Top Ad 728x90

, ,

Temuramah dengan Sultan Johor

Temuramah dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim


Pemerintah Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berpindah dari Istana Pasir Pelangi ke Istana Bukit Serene beberapa minggu lalu dan wawancara bersama The Star diadakan di singgahsana baharu rasmi Tuanku yang menghadap Singapura.

Ketika menyusuri jalan menuju ke istana, penulis dihidangkan dengan pemandangan yang hebat termasuk beberapa sangkar besar untuk harimau, harimau bintang dan kucing di kedua-dua tepi jalan.

Mahligai yang tersergam indah terletak kira-kira dua kilometer dari pintu masuk Jalan Kolam Air, dapat dilihat di atas bukit dan menghadap sebuah kolam renang yang sangat besar.

Pemandangan indah di kawasan istana yang luas penuh kehijauan ini juga semestinya memukau setiap mata yang melihatnya.

Kami diiringi sehingga ke bahagian dalam istana, melepasi ruang dewan besar yang dihiasi dengan perabot kayu berhias dan candelier selain beberapa potret besar keturunan Diraja Johor yang terpampang di dinding istana.

Sultan Ibrahim telah sedia menunggu kami dengan berpakaian baju kemeja lengan pendek berwarna biru dan dalam keadaan mood yang baik.

"Silakan dan tanya Beta apa sahaja soalan," kata Baginda sambil mempersilakan kami untuk duduk.

Sepanjang sesi soal jawab yang memakan masa sejam, Sultan Ibrahim tenang menjawab semua soalan kami, termasuk soalan berkaitan perniagaan Baginda, tentang pelabur China di Johor, perubahan hari kerja hujung minggu, khabar angin tentang kasino dan pemindahan hati anakanda, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim di China.

PERTABALAN

S: Tuanku, The Star memanjangkan ucapan tahniah terhadap pertabalan Tuanku yang akan berlangsung tidak lama lagi. Yang Teramat Mulia, mengapa majlis pertabalan Tuanku diadakan hanya selepas lebih empat tahun?

J: Beta fikir tiada sebab untuk terburu-buru. Majlis pertabalan bukan keperluan wajib. Majlis itu lebih kepada keperluan adat tetapi lebih bermakna dalam meneruskan tradisi.

Majlis Sokongan Negara telah mengesahkan dan mengisytiharkan Sultan Johor selepas kemangkatan terdahulu. Majlis angkat sumpah dan pengisytiharan tersebut telah cukup memenuhi syarat proses menaiki takhta secara sah.

Majlis pertabalan boleh diadakan pada bila-bila masa selepas disahkan mewarisi takhta. Majlis itu juga tidak memerlukan syarat khusus mengikut undang-undang, tetapi merupakan tradisi adat bagi memperkukuhkan lagi kedaulatan dan keagungan Raja.

Selain itu, terdapat beberapa perubahan tempat untuk majlis tersebut, termasuk Istana Besar.

Perlu diingatkan bahawa Sultan Abu Bakar yang ditabalkan pada 29 Julai 1886 selepas 23 tahun menaiki takhta.

Ia merupakan politik yang betul bagi istilah “pertabalan” untuk Sultan Johor kerana Sultan Abu Bakar mengangkat dirinya sebagai Sultan pada 1886 dan istilah itu perlu digunakan pada pertabalan waris Baginda, menjadikan Johor sebagai negeri pertama berbuat demikian.

Raja-raja di negeri Melayu yang lain melaksanakan majlis pertabalan pada hari mereka menaiki takhta.

PERNIAGAAN, PEMBANGUNAN DAN PENAMBAKAN JOHOR

S: Tuanku, peningkatan dalam bidang perniagaan dan urusan komersial Tuanku menjadi perbualan hangat. Keluarga diraja Johor telah terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan termasuk projek janakuasa (Projek 4A 1,000MW-1,400MW) dan pembangunan hartanah di Johor. Bagaimana Tuanku membahagikan kebaikan untuk rakyat dan negeri apabila mempunyai kepentingan peribadi dalam pelbagai jenis perniagaan?

