Rakyat Jepun bekerja lebih 60 jam seminggu


Dunia mengagumi Jepun sebagai sebuah negara maju dan ultra canggih dengan budaya kerja yang rajin, patuh serta komited luar biasa. Namun, di sebaliknya ada jiwa-jiwa yang merana.

Jika pada Perang Dunia Kedua, Jepun terkenal dengan perajurit kamikazenya yang berani mati, namun pascaperang itu menyaksikan rakyatnya menjadi mangsa karoshi iaitu mati lantaran kuat bekerja dalam persaingan melakar kemajuan.

Di Jepun, fenomena mati kerana kuat bekerja perkara lumrah sehingga terbitnya istilah berkenaan. Dianggarkan 400 kematian dicatat setiap tahun kerana sakit jantung, strok atau bunuh diri akibat kerja, namun ada dakwaan, ia mungkin 10 kali ganda lebih tinggi.

Karoshi masih menjadi topik kontroversi di negara matahari terbit. Ia kembali diperkatakan baru-baru ini apabila media mendedahkan bilangan kes tuntutan pampasan berkaitan kematian akibat terlalu kuat bekerja melonjak naik.

Menurut data kementerian buruh Jepun, tuntutan pampasan karoshi meningkat kepada rekod tertinggi iaitu 1,456 tuntutan untuk tahun berakhir pada Mac 2015.

Kes banyak tertumpu pada bidang penjagaan kesihatan, perkhidmatan sosial, perkapalan dan pembinaan.

Koichi Nanbu, 58, jurutera loji di sebuah syarikat kecil ditemui mati di landasan tren pada 2004 dengan nota yang ditemui pada saku bajunya.

Nota itu tertulis tulisan cakar ayam: “Saya tidak boleh bekerja lagi. Saya tidak tahu mengapa. Saya minta ampun kerana menyebabkan banyak masalah kepada syarikat.”

Pada Disember tahun lalu, Watami, rangkaian restoran terkemuka Jepun dipaksa untuk membayar 130 juta yen (RM4.6 juta) kepada keluarga Mina Mori, 26, yang membunuh diri kerana terlalu banyak bekerja.

Mori membunuh diri pada 2008 dua bulan selepas memulakan kerja. Dia sering dipaksa bekerja syif yang panjang sehingga terpaksa menunggu tren pertama pagi keesokannya untuk balik ke rumah.

Istilah karoshi mula diperkenalkan pada 1978 berikutan berlakunya kes-kes kematian akibat serangan jantung dan strok kerana kerja. Ia semakin hangat diperkatakan pada 1990-an berikutan desakan kemelesetan ekonomi.

Ancaman

Karoshi, bahkan pernah dikatakan ancaman kedua tertinggi selepas kanser dalam kalangan pekerja-pekerja di Jepun.

Profesor Morioka Koji dari Kansai University pernah bercakap pada tahun 2010 bahawa seramai 7 juta rakyat Jepun didapati bekerja lebih 60 jam seminggu dan boleh mati pada bila-bila masa kerana kuat bekerja.

Hiroshi Kawahito, seorang peguam yang mewakili mangsa-mangsa karoshi berkata, bilangan kes tuntutan pampasan telah bertambah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Di Jepun, kami percaya jika kami tidak bekerja lama sehingga berjam-jam, ekonomi tidak akan berkembang. Memandangkan ekonomi statik pada masa ini, jadi mereka percaya perlu bekerja lebih lama. Orang Jepun tidak yakin untuk berfikir lain daripada itu,” katanya.

Keuntungan

Baru-baru ini, di makam keluarga dalam sebuah apartment kecil di Tokyo, Noriko Nakahara, 54, berdoa untuk roh mendiang suaminya, Toshiro Nakahara. Noriko berkata, suaminya mati kerana kerja pada 2004.

