memberitahu rakan yang lain bahawa mereka selamat. 

Facebook mendapat inspirasi melancarkan produk berkenaan selepas pengguna beralih kepada teknologi dan media sosial selepas gempa bumi dan tsunami di Jepun pada 2011. 


Rangkaian sosial itu memperkenalkan 'Safety Check' selepas gempa bumi April lalu di Nepal yang mengorbankan lebih 8,800 orang di negara Himalaya itu.





Ahad, September 13, 2015

Hari Raya Aidiladha 1436H jatuh pada 24 September 2015


Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 24 September 2015, Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman mengumumkannya pada malam Ahad.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1436 Hijrah ialah pada Selasa, 15 September 2015. Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Khamis, 24 September 2015," katanya ketika mengumumkannya di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sabtu, September 12, 2015

Kren Tumbang di Makkah


Enam jemaah haji Malaysia disahkan cedera dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah.

Menurut pihak berkuasa Arab Saudi setakat ini sekurang-kurangnya 87 meninggal dunia manakala 184 mengalami kecederaan dalam kejadian semasa hujan lebat dan ribut pasir pada Jumaat petang.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 5 petang waktu tempatan (Jumaat 10 malam waktu Malaysia), seorang jemaah haji lelaki Malaysia dilaporkan patah kaki, manakala lima lagi cedera ringan.

Sebuah kren tumbang dalam kejadian ribut pasir dan hujan lebat selepas waktu Asar itu, kren itu dipercayai menghempap kawasan saie, dan sebahagiannya runtuh di kawasan tawaf.

Semua pasukan TH yang terdiri dari pasukan perubatan, kebajikan dan unit peronda sedang berada di kawasan Masjidil Haram bagi menyelia keadaan jemaah Malaysia.

Syed Saleh berkata ketika ini, kawasan kejadian dikawal sepenuhnya oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Beliau berkata pihak TH sebelum ini turut memberikan nasihat kepada jemaah Malaysia supaya berada di hotel penginapan sekiranya hujan atau berlaku ribut pasir.

Hujan di Makkah itu dilaporkan berlaku kali keempat dalam tempoh sebulan, dan hujan pada hari ini dilaporkan paling lebat, berlaku kira-kira setengah jam.

Waris atau keluarga jemaah haji di tanah air boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji di Damansara, Kuala Lumpur di talian 03-62071919 untuk sebarang maklumat lanjut. 


Jumaat, September 11, 2015

Pengambilan Pegawai Imigresen Malaysia KP17 - Sep 2015


Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) mempelawa kepada semua warganegara Malaysia yang berminat untuk memohon 437 jawatan kosong di Jabatan Imigresen Malaysia sebagai :
- Pegawai Imigresen Malaysia KP17  (437 Kekosongan)
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai syarat permohonan yang telah ditetapkan untuk jawatan kosong Pegawai Imigresen Malaysia: klik di sini.

Untuk permohonan online: klik di sini.

Tarikh tutup : 20 September 2015 (Ahad) Jam 11.59 malam
Penempatan : Seluruh Malaysia



Kisah Aylan mangsa krisis Syria


Berumur dua tahun, Aylan Kurdi dilahirkan di sebuah negara yang darah menjadi makanan ekoran kerakusan manusia akibat peperangan. Satu demi satu insan tidak berdosa gugur di medan perang dan tanah yang gersang basah dibanjiri darah hingga bertakung ibarat lopak air.

Lantaran itulah mereka menjadi pelarian, cuba mencari sebuah kehidupan yang lebih baik. Ibu bapa Aylan, Abdullah dan Rehen hanya mahukan anaknya itu hidup dalam keadaan harmoni bersama abangnya, Galip, 4, di Kobani, Syria.

Namun, saat tragis merobek kehidupan Abdullah dan keluarganya selepas Reheh, Galip dan Aylan maut akibat lemas di sebuah pantai di Turki. Lebih menyayat hati apabila mayat Aylan ditemui dalam keadaan tertiarap di tepi pantai. Foto Aylan yang mati dalam keadaan sebegitu ternyata mengejutkan dunia.