J: Jika anda melihat sejarah keluarga diraja Johor, kami telah terlibat dalam dunia perniagaan sejak zaman moyang kami lagi. Beta tidak pernah cuba menyembunyikan urusan perniagaan menggunakan proksi seperti segelintir orang lain. Beta berurusan secara terbuka dan telus.

Jika melihat susur jalur keluarga diraja Johor, anda akan melihat bagaimana sejarah mereka terlibat dalam perniagaan. Segalanya bermula dengan perniagaan gambir dan lada hitam. Almarhum Sultan Abu Bakar, yang dikenali sebagai Bapa Kemodenan Johor, turut terlibat dalam perniagaan tersebut pada abad ke-19. Malah Almarhum Sultan Ibrahim (1895-1959) pula terlibat dalam perniagaan ladang getah.

Beta sendiri terlibat dalam perniagaan ladang kelapa sawit apabila bergelar Tengku Mahkota. Jangan sesekali menyangka Beta akan berhenti dalam dunia perniagaan sebaik-baik bergelar Sultan. Beta percaya ia merupakan aktiviti yang menyihatkan bagi keluarga diraja untuk melibatkan diri dalam urusan perniagaan yang sah dan betul berbanding perniagaan yang mencurigakan serta memberi kesan buruk kepada imej institusi diraja. Beta mahu mewariskan perniagaan ini kepada anakanda lelaki beta supaya mereka boleh belajar.

Terdapat banyak peluang perniagaan untuk semua orang di Johor dan Malaysia. Kita tidak boleh bersaing dengan semua orang kerana perkara itu adalah hampir mustahil. Tetapi peluang di Malaysia cukup untuk semua orang.

Secara jujurnya, kita diperintah mengikut Raja Berpelembagaan. Beta perlu menyara hidup sendiri seperti orang lain dan tidak boleh bergantung kepada elaun RM27,000 sebulan. Beta perlu mempunyai kehidupan yang sama seperti rakyat biasa Malaysia.

Beta pasti rakyat Johor tidak melihat Sultan mereka menjual nama untuk mendapatkan pendapatan. Malah tidak adil untuk memperkatakan bahawa sektor swasta akan ketinggalan.

Lihat jumlah syarikat swasta yang menjalankan perniagaan di Johor. Di sini adalah pasaran bebas. Tiada siapa dipaksa untuk membeli.

Gejala monopoli tidak wujud di Johor.

S: Apa pandangan Tuanku berhubung dakwaan tentang kerja-kerja penambakan akan menjejaskan kawasan pinggir laut Singapura?

J: Terdapat banyak tanah di Johor tetapi kawasan pinggir laut merupakan lokasi strategik. Orang ramai hanya tentang penambakan yang dilakukan oleh Johor, tetapi ramai yang tidak sedar tentang penambakan tanah yang dilakukan oleh Singapura seperti yang dilaporkan seawal tahun 1820-an, semasa era penjajahan.

Sudah tentu ketika itu penambakan dilakukan secara kecil-kecilan, tetapi Beta hanya anda mengetahui tentang sejarah. Pada tahun 1960-an, penambakan tanah dilakukan dalam skala yang besar.

Beta difahamkan bahawa Singapura telah menambak kawasan lebih 70 kilometer persegi sejak 1960 sehingga ke hari ini.

Menurut satu laporan, pada 1990, keseluruhan keluasan tanah Singapura adalah 663 kilometer persegi. Keluasan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 51.5 kilometer persegi atau 8.9 peratus keluasan keseluruhan. Apabila penambakan tanah diteruskan, keluasan Singapura akan bertambah kira-kira 100 kilometer persegi menjelang tahun 2030.

Beta tidak pasti tentang ketepatan angka ini, tetapi ia adalah satu fakta bahawa bentuk Singapura telah berubah ekoran penambakan secara sistematik dan agresif.