Sebagai ketua wad pediatrik di sebuah hospital, Toshiro pada masa kejadian berumur 44 tahun selalu bekerja dua syif dan melupakan tidur untuk memenuhi sasaran jualan yang dikuatkuasakan pihak pengurusan hospital.

Noriko berkata, suaminya merupakan seorang individu yang percaya cara terbaik untuk menjaga anak-anak adalah dengan memberikan mereka kasih sayang di rumah.

“Tetapi majikannya mahukan lebih keuntungan, jadi dia perlu lebih banyak bekerja di hospital. Ia telah memudaratkan dirinya secara dalaman,” katanya seperti dilaporkan ABC.

Suaminya membunuh diri kerana kemurungan akibat terlalu banyak bekerja.

“Peristiwa itu telah menghancurkan hidup dua anak saya,” katanya.

Jepun tidak mempunyai undang-undang yang menetapkan had waktu bekerja. Di negara itu, syarikat boleh meminta pekerja-pekerjanya untuk bekerja lebih masa selama 45 jam sebulan atau sehingga 360 jam setahun sebagai tambahan kepada tempoh bekerja waktu tetap 40 jam seminggu.

Bekerja lebih masa sehingga 100 jam sebulan juga turut ada pada klausa khas yang dipersetujui antara pengurusan dan pekerja dalam kes-kes tertentu.

The Telegraph melaporkan, faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah karoshi ialah peningkatan pengambilan pekerja sementara atau kontrak, kurang penguatkuasaan terhadap undang-undang buruh serta budaya kerja hierarki iaitu staf junior tidak berasa selesa jika mereka pulang lebih awal daripada senior.

Seorang bekas jurutera sistem, Syota Nakahara, 32, bercerita tentang kemurungannya bekerja.

“Saya bekerja dari pukul 8.40 pagi hingga 3 pagi selama dua tahun. Saya hampir sakit mental. Saya tidak pasti apa di sekeliling saya. Saya tidak tahu hari apa atau musim apa. Apa yang saya nampak hanya pintu masuk pejabat dan komputer di meja saya.

“Saya perlu bekerja keras untuk mendapat jawatan penuh, dengan kerja sementara dan gaji rendah, saya rasa saya miskin. Tetapi akhirnya saya berhenti kerja di syarikat itu apabila saya perlu memilih antara nyawa atau kerja,” katanya.

Emiko Teranishi, ketua Pertubuhan Keluarga-Keluarga Yang Berdepan dengan Karoshi berkata, dia pernah mendengar banyak aduan tentang taktik-taktik syarikat dalam pengambilan pekerja supaya mereka kuat bekerja.

“Sesetengah syarikat memberitahu pekerja baharu bahawa gaji mereka termasuk 80 jam kerja lebih masa sebulan dan pekerja mesti membayar balik jika mereka bekerja tidak mencukupi bilangan jam,” katanya.

Jika sebelum ini, kes karoshi banyak melibatkan lelaki yang bekerja makan gaji, kini kementerian buruh mendedahkan pekerja-pekerja wanita semakin diancam masalah itu sehingga meningkat kepada 39 peratus.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menyedari masalah ini dan terdapat beberapa rancangan untuk memulihkannya seperti mengurangkan jam waktu kerja lebih masa di syarikat-syarikat Jepun.

Namun, The Japan Times melaporkan, para pemerhati menyifatkan, rancangan itu masih kabur dan ia pasti akan ditentang oleh komuniti bisnes di negara itu.

- Kosmo!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

SMART WALLET

Untuk mendapatkan SMART WALLET yang menawan ini. WhatsApp "SMART WALLET" ke: 0139790000

lihat tawaran lebih lanjut

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran

Ingin Kurangkan Bil Elektrik?

Jika bil elektrik anda tinggi setiap bulan, apa kata cuba pasang alat penjimat elektrik di rumah anda. Promosi terkini hanya RM60 poslaju percuma. WhatsApp / Telegram "JIMAT ELEKTRIK" ke: 0139790000