Top Ad 728x90

,

Sistem Global Untuk Komunikasi Mudah Alih (GSM) di Malaysia

Sistem Global Untuk Komunikasi Mudah Alih (GSM)


Tahun 2016 genaplah 25 tahun usia Sistem Global Untuk Komunikasi Mudah Alih atau lebih dikenali sebagai GSM.

Ia adalah rangkaian telekomunikasi digital yang paling banyak digunakan di seluruh dunia meliputi lebih 80 peratus bahagian dunia ini daripada 670 rangkaian komersialnya di 200 negara dan jajahan.

Rangkaian GSM pertama yang dipasang 15 tahun dulu dibangunkan Ericsson, pembekal terkenal sistem rangkaian telekomunikasi. Pemasangan pertama itu dikendalikan Mannessmann, di Jerman.

Sejak itu, penggunaan rangkaian GSM berkembang begitu pesat membolehkan sebahagian besar penduduk di dunia ini berkomunikasi hanya menggunakan telefon bimbit.

Empat gelombang GSM digunakan iaitu 850MHz, 900Mhz, 1800Mhz dan 1900Mhz, namun dua gelombang paling terkenal dan digunakan di Malaysia iaitu 900 dan 1800MHz, manakala yang lainnya lebih terkenal di Amerika Syarikat, Jepun dan Korea.

Rangkaian telekomunikasi digital yang jauh lebih baik berbanding rangkaian analog itu berkembang pantas hingga menerajui sistem mudah alih dunia hingga sekarang.

Ia mencatatkan kira-kira 387 juta pelanggan baru pada 2005 berbanding teknologi pesaing terdekatnya iaitu CDMA yang hanya mencatatkan pertumbuhan kira-kira 51 juta pelanggan.

Dianggarkan satu daripada tiga orang di dunia ini memiliki telefon bimbit GSM dan angka pelanggan GSM ke 2 bilion berjaya dicatatkan bulan lalu.

Daripada segi pengguna, belum ada teknologi komunikasi lain yang mendapat kesan signifikan seperti itu. GSM melepasi kadar pengguna telefon berwayar, komputer peribadi dan internet.

Di Malaysia, tiga penyedia utama sistem telekomunikasi tanpa wayar iaitu Maxis, DiGi dan Celcom menyediakan perkhidmatan telekomunikasi tanpa wayar di atas rangkaian GSM.

Jika anda masih ingat rangkaian GSM pertama diperkenalkan di Malaysia pada 1994 oleh Mobikom Sdn Bhd (Mobikom 018) yang beroperasi di atas platform rangkaian AMPS/D-AMPS (TDMA), sekali gus menjadi pengendali rangkaian telekomunikasi tanpa wayar digital pertama di Malaysia.

Pada 1995, Mutiara Telecommunications Sdn Bhd yang kini lebih dikenali sebagai DiGi Telecommunications menerusi gelombang pertama GSM 1800Mhz (DiGi 016).

Ia diikuti Cellular Communications Network (Malaysia) Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai Celcom menjadi pengendali pertama beroperasi menggunakan platform rangkaian gelombang GSM 900Mhz (Celcom 019).

Untuk merancakkan pasaran, Maxis Commnications pula melancarkan perkhidmatan telekomunikasi tanpa wayar Malaysia menerusi gelombang GSM 900Mhz (Maxis 012).

Pasaran telekomunikasi digital yang masih mentah itu dihangatkan lagi dengan Time Telekom yang menawarkan Adam 017 menggunakan gelombang GSM 1800Mhz dan MRCB menerusi Emartel 013 juga menggunakan gelombang GSM 1800Mhz.

Pada awalnya, gelombang GSM 1800MHz dikenali sebagai Rangkaian Komunikasi Personal (PCN). Tapi nama itu tidak digunakan lagi.

Dalam kerancakan dan perkembangan pesat dunia telekomunikasi hari ini, ada tiga syarikat telekomunikasi besar bersaing di negara kita iaitu Maxis, Celcom dan DiGi berikutan saranan kerajaan supaya penggabungan dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Akhirnya Mobikom diambil Telekom Malaysia, diikuti pengambilalihan Emartel (TM Touch) dan Celcom. Ketiga-tiganya beroperasi di bawah satu jenama iaitu Celcom tapi mengekalkan nombor awalan iaitu 013 dan 019. Sementara Mobikom 018 tidak ditawarkan lagi.

Maxis pula mengambil alih Adam daripada Time Telekom dan hanya menggunakan jenama Maxis 012 dan 017. Dalam pada itu DiGi yang kini dikuasai sebahagian besarnya oleh syarikat telekomunikasi terbesar Norway, Telenor terus unggul tanpa sebarang penggabungan hingga ke hari ini.

Menurut kelakuan pasaran di Malaysia, perkhidmatan prabayar lebih popular dan kadar langganannya jauh lebih besar berbanding pasca bayar. Mungkin ia lebih mudah dan menjimatkan kerana pelanggan membayar mengikut keperluan.


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90