Jadi mengapa tiada siapa membangkitkan isu penambakan yang dilakukan oleh Singapura? Kenapa mereka menuding jari kepada Johor? Johor melakukan penambakan kerana keperluan strategik.

Malah mari kita berbicara tentang persekitaran. Beta sendiri melakukan pemeriksaan. Tiada seekor dugong yang akan terjejas dan pastikan fakta anda tepat. Menurut Menteri Besar, bayaran sebanyak 30 sen dikenakan bagi setiap kaki persegi tanah yang ditambak untuk membantu golongan nelayan yang terjejas akibat penambakan tanah.

Secara keseluruhannya, lebih RM104 juta diperoleh bagi membantu nelayan.

S: Projek hartanah Forest City seluas hampir 2,000 hektar menjadi kontroversi. Forest City akan mempunyai saiz hampir separuh daripada Putrajaya dan membangun di Selat Johor, barat laut Johor Bharu iaitu lokasi Hubungan Kedua ke Singapura. Projek itu merupakan usahasama antara firma Country Garden Holdings yang beroperasi di Guangdong, China dan syarikat tempatan Johor, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

J: Sebagai sultan, Beta mengalu-alukan semua pelabur, sama seperti yang disuarakan oleh Menteri Besar. Malah tindakan menolak pelaburan adalah kerja gila.

Pelabur dari China mempunyai keyakinan dan berpandangan jauh bahawa duit mereka akan dilaburkan dengan baik. Mereka sanggup mengambil risiko, tetapi mereka percaya terhadap kedudukan strategik Johor.

Jika ada pelabur Amerika, Britain, Australia atau Jerman yang sanggup melabur di Johor, mereka juga dialu-alukan, tetapi di manakah mereka? Jika pelabur China bersedia melabur di sini, mengapa perlu dijadikan isu?

Bagaimanapun, semua pelaburan tersebut mendatangkan keuntungan kepada Johor memandangkan Kerajaan Negeri mencatatkan rekod penambahan lebihan bajet untuk tempoh empat tahun berturut-turut. Beta berharap lebihan tersebut akan berterusan dan meningkat ketika lebih banyak projek dan pelaburan memasuki negeri ini.

Beta juga yakin bahawa ramai rakyat Singapura akan membeli rumah di Johor ekoran penuruan nilai mata wang Malaysia.

Semua pelaburan ini bakal membuahkan hasil yang baik kerana memberi kesan limpahan terhadap banyak sektor seperti peruncitan, membuka peluang kerja yang lebih banyak untuk penduduk tempatan dan perkhidmatan pengangkutan.

Beta yakin projek pembangunan besar seperti di Pontian akan membantu meningkatkan kualiti hidup di daerah tersebut yang terkenal dengan perniagaan makanan laut.

S: Johor dilihat membenarkan segelintir pemaju utama China melancarkan projek hartanah berskala besar. Satu daripadanya melibatkan pembinaan 9,000 unit rumah pada satu-satu masa dan kebanyakannya dijual kepada pembeli dari China. Tetapi masih banyak unit pembangunan itu tidak terjual. Wujud kebimbangan bahawa Johor dilihat membangunkan terlalu banyak projek dan berkemungkinan mewujudkan bandar hantu. Pemaju tempatan juga telah menyuarakan tentang layanan istimewa terhadap pemaju asing ini. Sila berikan komen terhadap isu tersebut.

J: Kebimbangan berlakunya lebihan rumah hanya merupakan satu andaian. Semua rumah ini tidak dibina secara serentak. Mengapa salahkan pelabur China yang melabur di negeri ini? Ketika ini, 80 peratus hartanah di London merupakan milik orang asing. Beta tidak fikir pemaju China akan membina rumah dan membiarkan projek itu kosong. Adakah anda fikir bahawa pemaju China ini masih belum mengira kos mereka, termasuk pemulihan modal dan pulangan pelaburan?

