Larangan Ceramah Dr Zakir di UTEM kerana tajuk 'Persamaan Antara Hinduisme dan Islam'



Polis menegaskan pihaknya tidak pernah mempertikaikan kewibawaan dan ketokohan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik dalam ilmu agama.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar keputusan polis tidak membenarkan forum pendakwah itu di Melaka atas faktor keselamatan.

Berpandukan tajuk forum itu sendiri yang boleh dimanipulasi sehingga membangkitkan kontroversi keagamaan.

Apa yang jelas, walaupun forum tersebut belum berlangsung, ianya telah mewujudkan perdebatan di kalangan pelbagai pihak sehingga menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Sebelum ini, Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) mendesak kerajaan segera membatalkan program yang melibatkan Dr Zakir termasuk melarangnya memasuki negara ini.

Semalam, Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya telah memutuskan untuk tidak membenarkan forum Dr Zakir Naik bertajuk 'Persamaan Antara Hinduisme dan Islam' di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada Ahad, 17 April 2016 demi ketenteraman awam dan sensitiviti beragama di negara ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, polis konsisten dalam sebarang isu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Sebarang keputusan yang dibuat adalah berlandaskan aspek-aspek keselamatan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, demi mengekalkan ketenteraman awam.

PDRM tidak menghalang sebarang bentuk wacana ilmiah atau program intelektual yang boleh mengukuhkan pembangunan rohani masyarakat di negara ini.

Namun pihak penganjur program-program sedemikian harus memastikan tajuk dan pengisiannya tidak mengundang sebarang kegusaran di kalangan masyarakat.

- Sinar Harian


0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.