STAR Stadium Rasmi Felda United



Sorakan ribuan penonton yang membanjiri Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Pahang bergema ketika menanti kemunculan pemain-pemain pasukan kebanggaan mereka.

Tepat pukul 9 malam, barisan kesebelasan utama pemain bagi pasukan Persatuan Bola Sepak Belia Felda Wilayah (PBFW) Jengka dan PBFW Gua Musang berbaris memasuki kawasan padang sambil diiringi pengadil perlawanan serta tiga orang pembantunya.

“Saya sangat teruja untuk menyaksikan perlawanan bola sepak pada malam ini. Ia adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke stadium ini sejak siap dibina pada akhir tahun lalu,” jelas Mohd. Zakwan Abd. Aziz, 29, ketika menyaksikan perlawanan itu.

Pertembungan antara PBFW Jengka dengan PBFW Gua Musang pada 4 Februari lalu itu merupakan aksi final bagi merebut Piala Pengerusi Felda dalam kempen Liga Felda 2015.

Perlawanan itu juga antara aksi Liga Felda yang diadakan bagi menguji tahap stadium tersebut sebelum Kelab Bola Sepak Felda United (Felda United) menggunakannya secara rasmi dalam mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2016.

Seperti suasana yang kerap disaksikan dalam saingan Liga M, ada sebahagian penonton mengalunkan pukulan gendang sambil mendendangkan beberapa buah lagu bagi menaikkan semangat juang pasukan masing-masing.

Malah, sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung, kesemua penonton tetap setia di bangku masing-masing bagi menyaksikan perlawanan mendebarkan yang dipamer kedua-dua pasukan walaupun perlawanan yang berlangsung itu hanyalah aksi peringkat liga tempatan.

“Saya sangat bangga kerana dapat beraksi di stadium yang bakal menjadi gelanggang tuan rumah bagi pasukan Felda United bermula tahun ini.

“Malah, saya terasa bagaikan bermain dalam kempen Liga M kerana terdapat ribuan penonton yang hadir bagi menyaksikan perlawanan pada malam ini,” jelas pemain pasukan PBFW Jengka, Muhammad Zulhisyam Zulkifli.

Dalam perlawanan itu, Muhammad Zulhisyam menjaringkan dua gol, sekali gus membantu pasukannya muncul juara apabila menewaskan PBFW Gua Musang 3-1.

STAR yang dibina dengan kos kira-kira RM92 juta itu adalah hasil cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak ketika beliau merasmikan Hari Peneroka Kebangsaan di Bandar Tun Abdul Razak Jengka pada 7 Julai 2011.

Stadium yang mempunyai kemudahan serba canggih itu dibina sebagai hadiah kepada warga Felda secara keseluruhannya selain bagi meningkatkan imej Felda dalam sukan bola sepak selepas memiliki pasukan sendiri menerusi penubuhan Felda United pada 2007.

Bercerita mengenai STAR, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dalam sidang media yang diadakan sebelum perlawanan akhir itu berlangsung berkata, stadium yang dibina di atas tapak asal Stadium Mini Nadi Kota di tengah-tengah pusat bandar Jengka itu mampu memuatkan kira-kira 25,000 penonton pada satu-satu masa.

“Ini adalah antara hadiah terbesar buat warga Felda khususnya bagi penduduk di wilayah Jengka.

“Stadium ini bukan sahaja memiliki pelbagai ciri-ciri moden tetapi ia juga merupakan sebuah stadium yang dibina khusus untuk perlawanan bola sepak tanpa trek balapan, sama seperti stadium-stadium milik kelab bola sepak gergasi yang beraksi dalam saingan Liga Perdana England atau liga-liga utama dunia yang lain,” katanya.

Jelas beliau lagi, STAR juga mampu menganjurkan perlawanan bola sepak di peringkat antarabangsa memandangkan pembinaannya yang menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Malah, Mohd. Isa memberitahu, STAR turut dipasang dengan hamparan rumput tiruan berkualiti tinggi bagi memastikan ia memiliki ciri-ciri sebuah stadium moden selain menggunakan paparan papan iklan digital yang dipasang di sekeliling padang.

Penggunaan papan iklan digital itu bukan sahaja memberi kelainan dalam bentuk pengiklanan dan penajaan tetapi turut mampu meningkatkan imej STAR sebagai sebuah stadium berkonsep moden di negara ini.

Ciri-ciri moden yang ada pada stadium itu turut meningkatkan keterujaan kapten Felda United, Muhammad Shukor Adan bagi mengharungi saingan Liga Super pada tahun ini.

“Pada tahun ini, Felda United memiliki kelebihan kerana kami sudah memiliki stadium sendiri. Kami akan kerap berlatih di sini bagi membiasakan diri dengan keadaan padang rumput tiruan kerana tidak semua pasukan dapat beraksi baik di atas rumput tiruan ini.

“Sudah tentu kami akan memberi tentangan yang sengit kepada pasukan lain terutamanya apabila dapat beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri yang terdiri daripada warga Felda,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran jersi rasmi Felda United bagi musim 2016 yang disempurnakan oleh Mohd. Isa di stadium itu.

Pada malam itu, para penonton yang memenuhi stadium turut diperkenalkan dengan kesemua 27 pemain yang akan beraksi bersama Felda United pada musim 2016 termasuk dua pemain import baharu, Gilberto Carlos Marangoni dari Brazil dan Lutfulla Turaev dari Uzbekistan.

Menurut Muhammad Shukor lagi, kewujudan STAR sebagai stadium rasmi Felda United juga memberi satu suntikan semangat kepada seluruh pemain kelab bola sepak itu untuk memburu kejuaraan sekurang-kurangnya satu piala dalam kempen Liga M pada tahun ini.

Sejak ditubuhkan pada 2007, Felda United merupakan antara pasukan yang sangat konsisten dalam saingan Liga M.

Pencapaian tertinggi mereka ialah beraksi di pentas final pada kempen Piala FA 2014 selain memasuki peringkat separuh akhir Piala Malaysia dua tahun berturut-turut (2014 dan 2015).

Pada perlawanan pembuka tirai Liga Super 2016, Felda United seolah-olah mendapat semangat baharu beraksi di gelanggang keramat apabila membelasah Kedah 2-0 di STAR pada 13 Februari lalu.

- Kosmo!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

SMART WALLET

Untuk mendapatkan SMART WALLET yang menawan ini. WhatsApp "SMART WALLET" ke: 0139790000

lihat tawaran lebih lanjut

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran

Ingin Kurangkan Bil Elektrik?

Jika bil elektrik anda tinggi setiap bulan, apa kata cuba pasang alat penjimat elektrik di rumah anda. Promosi terkini hanya RM60 poslaju percuma. WhatsApp / Telegram "JIMAT ELEKTRIK" ke: 0139790000