“Mereka sudah tiada. Saya sangat sedih kerana hidup Galip dan Aylan begitu singkat.

“Saya berdoa semoga mereka semua berbahagia di sana. Saya begitu mengasihi dan menyayangi seluruh ahli keluarga. Kehidupan mereka sudah menjadi lebih baik,” kata Abdullah yang terkesan dengan kehilangan seluruh anggota keluarganya.

Ternyata, detik hitam itu menghantui hidup Abdullah saat melihat satu demi satu ahli keluarganya hilang semata-mata mahu menyelamatkan diri daripada krisis peperangan di negara sendiri.

Kini, Abdullah hanya mampu meneruskan kehidupan sebatang kara di tengah-tengah Turki.

“Saya tidak mahu apa-apa lagi di dunia ini kerana kehidupan kosong tetapi saya perlu teruskannya.

“Saya hanya mengimpikan kehidupan berkeluarga sempurna tetapi semua impian itu sudah hilang.

“Saya mahu duduk bersebelahan kubur mereka sehinggalah ajal itu datang kepada saya,” ujar Abdullah sayu.

Bukan Abdullah sahaja yang menghitung dilemanya setelah kehilangan keluarga tersayang, namun semua pelarian Syria yang kini berteduh di kebanyakan negara turut ditimpa kebimbangan setelah kekurangan bahan keperluan untuk berlindung apabila dilanda musim sejuk.

Ribuan khemah yang dipasang di kawasan Lembah Bekka Lebanon dilitupi salji manakala lantai pula sudah menjadi lumpur. Keadaan ini membuatkan semua pelarian bimbang jika ada antara mereka yang maut dalam kesejukan.

“Musim sejuk sudah tiba dan kami bimbang kerana ramai yang mati dalam kesejukan.

“Saya memohon kepada Allah untuk melindungi kami,” kata Ibrahim Sayid, 27. Nampaknya, nasib malang terus membelenggu ribuan pelarian Syria apabila pihak berkuasa enggan mengiktiraf kem mereka malah tidak mahu memberi lokasi penempatan rasmi yang sesuai. Kesemua pelarian dalam keadaan tertekan untuk berlindung dan bertungkus-lumus meminta bantuan namun masih tiada lagi pihak berkuasa yang sudi mendengar suara hati mereka.

“Kami ditindas di negara sendiri dan tempat orang. Kami memerlukan bantuan namun tiada pihak yang sudi membantu malah membiarkan kami bergelimpangan di kawasan perkhemahan.

“Sekurang-kurangnya kasihanlah kepada kanak-kanak kerana mereka benar-benar memerlukan perlindungan yang sewajarnya supaya dapat meneruskan hidup,” ujar Ibrahim.

Biarpun timbunan salji dilihat memberi keceriaan kepada kanak-kanak yang leka bermain bola salji, namun pada usia yang masih mentah masa depan mereka langsung tidak diendahkan.

Ribut yang melanda beberapa negara seperti Lebanon dan Turki baru-baru ini memberi kebimbangan kepada semua pelarian kerana barang keperluan semakin berkurangan. Sejak konflik Syria melanda negara itu pada Mac 2011,lebih dua juta rakyat Syria nekad meninggalkan zon bergolak untuk menyelamatkan diri daripada terus menjadi mangsa kekejaman manusia.

Daripada angka itu, separuhnya adalah kanak-kanak. Rata-rata mencari perlindungan di negara jiran seperti Lebanon, Turki, Jordan dan Iraq.

Namun, ketibaan musim sejuk dan kegagalan mendapatkan fasiliti menambahkan lagi derita mangsa pelarian apabila khemah tempat berlindung tidak membantu menambah suhu panas.

