Top Ad 728x90

, , , ,

RTM beralih kepada siaran TV digital sepenuhnya pada 2018


Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyasarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) beralih kepada siaran televisyen (TV) digital sepenuhnya pada tahun 2018. Timbalan Menteri, Datuk Jailani Johari, berkata ketika ini, RTM sedang merangka beberapa program untuk tujuan peralihan itu.

"Pihak kementerian dalam program pendigitalan RTM, kita sedang merangka beberapa program terutama apabila kita merangka dari segi migrasi (beralih) analog kepada digital dengan sasaran pada sekitar tahun 2018. "Syarikat MYTV Broadcasting Sdn Bhd yang dilantik telah melakukan siaran percubaan membabitkan kawasan-kawasan di pantai timur termasuk Sabah dan Sarawak.

Dengan ada pendigitalan ini, liputan (siaran televisyen) akan bertambah baik dan proses migrasi diharap dapat berjalan seperti tarikh yang ditetapkan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) mengenai siaran televisyen digital berikutan siaran stesen televisyen berbayar Astro sering mengalami gangguan dan langkah kementerian bagi mengawal harga perkhidmatan syarikat penyiaran berbayar itu yang dilihat seolah-olah tiada kawalan sehingga membebankan pengguna.

MYTV adalah syarikat yang diberi lesen oleh kerajaan untuk membangun dan menguruskan infrastruktur serta kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan 'Label Pengguna Alat Penerima DTTB' sebagai usaha melaksanakan penghijrahan sistem penyiaran nasional daripada analog kepada digital.

Mengenai caj yuran Astro, Jailani berkata, syarikat itu perlu memaklumkan cadangan kenaikan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kerana kali terakhir caj dinaikkan ialah pada 2014. Beliau berkata, pihak SKMM perlu menyiasat kewajaran cadangan kenaikan harga tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan mengikut seksyen 198 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Selepas itu, Menteri KKMM dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah seksyen 199 AKM 1998 bolehlah menentukan harga setiap perkhidmatan yang ditawarkan demi kepentingan orang ramai," katanya. Ketika ini, katanya kadar yang dikenakan oleh Astro adalah serendah RM42.35 sebulan bagi pakej asas dan setinggi RM241.68 sebulan bagi pakej premium.

Di samping itu, katanya, Astro juga menawarkan pelan tanpa langganan yang dikenali sebagai NJOI bermula awal tahun lalu yang diperkenalkan bagi membolehkan pelanggan menikmati 22 saluran TV dan 20 stesen radio dengan hanya membayar RM328 pada permulaan tanpa bayaran bulanan. "Dengan julat yang luas dan kepelbagaian dalam pakej dan harga langganan, ia memberi peluang kepada pengguna untuk membuat penyesuaian berdasarkan kemampuan mereka untuk melanggan," katanya.

- BERNAMA


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90