Segelintir orang bercakap tentang lebihan unit hartanah bangunan bertingkat yang semakin bertambah di Johor Bharu. Pemaju dari China tidak akan membina 80,000 buah rumah secara sekali gus. Hanya 8,000 unit sedang dibina buat masa ini.

Bagaimanapun, tidak semua pembeli rumah dari China dan ada juga rakyat tempatan terutamanya dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Malah ada juga pembeli dari Singapura.

Masa depan berada di Johor kerana rakyat Singapura, bukan sahaja China, akan membeli rumah di negeri ini.

Rumah merupakan aset yang tidak mampu dibeli oleh rakyat Singapura di negara mereka sendiri.

Isu ini telah dipolitikkan apabila golongan kelas pertengahan merasakan diri mereka ditindas.

Di Malaysia juga yang mempunyai tanah luas, golongan muda berasa sukar untuk memiliki sebuah rumah terutamanya di Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Apabila kedua-dua negara ini berhubung (Hubungan Kedua), satu situasi baru dan menjadi normal apabila melihat rakyat Singapura menetap di Johor dan bekerja di Singapura. Itu adalah masa depan.

Beribu-ribu penduduk Hong Kong dan espatriat termasuk rakyat Malaysia, tinggal di Shenzen tetapi berulang-alik ke tempat kerja pada setiap hari.

Lebih 200,000 orang menyeberang ke Shenzen pada setiap hari dalam tempoh 45 minit. Itu adalah realiti budaya kerja melintasi sempadan yang berubah mengikut peredaran zaman.

Beta fikir pemaju tempatan perlu bekerja lebih keras. Beta percaya persaingan secara sihat dalam kalangan syarikat pemaju dapat memberi kebaikan kepada negara.

S: Benarkah dikatakan tidak ramai orang berani bersuara apabila menghadap Tuanku? Terdapat rasa takut dan hormat yang bercampur-aduk. Selain itu, Tuanku juga mempunyai reputasi yang kontroversi.

J: (Ketawa) Sebenarnya, soalan anda sangat sukar. Beta rasa Beta merupakan individu yang mesra dan mudah bergaul. Beta jenis suka berterus-terang. Beta tidak boleh berdepan orang yang hipokrit. Beta mengharapkan orang ramai berani bersuara. Anda menanyakan soalan yang sukar tentang diri Beta.

Ramai orang termasuk ahli politik di Kuala Lumpur, tidak tahu tentang Beta tetapi berbicara seolah-olah mengenali diri Beta. Mereka ini mempunyai pandangan tersendiri terhadap Beta dan itu bukan salah mereka.

Johor merupakan hak milik rakyat Johor dan hanya rakyat negeri ini tahu situasi sebenar dan keperluan Johor. Mengapa orang luar perlu campur tangan dan mengajar kami tentang apa yang harus dilakukan kepada negeri kami sendiri?

Beta pernah membangkitkan isu tentang cadangan Kerajaan Persekutuan mengenakan harga minimum sebanyak RM1 juta bagi hartanah yang mahu dibeli oleh rakyat asing dan Beta berkata syarat itu hanya sesuai dilaksanakan di Kuala Lumpur.

Malah Beta mencadangkan agar rakyat asing dibenar membeli hartanah bangunan bertingkat pada harga minimum RM500,000, tetapi untuk pemilikan tanah, mereka hanya dibenarkan membeli rumah yang bernilai lebih RM2 juta sahaja.

Beta juga mengkritik projek minyak dan gas milik Petronas di Pengerang kerana syarikat itu tidak membuka banyak peluang kepada rakyat tempatan untuk mengendalikan kontrak yang mempunyai kaitan dengan projek tersebut.

Beta turut mencadangkan satu pasukan khas ditubuhkan bagi merayu keputusan Pulau Batu Puteh yang dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Bagi Beta, keputusan ICJ memihak kepada Singapura berhubung pemilikan pulau tersebut disebabkan campur tangan luar yang mengendalikan kes berkenaan.