Paling menyedihkan, hanya sehelai plastik dijadikan alas untuk tidur, adakalanya mereka terpaksa berbumbungkan langit kerana ada khemah yang rosak dipukul ribut.

Ibrahim memberitahu, dia tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membeli makanan atau mencari tempat perlindungan lain untuk keluarganya. Bagi memastikan khemah dalam keadaan stabil, lelaki itu meletakkan batu-bata, tayar buruk dan beg bagi mengelakkan rumah kanvas mereka terbang dibawa angin kuat.

Di kem berasingan di kawasan Bekka, kira-kira 200 pelarian berlindung di bangunan usang dan kaki-kaki gunung malah ada juga yang tidur di pondok terbiar.

Mereka ditempatkan di dalam struktur berdinding kayu sekerap dan tiang, berbumbungkan kepingan plastik yang diikat dengan tali dan tayar secara perlahan-lahan boleh menyebabkan mereka mati dalam keadaan beku.

Menurut Ahmad Hasan, 25, dia dan adiknya terpaksa mencari kayu api untuk menghangatkan badan dan memakai baju lebih daripada tiga lapis. Kami akan membakar kayu api dan duduk bersebelahan untuk memanaskan badan.

Cuaca sangat sejuk dan ramai yang tidak mampu menanggung kesejukan sehingga kadangkala tubuh badan menjadi kaku kerana beku. Menurutnya, tiada lagi tempat berlindung kerana taraf mereka sebagai pelarian yang menumpang di tempat orang.

Paling menyedihkan, ada juga yang enggan memberi bantuan terutamanya dalam mendapatkan keperluan asas kerana kawasan berdekatan juga dihuni penduduk yang bukan orang kaya.

Dalam pada itu, Turki, negara jiran yang bermurah hati memberi penempatan khas kepada mangsa pelarian berdepan cabaran apabila banyak negara Eropah mendesak untuk membatalkan taraf mereka sebagai pelarian.

Ini berikutan kerajaan Turki memberi peluang kepada pelarian mendapatkan pekerjaan dan memberi kerakyatan. Situasi ini boleh mengundang risiko ketegangan negara Eropah.

Yayasan Politik, Ekonomi dan Penyelidikan Sosial (SETA) meminta Turki menukar dasar supaya tidak ramai pelarian berhijrah ke negara tersebut.

“Pelan ini akan dilaksanakan secara berperingkat kerana tidak mahu mereka menggugat kestabilan politik mahupun ekonomi.

“Kedatangan mereka dianggap mengancam keamanan dan jika dibiarkan mungkin boleh mencetuskan konflik kemanusiaan lebih teruk,” ujar SETA dalam satu laporan kepada kerajaan Turki.


Khamis, September 10, 2015

Panduan Peperiksaan Online Latihan Separa Perubatan


20 Nota Ringkas

Nota ini akan menjimatkan 15 jam masa anda mencari dan menyaring maklumat yang penting untuk peperiksaan ini. Kami ada pengalaman dan kami tahu bahagian mana yang anda perlu fokus!

Penerangan Format

Percaya kepada kami, faktor utama kegagalan calon adalah kerana calon tak tahu format. Bila tiba peperiksaan terus terkejut dengan soalan. Tak perlu terkejut, kami berikan gambaran sebenar!

200++ Contoh Soalan

Ini bukan soalan ramalan atau soalan sebenar. Ianya lebih kepada contoh soalan untuk berikan anda gambaran bagaimana soalan dibentuk dan disoal. Eh tahun ini tiada contoh soalan oleh pihak SPA kan?

Pecahan Seksyen

Penilaian setiap seksyen sebenarnya ada rahsia yang tersembunyi. Ada pecahan dalam seksyen penilaian dan anda yang tahu bakal mendapat manfaat lebih dalam melakukan persediaan sebelum peperiksaan!

Maklumat Jawatan

Anda kena faham dan tahu mengenai jawatan Pereka ini. Apa tugasan dan apa yang bakal anda lalui selepas berjaya menjawat jawatan ini. Maklumat ini anda perlukan untuk sesi temuduga anda nanti. Jangan ke temuduga jika tak ada maklumat ini!






Rabu, September 09, 2015

PAS Tak Perlu Bergabung Dengan Amanah - Presiden PAS


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS ada kekuatan sendiri dan tidak akan bergabung dengan parti baharu yang sedang dalam proses didaftarkan, Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau berkata pengalaman lalu banyak mengajar PAS supaya lebih berhati-hati untuk bekerjasama dengan parti politik lain.

Mengenai status Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang diminta meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat PAS setelah menyertai Amanah, Abdul Hadi berkata beliau akan dengar dahulu laporan daripada Badan Perhubungan PAS negeri dan PAS Pusat sebelum mengambil sebarang tindakan.

Ketika ditanya kemungkinan anggota PAS akan menyertai perhimpunan yang dicadang diadakan pada 16 September 2015, Presiden PAS itu berkata beliau akan melihat dahulu apa pengisian program berkenaan.

Hari Kebangsaan kita sama-sama sambut, sebab itu baru-baru ini kita tidak menyertai perhimpunan Bersih kerana ia bertembung dengan Hari Kebangsaan,  kita menghormati Hari Kebangsaan.

Pengambilan Pegawai Kadet Graduan Angkatan Tentera Malaysia ATM - Sep 2015

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempelawa warganegara Malaysia yang berkelayakan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) untuk berkhidmat sebagai Pegawai dalam Perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Calon yang berjaya dan terpilih akan dilantik sebagai :

- Pegawai Kadet Graduan 
(Menjalani latihan Pegawai Kadet Graduan di Kolej Tentera Darat (KTD), Kapal DiRaja Sultan Idris I (KDSI I) dan Kolej Tentera Udara (KTU).

Untuk mengetahui lebih lanjut dan memohon secara online, sila klik di sini.


Tarikh tutup permohonan : 24 September 2015
Penempatan : Seluruh Malaysia






Isnin, September 07, 2015

Tawaran Menarik Syarikat Penerbangan Disebalik Kelemahan Ringgit



Syarikat penerbangan dan pelancongan terus mempromosikan pelbagai tawaran menarik termasuk tambang murah dan destinasi baru kepada para pelanggan di sebalik kelemahan dan kejatuhan nilai ringgit di pasaran antarabangsa, demikian lapor StarBiz, sisipan bisnes akhbar The Star.


Malindo Air misalnya memperkenalkan laluan baru ke Amritsar, India dengan harga pergi-balik sekitar RM1,200 sahaja manakala AirAsia turut menawarkan laluan baru iaitu ke Goa, dengan tambang sehala serendah RM12 sahaja.

Kedua-dua laluan baru itu adalah yang pertama kali ditawarkan oleh syarikat-syarikat penerbangan ini dan tidak dapat dinafikan yang ia adalah destinasi pelancongan yang popular di India.

Minggu lalu juga turut menyaksikan kemunculan semula All Nippon Airways (ANA) iaitu syarikat penerbangan Jepun ke KLIA selepas sekian lama menarik diri.

Laporan yang memetik agensi-agensi dan pengendali industri pelancongan baru-baru ini menyatakan, situasi ekonomi yang lembab, pelaksanaan GST dan nilai ringgit yang merudum telah menjejaskan sektor berkenaan.

Ringgit adalah matawang yang paling teruk dilanda krisis tahun ini berbanding negara-negara lain jatuh sehingga 18% yang bersamaan dengan kedudukan paling rendah dalam tempoh 17 tahun iaitu sekitar RM4.29 berbanding dengan AS$1 pada 26 Ogos lalu.

Kini ramai dikatakan telah memilih untuk menghabiskan cuti tahunan mereka di dalam negara berbanding luar negara.