ANAKANDA KELIMA, Tunku Abdul Jalil

S: Secara peribadi, saya dimaklumkan tentang spekulasi berhubung tahap kesihatan anakanda kelima Tuanku, Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim, yang juga dikenali sebagai Tunku Laksamana Johor. Boleh Tuanku memberi komen terutamanya berkenaan pemindahan hati yang dilakukan Tunku Jalil?

J: Anakanda Beta berada dalam keadaan baik dan sihat selepas menjalani pembedahan dan syukur kepada Allah. Lima tahun lagi akan menjadi tempoh penting buat Tunku Jalil kerana anakanda perlu mengamalkan corak pemakanan dan gaya hidup yang baik.

Beta bersyukur kerana Tunku Jalil masih hidup dan itu menjadi satu sebab Beta mengeluarkan belanja sebanyak RM10 juta bagi menubuhkan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor bagi mengumpul dana untuk membantu pesakit kanser yang tidak mampu mendapatkan rawatan yang mahal.

Tunku Jalil sangat bertuah kerana menjadi anakanda Beta. Beta faham tentang penderitaan mengalami kanser tahap empat. Malah anakanda Beta juga tidak percaya berjaya meneruskan hidup, begitu juga dengan Beta. Beta mahu yayasan ini menjadi pemangkin supaya pihak lain boleh menghulurkan derma melalui yayasan ini.

Kami hanya mengetahui tentang kanser tersebut pada tahun lalu selepas Tunku Jalil mengadu tentang sakit bahu dan hanya dirawat di Hospital Besar tempatan yang hanya memberikan anakanda ubat tahan sakit dan pil tidur.

Kami menyedari sesuatu tidak kena dengan sakit yang dialami Tunku Jalil ketika bercuti di London. Selepas berbincang dengan pakar bedah dari Singapura, kami memutuskan untuk menghantar Tunku Jalil ke Guangzhou, China bagi menjalani pembedahan organ.

Beta berasa berterima kasih kerana prosedur tersebut berjalan lancar dan dijaga dengan baik ketika di China. Pihak perubatan di China juga berbesar hati untuk membantu anakanda Beta sehingga sanggup menghantar dua doktor ke Singapura bagi berbincang dengan pakar bedah di Singapura. Malah mereka menyediakan doktor dan jururawat yang boleh berbahasa Inggeris bagi memudahkan komunikasi.

Beta juga merakamkan rasa terima kasih dan rasa terharu apabila dimaklumkan beribu-ribu rakyat, tidak kira agama dan bangsa sama-sama berdoa demi kesihatan anakanda dan keluarga Beta. Ternyata berkata doa rakyat ini membantu Tunku Jalil.

CUTI HUJUNG MINGGU DI JOHOR

S: Adakah hari Jumaat dan Sabtu masih dikekalkan sebagai hari bekerja bagi perkhidmatan awam atau Johor sebagai sebuah negeri membangun, merancang untuk kembali semula menjadikan hari cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad bagi menyaingi kehendak antarabangsa, lebih-lebih lagi melibatkan perniagaan dengan Singapura? Atau adakah sektor swasta perlu menukar cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu?

J: Perkara itu sudah dilaksanakan lebih setahun apabila Johor menetapkan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu. Tujuan perubahan itu dilakukan bagi memudahkan orang Islam menunaikan solat Jumaat tanpa perlu kembali ke pejabat.

Beta faham perubahan ini memberi kesan kepada sektor swasta serta perniagaan dengan Singapura. Beta masih dalam proses untuk mengumpul maklum-balas daripada sektor awam dan swasta berhubung perkara ini.

ESOK: Sultan Ibrahim berbicara tentang gelaran diraja, khabar angin tentang usul pembinaan kasino di Johor, hubungan Baginda dengan Menteri Besar pada masa lalu dan kini, serta banyak lagi isu lain.

- mSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90