"Orang ramai lebih berhati-hati dan berkira dalam keadaan situasi sekarang tetapi pada masa yang sama mereka masih ingin melancong atau bercuti lebih-lebih menjelang musim cuti nanti," kata seorang eksekutif syarikat penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes ketika dihubungi berkata pihaknya tidak nampak, kejatuhan nilai ringgit akan menjejaskan industri pelancongan.

Sebaliknya, kata beliau, orang ramai akan lebih memilih untuk mengambil pakej perjalanan yang lebih pendek.

Sewaktu berlangsungnya Ekspo Matta, Penerbangan Malaysia Berhad (MAB) menawarkan diskaun sehingga 50% untuk beberapa destinasi tertentu, Malindo pula menawarkan tambang serendah RM15 manakala AirAsia pula menawarkan kerusi percuma bermula Isnin.

Malah syarikat-syarikat penerbangan dari Asia Tengah, seperti Emirates, Etihad dan Qatar Airways turut menurunkan harga untuk kekal kompetatif di pasaran yang sengit.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo, Chandran Rama Muthy berkata, respon pelanggan ke atas laluan baru ke Amritsar sangat menggalakkan.

Sementara Tony Fernandes pula berkata, jualan ke laluan baru mereka, Goa mencatatkan jualan rekod pada Khamis.

"Untuk tempoh tiga bulan akan datang, perjalanan ke destinasi itu telahpun 60% habis dijual," kata Tony Fernandes lagi.

Kembalinya ANA ke KLIA menunjukkan yang trafik keluar dari Malaysia telah kembali meningkat dan sasaran mereka ialah laluan KL-Tokyo-Amerika. Ini diakui oleh Naib Presiden Kanan Jualan ANA, Jun Katagiri.

ANA kini menawarkan harga promosi sempena kembalinya mereka ke KLIA, RM1,000 sahaja bagi laluan KL-Tokyo manakala Los Angeles sebanyak RM2,600 dan New York sebanyak RM3,100 sahaja.

Sebelum ANA, British Airways sudah pun kembali beroperasi di KLIA dan menjelang Oktober nanti, giliran AirChina pula.

Malang sekali, AirFrance mengambil keputusan untuk menamatkan operasinya dari KLIA juga pada bulan Oktober.

Persatuan Penerbangan Asia Pasifik melaporkan, syarikat penerbangan yang beroperasi dari rantau Asia mencatatkan jumlah penumpang sebanyak 23.7 juta orang iaitu pertambahan sebanyak 6.5% untuk tempoh yang sama tahun lalu. Manakala trafik penerbangan di rantau Asia Pasifik pula menunjukkan peningkatan sebanyak 8.5% pada Julai.

Sementara penerbangan keluar mungkin akan berhadapan dengan penurunan permintaan ekoran nilai ringgit yang lembab tetapi pada masa yang sama, penerbangan masuk mungkin akan menyaksikan peningkatan yang mendadak kerana kedatangan pelancongan yang ramai ekoran kuasa membeli yang tinggi



Khamis, September 03, 2015

Samsung lancar Galaxy S6 Edge plus dan Galaxy Note 5



Samsung Malaysia Electronics (SME) pada 3 September melancarkan Galaxy S6 Edge plus dan Galaxy Note 5 untuk pasaran tempatan.

Kedua-dua gajet tersebut mempunyai teknologi serba baharu dengan rekaan yang lebih berinovasi dan kemas.

Antara ciri-ciri terkini yang kami bekalkan ialah seperti teknologi LTE terbaharu, Cat. 9 dan pengecas tanpa wayar," kata Presiden SME, Lee Sang Hoon.

Galaxy Note 5 dan Galaxy S6 Edge plus hadir dengan skrin bersaiz 5.7 inci, dilengkapi lapan teras cip pemproses 64-bit, memori dalaman 32 gigabait (GB) dan menggunakan memori 4GB RAM.

Kedua-dua gajet itu dilengkapi dengan kamera belakang 16 megapiksel (MP) dan kamera hadapan 5MP selain bateri sebanyak 3,000mAh dan dual-sim.

Galaxy S6 Edge plus yang ditawarkan dengan warna emas dan hitam dengan harga RM3,099 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Manakala Galaxy Note 5 pula ditawarkan dengan warna putih dan emas pada harga RM2,699 dan kedua-dua telefon pintar ini akan berada dipasaran pada 4 September 2015.


Selasa, September 01, 2015

JDT lancar Minuman Bertenaga JDT Energy Drink



Juara Liga Super 2015, Johor Darul Ta`zim (JDT) kini mengeluarkan minuman bertenaga sendiri.

Pasukan JDT baru-baru ini dinobatkan sebagai juara Liga Super 2015, mengulangi kejayaan yang mereka kecapi pada musim lalu.

Mengikut laman web rasmi kelab berkenaan, minuman yang menggunakan jenama JDT Energy Drink itu, dijual pada harga RM4.50 setin.

Minuman tin berkenaan berwarna biru dengan logo kelab turut dipaparkan. Setiap tin berisi 300 ml air minuman itu. JDT Energy Drink kini dijual sekitar Johor Bahru dan setakat ini mengikut akaun rasmi Facebook kelab itu, hampir 40 kedai disenaraikan menjualnya.



UniSZA Universiti Pilihan Lepasan SPM STPM



Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi antara 10 universiti awam terbaik di Malaysia kini menjadi pilihan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pelajaran.

Naib Canselornya Prof Datuk Yahaya Ibrahim berkata pihaknya bersyukur dan mampu berbangga apabila universiti itu menjadi antara universiti pilihan dalam negara selepas lima universiti penyelidikan seperti Universiti Malaya(UM), Universiti Sains Malaysia(USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Mungkin tiga hingga empat tahun lalu orang tak kenal UniSZA, tapi hari ini kita berbangga menjadi 10 universiti popular di Malaysia selepas universiti penyelidikan.

"Hari ini 70 peratus yang mendaftar untuk sesi 2015/2016 ini adalah mahasiswa yang membuat permohonan bagi pilihan pertama hingga pilihan ketiga dan tak semua yang meletakkan UniSZA pilihan pertama dan memohon ke universiti ini dapat masuk ke UniSZA kerana permohonan yang begitu memberangsangkan," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Minggu Mesra Siswa Kemasukan Ijazah Sesi 2015/2016 yang dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Yahaya berkata UniSZA bukan sahaja menjadi universiti pilihan, malah beberapa kursus yang ditawarkan di tiga fakulti di universiti itu menjadi pilihan utama.

"Kita mempunyai 10 fakulti yang terdiri daripada pelbagai bidang, dan tiga fakulti yang paling menjadi pilihan ialah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan dan Fakulti Undang-Undang, Perakaunan dan Hubungan Antarabangsa.

Kami di pihak UniSZA akan sentiasa memperbaiki pelbagai prasarana untuk keselesaan pelajar dan kelak UniSZA akan dilengkapi dengan bangunan canselori baharu, Bangunan Pusat Pengajian Siswazah, Bangunan Pusat Kecemerlangan(COE), Kompleks Hal Ehwal Pelajar, Kompleks Sukan dan Kompleks Asrama yang dapat menampung 3,000 pelajar," katanya.

Yahaya berkata pihaknya juga bersedia untuk menawarkan peluang untuk mahasiswa universiti berkenaan yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu Razali berkata beliau berharap mahasiswa universiti berkenaan untuk bergiat aktif dan tidak hanya menumpukan pendidikan semata-mata.

"Mahasiswa harus melibatkan diri juga dalam aktiviti kokurikulum, mencari ruang dan peluang untuk menjadi pemimpin pelajar supaya dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai pelbagai kebolehan dan melahirkan mahasiswa yang berdaya saing," katanya.

Lebih 1,800 mahasiswa mendaftar di UniSZA sempena kemasukan baharu 2015/2016.


Latihan Separa Perubatan - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)


Latihan Bertaraf Diploma

  1. Latihan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran
  2. Latihan Jurupulih Perubatan (Anggota)
  3. Latihan Jurupulih Perubatan (Cara Kerja)
  4. Latihan Jururawat
  5. Latihan Jururawat Pergigian
  6. Latihan Juruteknologi Makmal Perubatan
  7. Latihan Juruteknologi Pergigian
  8. Latihan Juru X-Ray
  9. Latihan Penolong Pegawai Farmasi
  10. Latihan Penolong Pegawai Perubatan

Latihan Bertaraf Sijil


  • Syarat Kelayakan (Latihan Bertaraf Diploma)
    Pemohon hendaklah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan dan lulus Bahasa Malaysia (termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat SPM atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.

    Kelayakan SPM Mengikut Sistem Terbuka Untuk Latihan Ke Perkhidmatan Awam

    Calon-calon yang menduduki dan memiliki Sijil SPM mengikut sistem terbuka boleh dilantik ke skim-skim perkhidmatan yang mensyaratkan kelayakan demikian sebagai syarat lantikan. Bagi menentukan tahap kelulusan tersebut setaraf dengan kelulusan Sijil Penuh SPM, iaitu sijil yang dikeluarkan sebelum pelaksanaan peperiksaan mengikut sistem terbuka, syarat-syarat berikut perlu dipenuhi.
     
    1. Lulus enam mata pelajaran termasuk Bahasa Malaysia, dengan dua daripada mata pelajaran adalah di peringkat Kepujian dan selebihnya peringkat Lulus dalam satu peperiksaan; atau
    2. Lulus enam mata pelajaran termasuk Bahasa Malaysia, dengan dua mata pelajaran adalah diperingkat Kepujian dan selebihnya peringkat Lulus yang dikumpulkan dalam dua peperiksaan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut; dan
    3. Memenuhi syarat Bahasa Malaysia, sama ada Kepujian atau Lulus dan subjek-subjek tertentu seperti mana disyaratkan dalam skim perkhidmatan.

      Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang mempunyai kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (termasuk lulus Ujian Lisan), Sains/Sains Tulen, Bahasa Inggeris dan Matematik.




  • Umur Calon untuk mengikuti Latihan Separa Perubatan Bertaraf Diploma:
    Calon lantikan terus hendaklah berumur tidak kurang dari 17 tahun tetapi tidak melebihi 25 tahun pada tarikh tutup permohonan;

    Pegawai sedang berkhidmat untuk Kenaikan Pangkat Secara Lantikan hendaklah berumur kurang dari 51 tahun pada tarikh permohonan.

    Pegawai sedang berkhidmat (bukan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan) dalam Perkhidmatan Awam/Badan Berkanun dan Kuasa Tempatan yang telah disahkan dalam perkhidmatan hendaklah berumur tidak melebihi 38 tahun pada tarikh tutup permohonan.        


  • Syarat Kelayakan (Latihan Bertaraf Sijil)
    Lulus Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan dan memiliki Kepujian dalam subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

    Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang mempunyai kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sains/Sains Paduan serta kepujian mata pelajaran Bahasa Inggeris dan lulus Matematik.


  • Umur Calon untuk mengikuti Latihan Separa Perubatan Bertaraf Sijil:
    Calon lantikan terus hendaklah berumur tidak kurang dari 17 tahun tetapi tidak melebihi 25 tahun pada tarikh tutup permohonan.

    Pegawai sedang berkhidmat untuk Kenaikan Pangkat Secara Lantikan hendaklah kurang dari 51 tahun pada tarikh permohonan.

    Pegawai sedang berkhidmat (bukan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan) dalam Perkhidmatan Awam/Badan Berkanun dan Kuasa Tempatan yang telah disahkan dalam perkhidmatan hendaklah berumur tidak melebihi 38 tahun pada tarikh tutup permohonan.

  • Panduan Peperiksaan Online Separa Perubatan
  • Recent Posts